Berbaloi atau tidak melanggan Office 365

Sekiranya anda seorang pengguna produk Microsoft Office dalam kebanyakan kerja seharian, sememangnya sangat berbaloi untuk melanggan Office 365. Untuk makluman, Office 365 adalah nama produk yang diberikan oleh pihak Microsoft yang menyediakan perkhidmatan Office 2013 (produk yang terbaru) secara langganan. Ini adalah satu inisiatif terbaru yang dilancarkan dan yang pertama dalam generasi Office selama ianya dikomersilkan.


Soalan #1: Office 365 adalah jenis langganan, bukankah lebih baik mendapatkan Office 2013 untuk dipasang di komputer, tiada had masa penggunaan.


Ya betul. Pembelian Office 2013 secara berlesen untuk kegunaan pada satu komputer tidak mempunyai sebarang had penggunaan berbeza dengan langganan. Langganan perlu diperbaharui secara bulanan atau tahunan. Ianya lebih mudah jika kita buat perbandingan dari segi kiraan kos yang perlu ditanggung.


Office 365 didatangkan dengan set perisian Word, Excel, PowerPoint, OneNote, Outlook, Publisher dan Access. Harga untuk set yang sama bagi kegunaan lesen pada satu komputer berharga RM1,499.00.


office 2013 lesen satu komputer


Manakala harga langganan untuk Office 365 adalah RM249.99 (~ RM250) setahun. Jadi, RM1500 / RM250 = 6 tahun. Kos yang sama membolehkan langganan Office 365 dibuat selama 6 tahun. Nanti dahulu, Office 365 membenarkan 5 pemasangan dibuat pada komputer berlainan, bermakna penjimatan yang boleh diperolehi: 6 tahun x 5 komputer = 30 tahun penggunaan/langganan.


Dalam 6 tahun juga, sudah pasti versi terbaru Office bakal dikeluarkan. Oleh itu, langganan 365 memastikan kita akan menggunakan versi Office yang terbaru sebaik sahaja ianya dilepaskan berbanding pemasangan pada satu komputer.


Soalan #2: Office 365 memerlukan capaian internet untuk digunakan.


Capaian internet hanya diperlukan untuk pertama kali ianya dipasang. Bagi komputer yang belum pernah dipasang dengan mana-mana produk Office, kita hanya perlu memuat turun Starter Office yang bersaiz dalam 3MB sahaja. Pemasangan ini hanya memuatkan fail-fail yang penting sahaja untuk memulakan mana-mana perisian Office.


status akaun pemasangan office 365


Sebaik sahaja mana-mana aplikasi Office dilancarkan, Starter Office tadi akan mula memuat turun elemen-elemen dan perkakas yang diperlukan selanjutnya di latar belakang. Dan proses ini sangat pantas dalam sekitar 10 - 15 saat sahaja. Saya sendiri pun agak terkejut dengan kemampuan Office ini. Proses ini berterusan untuk lain-lain aplikasi. Setelah proses muat turun ini selesai, maka perisian boleh digunakan tanpa memerlukan sambungan internet (kecuali dalam kes-kes fungsi tambahan tertentu yang masih belum dimuat turun).


Soalan #3: Bila dah tamat langganan, apa yang akan terjadi dengan Office yang telah dimuat turun?


Apabila langganan tamat, mana-mana komputer yang telah dipasang dengan Office 365 akan ditukar mood pemprosesannya kepada "read-only". Bermakna aplikasi hanya menyokong untuk membuka dan mencetak fail-fail Office sahaja. Seandainya langganan disambung semula, Office 365 akan mengaktifkan semua perisian kembali berfungsi sepenuhnya.


Soalan #4: Saya masih ragu-ragu untuk mencubanya.


Untuk masa terhad (tidak pasti sampai bila) Office 365 telah dibuka untuk proses percubaan selama sebulan. Anda boleh mencubanya secara percuma. Hanya perlu layari pautan ini: http://office.microsoft.com/ms-my/buy/ dan masukkan maklumat kad kredit untuk proses diteruskan. Anda tidak perlu risau kerana tiada sebarang cas dikenakan untuk tempoh masa sebulan. Apabila langganan tamat, satu emel notifikasi akan dihantar. Jika anda berminat, langganan boleh dibuat. Jika tidak, anda boleh tamatkan di situ sahaja dan Office akan dibuang sepenuhnya.



Atau pun, langganan boleh dibuat sekadar untuk satu bulan sahaja terlebih dahulu dengan harga RM24.99 sahaja. Bagi saya harga ini sangat berbaloi dan mampu dimiliki.

Kategori