Pembangunan semula Kripkorn Studios

Penyusunan semula atau "Restructuring" portal pembelajaran atas talian Kripkorn Studios sudah begitu lama dalam perancangan saya. Proses ini gagal mencapai waktu dan sasaran ditetapkan akibat daripada kesibukan tugas harian dan lain-lain kerja tambahan. Tambahan pula tugas untuk menyelenggara dan mengemas kini portal tersebut terpikul beban kepada seorang sahaja. Walau bagaimanapun, itu bukanlah alasan untuk membiarkan portal yang sudah berusia hampir enam tahun begitu sahaja.

Tempoh enam tahun bukanlah satu angka mudah untuk sesebuah laman web terus beroperasi dan dikemas kini. Ia melibatkan masa, kos dan tenaga yang perlu disumbangkan. Selain itu sumber atau "resources" amatlah kritikal. Melihatkan kepada fungsi dan kandungan yang sedia ada, portal tersebut perlu melalui proses "rebranding" atau penjenamaan semula secara total.

Antara program utama penjenamaan semula adalah menjadikan portal tersebut mesra pengguna pada setiap platform dan peranti. Setakat ini, portal boleh dilayari dengan sempurna pada mana-mana platform dan perisian pelayar. Masih belum tercapai adalah mesra peranti terutamanya telefon pintar. Konsep "responsive" adalah tonggak utama dalam penjenamaan semula nanti.

Bahagian "Komuniti" sedia ada sekarang akan dipindah milik kepada "Forum" semula untuk memberi pemahaman segera kepada pengunjung. Sistem forum akan diambil alih sepenuhnya oleh sistem Drupal manakala kandungan sedia ada pada sistem phpBB mungkin akan diarkibkan (atau dipindahkan secara berkala). Ini bagi memastikan proses penyelenggaraan dapat dilaksanakan lebih mudah berbanding sekarang.

Di samping itu, portal juga akan dipindahkan ke perkhidmatan pengehosan yang baru bagi akibat daripada migrasi kepada Drupal 7. Tempoh tawaran yang diberikan oleh syarikat sekarang hampir tamat. Maka saya berpendapat syarikat yang baru dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk portal ini dijalankan dengan enjin pemacuan Drupal 7.

Melihat kepada konteks dan tutorial yang sedia ada, terdapat konflik antara terbitan e-buku dan tutorial atas talian. Memandangkan terdapat tambahan kos penyelenggaraan, tutorial terpilih akan dikhaskan kepada pengguna melalui kaedah langganan atau "subscribing". Dana ini bertujuan untuk membantu menampung beban kos yang perlu ditanggung. Walau bagaimanapun, tidak semua tutorial yang disediakan perlu dilanggan. Nisbah sebanyak 60:40 mungkin akan digunakan bagi memastikan misi perkongsian dan pembelajaran mengenai Drupal masih kekal.

Setakat ini, kerangka keseluruhan projek ini masih dalam pertimbangan dan banyak lagi yang perlu diperhalusi. Perubahan-perubahan yang dinyatakan di atas perlu melalui proses analisis "benefits-vs-cost" sama ada memberi impak yang besar atau kecil.

Kategori