Microsoft Office 2013, satu pembaharuan melampau


Sememangnya tajuk artikel ini perlu ditulis sebegitu. Saya boleh dikatakan agak tegar kepada keluaran Microsoft bukan kerana tidak mampu memiliki barangan Apple atau tidak pernah mencuba Pages, Calc atau Keynotes. Sebaliknya kerana fungsi yang terbina di dalam setiap perisian mereka disusuli dengan kajian dan peningkatan yang sangat berguna. Ini termasuklah Microsoft Office 2013 yang menggunakan konsep yang sama dihasilkan oleh Google.





Microsoft Office sudah mendominasi hampir berpuluh tahun dalam aktiviti produktiviti terutamanya dalam kerja-kerja pejabat. Office 2013 juga dikenali dengan nama lain Office 365. Tetapi perlu ingat bahawa kedua-dua produk ini berbeza. Office 365 menyediakan perkhidmatan untuk sinkronasi fail-fail antara komputer berlainan sehingga 5 komputer dengan satu pembelian lesen sahaja. Ia juga memberikan 20GB ruang storan menerusi Skydrive secara percuma selama setahun termasuk aplikasi lengkap Office 2013 (Word, Excel, Powerpoint, Outlook, Access, Publisher, InfoPath dan Lync). Saya mungkin akan terangkan dalam entri blog yang lain mengenai kelebihan Office 365.



Manakala pembelian lesen Office 2013 hanya didatangkan perisian sahaja tidak termasuk pakej-pakej di atas. Walau bagaimanapun, anda masih diberikan Microsoft Skydrive untuk sinkronasi fail dengan komputer peribadi dengan storan 5GB sahaja. Maknanya satu lesen hanya untuk satu komputer sahaja. Pilihan berdasarkan kepada keperluan agensi atau organisasi. Tetapi, jika untuk tujuan peribadi saya lebih sarankan untuk mendapatkan Office 2013 berbanding Office 365.



#1 Paparan menggunakan konsep Metro UI



Jika kita sudah mempunyai Windows 8, paparan Office 2013 akan lebih sepadan dan menggunakan konfigurasi tema Windows 8. Namun ianya sesuai dipasang pada Windows terdahulu seperti XP, Vista dan 7. Paparan kelihatan lebih bersih dan kosong, iaitu konsep utama dalam Metro UI. Tiga pilihan warna untuk latar belakang diberikan iaitu kelabu, kelabu gelap dan paparan asal.





#2 Kelajuan dan prestasi



Faktor ini adalah yang paling jelas dapat dilihat. Ternyata Office 2013 lebih pantas, ringan dan mempunyai kesan animasi yang lebih lembut. Masa untuk memulakan sebarang aplikasi jauh lebih pantas berbanding Office 2010 sebanyak 40% (cubaan pada komputer yang sama). Manakala setiap modifikasi seperti proses drag-and-drop sebagai elemen dalam dokumen dipaparkan secara live. Aktiviti seperti menulis, skrol dan gerakkan ternyata lebih lembut menjadikan saya lebih leka untuk menulis satu-satu dokumen.



#3 Integrasi dengan SkyDrive



Dalam Office 2010 sudah diterapkan kelebihan untuk menggunakan perkhidmatan Skydrive sebagai ruangan storan simpanan secara mobil. Namun dalam Office 2013, fungsi integrasi ini dipertingkat dan kita boleh membuka terus fail daripada SkyDrive menerusi fungsi Open di bawah menu File.





#4 Aplikasi tambahan (Apps) diperkenalkan



Bagi pengguna mobil, kita sudah dibiasakan dengan istilah "Apps" yang bermaksud "applications". Dalam Office 2013 juga perkara yang sama diperkenalkan. Sama konsepnya dalam Windows 8. Aplikasi tambahan boleh dimuat turun (sama ada berbayar atau percuma) daripada laman rasmi Office dan dipasang terus kepada Office 2013 di komputer kita. Bermakna anda boleh tingkat upaya fungsi Office sedia ada yang sudah cukup untuk kegunaan peribadi kepada satu tahap yang memudahkan kerja-kerja seharian.



Sebenarnya masih banyak kelebihan perisian-perisian yang didatangkan dalam pakej Office 2013. Cuma kita yang hanya serius dalam penggunaan Word, Excel dan PowerPoint dalam seharian kadang kala terlupa untuk melihat fungsi aplikasi yang lain seperti InfoPath, Outlook, Lync dan SharePoint. Setiap satunya mempunyai kelebihan masing-masing yang mungkin kita belum terokai lagi.



Bagi yang berminat, anda boleh memuat turun aplikasi ini secara percuma untuk tempoh percubaan selama 60 hari terlebih dahulu. Bagi yang betul-betul serius, anda boleh dapatkan perisian ini dengan lesen penuh melalui pautan yang saya berikan ini. Dengan harga yang ditawarkan, ianya adalah tersangat berbaloi dan lesen tersebut juga adalah sah. Saya sendiri telah menggunakannya dan bukti adalah seperti di bawah. Cepat sebelum terlambat.



Kategori