Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Multi bahasa dalam Drupal 7

29 May 2012 - 02:20 pm

Drupal sememangnya dari dahulu lagi cuba memperkenalkan kebolehan untuk menghasilkan laman jenis multi bahasa terus daripada teras (core). Bermula daripada D6, Drupal sudah menerap masuk modul terjemahan terus ke dalam terasnya. Boleh dikatakan proses untuk membuat multi bahasa dengan Drupal 6 agak mudah dan senang. Drupal perkenalkan dua konsep dalam penterjemahan iaitu:

  • terjemahan antara muka
  • terjemahan kandungan.

Dalam D6, terjemahan antara muka sangat mudah dilakukan. Sama ada dengan memuat turun fail terjemahan di https://localize.drupal.org/translate atau pun setiap pembangun boleh membuat terjemahan secara persendirian. Setiap terjemahan akan dikompilasi dalam bentuk fail JavaScript. Setiap kali halaman dihasilkan menerusi sistem, penukaran terjemahan akan dilakukan menerusi penggantian oleh Javascript.

Dalam D7, ternyata fungsi multi bahasa telah dipertingkatkan kepada satu tahap yang lebih menyeluruh. Dalam D6, terjemahan hanya tertakluk kepada entiti yang dipegang oleh modul CCK. Manakala setiap satu frasa dan ayat diterjemahkan menerusi antara muka. Kelemahan pada D6, elemen seperti nama penulis, menu dan taksonomi sukar untuk diterjemahkan memandangkan ianya bukanlah entiti secara persendirian.

Berbeza dalam D7, ke semua elemen dalam satu halaman ditakrifkan sebagai satu entiti. Terima kasih kepada tim Drupal 7 yang telah menerap masuk modul CCK (Content Construction Kit) terus ke dalam sistem Drupal. Dengan bantuan beberapa modul yang lain, D7 berupaya (setakat ini) menterjemahkan sepenuhnya setiap elemen ke dalam bahasa kedua. Dalam D6, terjemahan hanya terhad kepada kandungan dan antara muka. Manakala dalam D7, terjemahan boleh dibuat merangkumi kandungan dan antara muka menerusi entiti.

Multi bahasa mula mendapat perhatian pengguna dan pembangun laman web dengan sistem pengurusan kandungan. Mengapa perlu menghabiskan masa menyediakan dua laman berbeza semata-mata kerana bahasa yang berlainan. Mengendalikan dua laman web bukan sahaja memakan masa, tetapi dari segi pengurusan, struktur kandungan seharusnya hampir sama dan mempunyai identiti yang tidak jauh berbeza.

Dengan modul i18n.module, terjemahan pada D7 boleh dilakukan lebih spesifik merangkumi kandungan, antara muka, taksonomi, menu, blok, entiti dan terbaru pilihan-pilihan pada borang (select, dropdown select) juga boleh diterjemahkan! Ini adalah antara kekuatan dan kehebatan Drupal dalam mengendalikan sistem kandungan berbanding sistem lain. Walau bagaimanapun, proses mencapai tetapan yang diperlukan bukan satu perkara mudah. Setakat ini, saya dapati modul terjemahan pada D7 belum mencapai tahap betul-betul matang. Masih banyak ralat dan lohong yang perlu ditambah baik berbanding versi D6.

Kategori: 
Tags: 
multi
bahasa
internalization
terjemahan