Budaya Membaca Kurang Dipraktikkan Masyarakat Kita

Semenjak berpuluh tahun yang lepas, sering kita dihiburkan dengan iklan pendek berkenaan dengan aktiviti budaya membaca. Masih teringat iklan kanak-kanak, orang dewasa membaca buku dan surat khabar di perpustakaan, sedang menunggu bus dan sedang berjalan-jalan. Tapi hakikatnya budaya ini sangat sukar untuk diterapkan dalam masyarakat kita.

Cuba kita lihat budaya ini pada masyarakat barat. Mereka menganggap budaya membaca itu satu keseronokan bagi mereka. Dan bukan setakat itu sahaja. Ianya dipraktiskan secara meluas. Perhatikan laman web dan blog-blog yang ditulis oleh golongan mereka, mereka gemar untuk menulis? Mengapa? Kerana budaya gemar untuk membaca hasil tulisan seseorang.

Berbeza dengan budaya kita yang lebih gemar untuk melihat gambar, cerita gosip artis dan politik. Kalau di media sosial pula, mereka lebih gemar menggunakan Twitter berbanding Facebook. Apakah yang membezakan Twitter dan Facebook?

Twitter dengan sengaja mencipta dan menghadkan 140 aksara sahaja dimuatkan dalam satu hantaran untuk memastikan pengguna hanya menulis perkara-perkara yang penting sahaja. Sekiranya penulisan mereka panjang, Twitter mencadangkan agar pautan kepada blog atau penulisan asal dikongsi. Apa yang kelihatan di sini adalah mereka mencari maklumat dan membaca hanya informasi yang tepat dengan ulasan tersendiri oleh penulis.

Facebook lebih kepada interaksi sosial tetapi kebanyakkannya digunakan oleh masyarakat kita sebagai tempat untuk berborak, berkongsi maklumat tanpa melihat kepada kerelevanan maklumat asal. Mana-mana blog yang hanya teks seperti blog ini, kurang mendapat sambutan sebaliknya jika dipenuhi dengan gambar artis atau gosip terkini, secebis maklumat pun boleh menjadi viral.

Walaupun begitu, setelah kebangkitan semangat berblog oleh golongan masyarakat kita yang mahu melihat kelebihan bahasa Melayu sama hebatnya dengan bahasa asing, dapat dilihat kualiti kandungan dan penulisan blog pada hari ni semakin matang. Sudah semakin jarang melihat blog-blog yang menggunakan bahasa pasar sebaliknya mereka lebih professional dari segi tatabahasa, ejaan dan keindahan bahasa Melayu dalam penulisan masing-masing.

Diharapkan budaya membaca ini dapat diterapkan sepenuhnya dalam diri kita semua dibantu dengan kemajuan teknologi dan pembangunan ketamadunan masyarakat kita ke satu peringkat yang lebih tinggi daripada sekarang.

Kategori