Office 365 perkhidmatan berbayar


Dalam beberapa entri ke hadapan, saya mungkin lebih gemar menceritakan mengenai produk Microsoft iaitu Office. Tiada sebarang komisen yang diperoleh atau dibayar oleh pihak tertentu tetapi minat dan kemahuan saya untuk mengeksplotasi sepenuhnya perisian ini menyebabkan saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan pembaca sekalian.



Entri sebelum ini yang bertajuk Microsoft Office 2013: Perubahan melampau ada dinyatakan mengenai Office 365. Sebenarnya, Office 365 ini adalah satu perkhidmatan (bukan satu keluaran atau produk). Ianya mempunyai fungsi dan konsep yang sama diperkenalkan oleh pihak Google terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, seandainya anda pernah menggunakan Google Docs atau Google Drive, keupayaan fail untuk diterjemahkan dalam format gDoc sangat berbeza apabila ianya dipaparkan kembali pada perisian asal iaitu Word, PowerPoint atau Excel.



Ini disebabkan oleh hak milik paten dan kod binaan milik Microsoft tidak dijual sepenuhnya kepada Google. Memikirkan keadaan dan persaingan itu, Microsoft melancarkan perkhidmatan "cloud" sendiri yang dinamakan 365 iaitu sinkronasi perisian Office dengan cloud secara terus. Namun begitu, kedua-duanya adalah produk yang berlainan. Office 2013 boleh didapati dengan pembelian lesen hanya sekali manakala perkhidmatan 365 perlu dilanggan secara bulanan.



Berikut adalah antara beberapa pakej yang disediakan oleh pihak Microsoft untuk 365 mereka:





Office 365 ini lebih tertumpu kepada golongan yang menjalankan perniagaan, organisasi atau agensi yang melibatkan penggunaan produk mereka dalam kelompok yang ramai. Sebagai contoh, pakej langganan Small Business memberikan kelebihan untuk penyimpanan fail secara berpusat menerusi perisian Office SharePoint. Bermakna, satu syarikat boleh mengawal keselamatan, privasi dan ketulenan dokumen pada satu tempat sahaja. Setiap akses ke pelayan SharePoint akan dipantau di selain kelebihan untuk membina aliran kerja untuk pengesahan dokumen seperti tender, polisi atau terma dan syarat boleh dibuat.



Selain itu, ianya juga dibekalkan dengan storan dan emel peribadi beralamatkan sharepoint.com. Dan banyak lagi kelebihan yang boleh diperolehi pada pakej paling optimum iaitu Enterprise di mana setiap kolaborasi penghasilan dokumen boleh dibuat secara "live" menerusi Office Lync. Persembahan, suntingan dan simpanan dibuat sama seperti yang kita perolehi menerusi Google Docs. Di samping itu, pakej Enterprise membenarkan satu pengguna memasang Office 2013 pada lima (5) peranti berlainan hanya dengan satu lesen sahaja. Bermakna, saya boleh memasang satu di komputer di rumah, di pejabat, laptop, telefon pintar dan satu di kampung. Jadi walau di mana sahaja saya berada, operasi syarikat boleh dijalankan dengan segera.





Jadi, sekiranya ada perkhidmatan percuma Google Docs yang sama hebatnya, mengapa perlu membayar dan melanggan? Bukankah kurang praktikal dan merugikan?



Setiap produk yang dikeluarkan atau ditakrifkan di bawah lesen penggunaan secara percuma (sama ada Open Source atau free user based) akan mempunyai had atau kelebihan tersendiri. Perkara yang paling jelas adalah sokongan. Bagi pengguna Google Docs, saya ingin bertanya, secepat manakah bantuan daripada pihak jurutera Google datang untuk membantu anda sekiranya terdapat konflik atau keperluan tambahan semasa menggunakan mereka?



Maklum balas menerusi emel daripada pihak Google juga mengambil masa sekurang-kurangnya sehari dan bagi peniaga yang berpotensi besar, adakah anda sanggup menunggu 24jam untuk satu-satu masalah mendapat respon? Dan daripada respon pertama adakah masalah anda akan selesai? Itulah yang membezakan produk berbayar dan perkhidmatan percuma. Langganan yang dibuat bukan sahaja terhadap produk tetapi kepada tim sokongan (support team). Sememangnya setiap produk ada cacat celanya tetapi sejauh mana kecacatan itu dibaik pulih perlu dijadi ukuran.



Untuk agensi yang bersaiz sederhana yang banyak melibatkan proses dokumentasi dalam kerja seharian, sememangnya Office 365 sangat berbaloi untuk dilanggan.

Kategori