Kepada sesiapa yang pernah mengenali atau pernah bekerjasama dengan saya dalam sebarang hal melibatkan pembangunan laman web tertanya-tanya, di mana titik permulaan terjebak dalam dunia ini? Masih lagi saya ingat. Kali pertama saya mula melibatkan diri dalam pembangunan laman web sekitar umur 14 tahun. Sewaktu itu saya sedang menuntut di salah sebuah sekolah menengah di Kelantan. Ceritanya bermula apabila seorang rakan dengan bangganya menunjukkan kepada saya dan rakan-rakan laman web peribadinya. Walaupun pada masa itu saya menganggap yang dia ini memang suka berlagak apatah lagi sekarang kononnya dia seorang yang ada laman web.
Namun dalam diam kes itu telah mencetuskan satu semangat. Memang saya akui agak menyampah namun perkara itu telah mencabar diri saya untuk memiliki laman web juga. Jauh disudut hati saya berkata, "Jika dia boleh buat website, aku pun boleh!". Saya tinggal di asrama, jadi bukanlah mudah untuk mendapatkan akses internet sewaktu itu. Apatah lagi hendak guna komputer sebagai pembelajaran. Pada waktu itu masih ingat lagi terdapat dua jenis ISP yang menyediakan internet iaitu TMNet dan Jaring yang perlu membuat sambungan secara "Dial-Up".
Hanya pada waktu cuti persekolahan sahaja saya dapat memegang komputer di rumah. Saya agak beruntung kerana ibu bapa saya sanggup berhabis duit membeli sebuah komputer yang pada ketika itu berharga RM4000.00. Jadi dengan komputer yang ada itulah, saya gunakan sebagai modal untuk belajar cara-cara membuat laman web. Keluarga saya bukanlah yang begitu mengikut perkembangan teknologi. Jadi pada waktu malam, saya "curi-curi" mengambil talian telefon dan disambungkan kepada modem. Masih ingat lagi, saya dan adik mengumpul duit sebanyak RM30 semata-mata untuk membeli modem komputer yang terpakai.
Pada waktu malam, ketika semua orang tengah tidur, saya dan adik saya bergilir-gilir bangun untuk menggunakan internet. Perkara pertama yang saya cari (waktu tuh saya hanya kenal Cari.com.my, Google.com masih belum popular di Malaysia). Carian pertama adalah melibatkan "How to make a website". Beberapa halaman yang dilayari melibatkan tutorial secara atas talian. Semua tutorial dalam bahasa Inggeris. Memang tidak sempat untuk membacanya. Jadi apa yang dibuat adalah saya simpan setiap halaman yang dilawat dan membacanya pada keesokkan hari (waktu siang tidak boleh pasang internet, nanti kantoi). Bila cukup bulan, ibu bapa saya membebel kerana bil telefon meningkat sehingga RM120 kerana selalunya RM30 sahaja sebulan. Memang betul, ketika itu cas dan kadar internet yang dikenakan adalah cukup tinggi. Guna beberapa jam sahaja, bayar bukan main lagi mahal.
Dari situ saya belajar HTML. Ya, hanya HTML. Seterusnya mula berjinak dengan konsep "image". Kemudian konsep "frame", "table" dan lain-lain. Sehinggalah pada umur 13 tahun, saya mewakili sekolah dalam satu pertandingan mereka cipta laman web peringkat negeri. Dalam pertandingan itu, peserta perlu membina laman web dengan komputer yang disediakan dan hanya dibenarkan membawa bahan-bahan dalam bentul asal seperti Microsoft Word. Dalam tempoh 9 jam diberikan, laman web akan dinilai selepas tempoh selesai. Alhamdulillah, saya telah dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan tersebut. Dan rata-rata peserta yang mewakili sekolah lain jauh lebih berumur. Dengan kejayaan itu, semangat saya lebih berkobar-kobar untuk terus belajar mengenai laman web.
Kemudian saya dikejutkan dengan satu teknologi terbaru iaitu CGI. CGI berupaya untuk menerima input daripada pengguna dan menyimpannya dalam bentuk pangkalan data kemudian memaparkannya kembali ke laman web. Contoh ini diguna pakai pada laman web sekolah. Bermulanya cuti sekolah, saya cuba belajar menggunakan CGI. Ternyata satu kod yang sangat asing. Dengan bantuan daripada adik saya, dia mengatakan, "Mengapa tidak guna PHP, lebih mudah." Dari situ saya mula melihat kod PHP. Aduh, sama susah dengan CGI. Tak ada beza.
Kemudian, sambil-sambil mencari saya tertarik dengan satu sistem pengurusan kandungan iaitu PHP Nuke (jika yang masih ingat). Agak lama saya menggunakannya sehingga mampulah untuk mencipta sebuah laman web yang lengkap. Namun, disebabkan tiada sumber kewangan, laman web itu hanya wujud pada komputer sendiri sahaja (localhost). Sewaktu di universiti, saya lebih giat dengan pembangunan laman web. Agak kerap mengunjungi perpustakaan mencari buku-buku rujukan mengenai PHP. Di asrama, tiada sumber internet. Jadi setiap malam saya akan keluar pergi ke kedai siber internet, memuat turun laman-laman tutorial ke dalam "pendrive" untuk dijadikan sebagai rujukan sewaktu di kolej.
Pada tahun ketiga di universiti, saya cabar diri untuk mencari sistem lain selain PHP Nuke kerana sudah lama meninggalkan sistem tersebut. Jadi saya bermula daripada kosong untuk sistem phpBB. Sungguhpun phpBB lebih fokus kepada sistem forum, namun banyak yang saya belajar daripada phpBB. Bagaimana untuk menyahkod, mencipta modul sendiri dan mengubahsuai tema. Tahun ketiga di universiti saya banyak menghabiskan masa mempelajari sistem ini secara persendirian. Pada ketika ini juga saya mula mencebur diri dengan "webhosting", domain dan pengurusan pelayan.
Sehinggalah pada tahun 2007, saya mula menggunakan Drupal. Masih ingat lagi ketika itu Drupal masih di versi 5. Tidak lama saya menggunakan Drupal 5, dilepaskan pula Drupal 6. Saya akui, belajar menggunakan Drupal adalah satu perkara yanga sangat menyakitkan hati. Banyak konsep, kod dan sistem yang digunakan adalah kompleks. Tetapi saya anggap itu satu cabaran.
Kini, saya masih lagi belajar. Belajar menggunakan secara profesional Drupal 7 dan akan dilepaskan akhir tahun ini, Drupal 8. Pembelajaran itu tidak pernah tamat dan ilmu itu tidak pernah cukup. Walaupun bukan kita yang membina sistem itu, tidak salah jika kita menjadi salah seorang penyumbang atau pengguna yang pakar. Sebagai bahan moral di sini, pembelajaran itu bukanlah satu perkara yang mudah. Itulah antara sebab mengapa saya membina sebuah laman komuniti (tanpa sebarang bayaran atau surcaj) ditambah lagi dalam bahasa Melayu khas untuk anak-anak muda mendapat ilmu perkongsian yang saya cari selama ini dengan lebih mudah. Saya tidak mahu sejarah pencarian ilmu saya selama ini diulang oleh mana-mana anak muda zaman sekarang. Maka, janganlah kerek, jangan sombong, bongkak dan terutamanya berlagak seandainya anda TIDAK TAHU. Bertanya itu lebih baik dan berkongsi ilmu adalah yang terbaik.