Kesabaran Itu Ada Nikmatnya

Dalam entri sebelum ini (Kemik), di mana kereta saya telah dilanggar dari belakang oleh seseorang di Lebuhraya Persekutuan. Kejadian berlaku semasa pulang daripada kerja pada hari Jumaat. Sememangnya pada hari Jumaat lebuhraya tersebut akan sesak dengan jumlah kenderaan yang berganda. Ditambah dengan bulan puasa, anak-anak yang tinggal di Kuala Lumpur mungkin pulang ke kampung halaman di Klang, Shah Alam dan Pelabuhan Klang.


Pada hari kejadian, wanita lewat 30an sebenarnya tertidur semasa terperangkap dalam kesesakan mengakibatkan kereta yang dipandu telah melanggar belakang kereta. Pelanggaran tersebut sebenarnya cukup kuat seolah-olah minyak ditekan walaupun keretanya telah mencium kereta saya. Hentakan yang terlalu kuat mengakibatkan leher saya sakit. Pada masa yang sama, demi untuk mengelak pelanggaran tambahan pada kereta hadapan, saya terpaksa menekan brek dan menarik brek tangan secara serentak. Mungkin tindakan ini mengakibatkan remuk yang teruk pada belakang kereta. Nasib baik kereta hadapan saya selamat daripada dilanggar.


Setelah kedua-dua kereta berjaya dihentikan dengan selamat, saya keluar daripada kereta menuju ke kereta wanita tersebut. Melihat keadaan perempuan tersebut yang panik, takut dan tergamam, saya bertanya "Kenapa boleh langgar kereta saya?". Dia menjawab dengan terketar-ketar "Sorry encik.. sorry encik..." Melihat keadaan wanita terlalu panik, saya beritahu dia "You taukan stesen minyak sebelum tol Batu Tiga, you berhenti di sanalah. Saya tunggu kat sana, di sini jalan tengah jemm teruk". Saya membetulkan bumper belakang kerana telah terpelusuk masuk sehingga terkena tayar kereta dan memandu perlahan menuju ke stesen minyak tersebut.


Wanita tersebut mengikut saya daripada belakang. Dari pandangan cermin pantulan, saya melihat dia menelefon seseorang di sepanjang jalan tersebut. Setelah sampai di stesen minyak, saya keluar dan bertanya dengan baik (walaupun dalam hati ini dah sakit sebab kena langgar satu hal, kereta kena masuk bengkel nanti susah hendak pergi kerja satu hal). "Aunty, macam mana you boleh langgar kereta saya?" Dia menjawab, "Sorry encik, tadi saya makan ubat demam, selsema dengan pening. Hari panas, kereta pun panas kemudian saya pun tertidur. Sorry encik.." Akibat mulutnya tidak lepas meminta maaf, hati saya sedikit lembut daripada hendak marahnya.


Setelah ditanya mengenai pekerjaan, sudah memaklumkan suami, rasanya tidak perlu untuk kes ini dipanjangkan. Perkara sudah terjadi, jadi tidak perlu untuk jadi seperti orang gila. Wanita tersebut dengan rela hati menawarkan kereta saya untuk dibaiki dibengkel pilihannya, saya membuat keputusan agar kes ini diselesaikan di situ sahaja. Wanita itu kemudiannya memandu pergi kerana perlu menjemput anak di nurseri.


Dipendekkan cerita, kereta saya dihantar ke bengkel tersebut keesokannya dan selesai dibaiki dalam masa 5 hari. Kos ditanggung oleh wanita tersebut. Sungguhpun begitu, proses baik pulih hanya melibatkan luaran sahaja. Saya masih perlu menghantar ke bengkel elektrik untuk menggantikan reverse sensor yang baru dan membentulkan kedudukan ekzos. Saya sekadar memaklumkan kepada wanita tersebut bahawa terdapat bahagian yang masih perlu dibaiki.


Pada hari Ahad yang lepas, tiba-tiba saya mendapat panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali menanyakan lokasi rumah saya. Dia mengatakan bahawa terdapat hamper yang perlu dihantar oleh wanita yang telah melanggar kereta tempoh hari. Pada ketika ini, terdetik dihati sungguh baik wanita tersebut. Inilah yang dikatakan hidup bermasyarakat. Walau pun bagi saya sudah cukup kereta itu dibaiki, tetapi bagi pihaknya mungkin masih berasa bersalah terhadap kejadian tersebut.


Bersama hamper tersebut dilampirkan kad hari raya dengan coretan: "Selamat Hari Raya dan Maaf". Agak terharu dan terkedu menerima hamper tersebut. Saya pasti akan menjemputnya datang ke rumah pada hari raya nanti sebagai tanda membalas budi wanita tersebut berbahasa dengan kita. Untuk makluman, wanita tersebut berbangsa Cina.


hamper hari raya dan maaf

Kategori