Isu Lirik Lagu Raya "Bila Takbir Bergema"

rafeah buangLagu Hari Raya yang klasik masih lagi segar untuk didengar berbanding dengan lagu-lagu moden. Irama, lenggok dan lirik yang dicipta lagu-lagu klasik jauh lebih dekat, ringan untuk didengar dan ianya sesuai untuk semua peringkat umur. Lirik lagu kebanyakkannya tidak terlalu berat, menggunakan bahasa yang biasa sahaja dan selalunya mempunyai dua hingga tiga suku kata sahaja untuk satu perkataan. Oleh itu memang tidak hairan melihat kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun mudah untuk mengingat lagu-lagu ini.


Walaupun begitu, terdapat beberapa isu lama yang mungkin ingin saya ketengahkan semula. Salah satunya adalah lagu "Bila Takbir Bergema" nyanyian asal oleh arwah Rafeah Buang.


Dengar-dengar itu bedok telah berbunyi

Sebulan puasa tamatlah hari ini

Lekaslah adikku hiaskan rumahmu

Biar serba baru untuk para tamu


Jangan kau lupa ketupat di dapur

Rendang di kuali jangan biar hangus

Cuba lihat itu kanak-kanak berlari

Di halaman rumah bermain bunga api


Bangunlah anakku pakai baju baru

Kawanmu semua telah pun menunggu

Dapatkan ayahanda sujud di kakinya

Serta jangan lupa nindamu kedua


Kita bermaaf dengan keikhlasan

Moga bertambah rahmat dari Tuhan


Dengar-dengar itu takbir sedang bergema

Hening dan mulia di pagi hari raya


Salah satu baris dalam lirik lagu tersebut mengatakan bahawa "Dapatkan ayahanda sujud di kakinya", yang mana sebagai umat Islam lirik ini semestinya menimbulkan konflik. Tiada yang patut disembah atau sujud melainkan Allah S.W.T walaupun ibu bapa kita sendiri. Namun begitu, lirik lagu-lagu klasik sebenarnya penuh dengan puitis dan perbandingan.


Kemungkinan besar maksud ayat, iaitu "sujud" adalah perilaku atau perbuatan yang seakan-akan kita hendak sujud dalam solat iaitu melutut dengan menurunkan kedua-dua belah kaki dihadapan ayah/ibu yang sedang duduk di atas kerusi/alas. Walau apa pun, saya tidak dapat mengesahkan kesahihan maksud ayat tersebut.


Seandainya teori ini benar, terdapat sangkalan yang berlaku. Ini kerana pada lewat tahun 80-an, arwah Rafeah Buang dalam satu rancangan Hari Raya yang ditayangkan di RTM 1 (maaf saya tidak dapat mencari sumber video ini) mendendangkan lagu ini dengan terdapat ubah suai pada senikatanya. Perubahan yang dibuat adalah:


Dapatkan Ayahanda Ciumlah Tangannya


Namun, mungkin perubahan lirik yang dibuat tidak didokumentasikan sepenuhnya. Ini menyebabkan sehingga kepada hari ini hampir kebanyakkan lagu "Bila Takbir Bergema" ini dinyanyikan semula oleh para artis masih menggunakan lirik yang asal. Mungkin sebagai tanda penghormatan kepada lagu asal namun penghormatan kepada Allah S.W.T adalah jauh lebih tinggi daripada lirik lagu. Dan yang penting ianya hanyalah satu karya, seni dan lagu yang tidak ada cacat celanya seandainya mengubah DUA PATAH PERKATAAN sahaja. 


Jika benar tiada perubahan liri perlu dibuat, kita amati lagu yang dinyanyikan semula oleh Ezad Exist: http://www.youtube.com/watch?v=WXd6NKPfOc8


Ezad menyanyikan "Dapatkan ibunda, sujud dikakinya" pada minit ke 2.04. Jadi rasanya tidak salah untuk mengubah lirik sekiranya ianya membawa maksud yang menyimpang sedangkan Hari Raya adalah perayaan umat Islam.


Saya bukanlah artis, pengarah atau ketua eksekutif penerbitan syarikat lagu, namun perkara ini menjadi kewajiban untuk diterangkan dengan sebaiknya. Jika mana-mana yang membaca artikel ini, eloklah dikongsikan kerana kadang kala kita tidak sedar kesalahan kecil mampu membawa perubahan yang sangat ketara.

Kategori