Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Drupal 8 Sudah Semakin Hampir, Apa Yang Istimewa Mengenainya?

03 Jul 2013 - 01:07 pm

Pada 20 hingga 24 Mei 2013 yang lepas telah berlangsung Drupal Conferences atau singkatannya adalah DrupalCon di Portland, North America. DrupalCon merupakan satu acara yang mengumpulkan semua pakar-pakar dan pembangun sistem Drupal untuk duduk dan berbincang mengenai hala tuju sistem tersebut. Sebagai pengelola sistem secara sah, Dries Buytaert selalunya akan membentangkan "key notes" beliau kepada semua pihak sebagai panduan dan pandu arah. Paling menarik di DrupalCon Portland adalah penayangan video pendek mengenai tingkat upaya yang dibuat pada Drupal 8.


Saksikan video tersebut di bawah ini.




Enam penekanan diterangkan dengan jelas dalam video ini iaitu:


  1. Content authoring
  2. Multilingual
  3. Web Services
  4. Views in Core
  5. Configuration Management
  6. Mobile


#1 Content authoring


Borang kemasukan kandungan ditambah baik dengan mewujudkan dua lajur yang mengasingkan ruangan untuk menulis dan konfigurasi kandungan. Selain itu CKEditor iaitu teks editor yang lebih dikenali sebagai WYSIWYG (What You See Is What You Get) telah diserap masuk terus secara lalai. Bermakna selepas pemasangan, Drupal 8 boleh digunakan secara terus seperti teks editor yang lain. Sokongan "drag-and-drop" juga telah ditambah seperti memuat naik fail media secara pukal dan salinan teks format daripada perisian teks seperti Microsoft Word.


Paling mengagumkan dalam Drupal 8 adalah sokongan untuk melakukan suntingan secara "inline" atau terus daripada laman sebenar. Suntingan "inline" ini merangkumi node, views, blok dan lain-lain elemen medan seperti tajuk, taksonomi dan medan-medan tambahan. Kebanyakan sistem mengasingkan antara suntingan kandungan dengan halaman sebenar untuk privasi data dan lain-lain akses capaian. Butang "Preview" atau pratonton juga akan dipaparkan kepada templat yang aktif dan bukan lagi di paparan pentadbiran.


#2 Multilangual


Sokongan multi bahasa adalah antara inisiatif yang paling kerap diutarakan semenjak Drupal 7 lagi. Dalam Drupal 8 isu ini diketengahkan untuk dilakukan peningkatan dan penambahbaikan termasuk pengurangan kepada hanya tiga modul daripada 13 modul bagi pengaktifan multi bahasa untuk keseluruhan laman. Selain itu, proses terjemahan untuk setiap elemen dipermudahkan termasuk node, blok dan lain-lain elemen. Kemas kini untuk pakej bahasa juga dilakukan secara automatis. Maka kita tidak perlu lagi "mengotorkan" tangan untuk log masuk menerusi FTP bagi mengemas kini perpustakaan bahasa. Terjemahan diasingkan kepada dua bahagian iaitu untuk bahagian laman web dan bahagian pentadbiran.


#3 Views in Core


Bagi pengguna Drupal, Views merupakan antara modul yang paling berkuasa. Kini ianya berada di dalam "core" Drupal 8. Dengan kekuatan yang ada pada Views, ke semua paparan pentadbiran di tingkat upaya untuk menggunakan Views. Pentadbir boleh mengubah dan melakukan penambahbaikan mengikut keperluan tersendiri. Paparan ini merangkumi "List of content", "List of User" dan lain-lain paparan yang melibatkan penggunaan jadual.


#4 Web Services


Apabila berbicara mengenai sistem pengurusan kandungan, ianya tidak cukup fleksibel sekiranya hanya terhad kepada sistem itu sahaja. Inilah yang dikuasakan oleh Drupal 8 di mana setiap tetapan, konfigurasi dan kandungan boleh dieksport ke dalam bentuk XML atau JSON. Seterusnya maklumat ini dihantar kepada sistem atau pelantar lain seperti aplikasi pada mobil. Data-data tersebut kemudian akan dibaca dan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk persembahan secara terus. Konsep COPE iaitu "Create Once, Publish Everywhere" merupakan kunci dan tonggak utama kepada inisiatif ini.


#5 Configuration Management


Kesukaran yang dialami oleh pembangun laman menggunakan Drupal atau mana-mana CMS yang lain adalah konfigurasi. Berlainan dengan sistem yang dibina secara "custom", sistem Drupal mempunyai struktur pangkalan data yang standard. Bagi golongan yang sangat amatur, proses salinan konfigurasi sistem daripada komputer "localhost" perlu dibuat menerusi backend dan bukan semua pakar menguruskannya. Drupal 8 mengasingkan semua konfigurasi daripada pangkalan data dan disimpan dalam bentuk fail. Di samping mengurangkan capaian kepada pangkalan data, saiz dan beban kepada pelayan, konfigurasi sesuatu laman boleh dikemas kini, diguna pakai dan dipindah milik hanya dengan melakukan salinan pendua menerusi akses FTP sahaja. Hebat!


#6 Mobile


Internet ada di mana-mana. Kini dengan teknologi telefon pintar, laman web boleh diakses di mana-mana, dalam apa jua bentuk platform dan peranti. Inisiatif yang terakhir ini memastikan Drupal 8 adalah sepenuhnya menyokong paparan pada mobil. Ini termasuklah "responsive" templat yang mengambil kira perubahan saiz skrin. Ianya bukan terhad kepada templat sahaja (yang mana hampir kebanyakan CMS hari ini sudah menggunakannya) sebaliknya sistem itu sendiri. Modul tambahan iaitu Breakpoint yang bertindak untuk memaparkan saiz gambar berlainan pada saiz media yang berlainan, bukan satu gambar yang diskalakan kepada 100%. Modul Breakpoint ini disambungkan dengan modul ImageStyle. Maknanya pada iPhone kita akan melihat gambar hitam putih bersaiz 300px, manakala di desktop pula dengan kesan Sephia pada saiz 500px yang menuntut pengguna memuat naik satu gambar sahaja.

Kategori: 
Tags: 
drupal 8
content authoring
multilingual
web services
views in core
configuration management
mobile