Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Bengkel Pembangunan Sistem di JKWP

16 Feb 2012 - 01:46 am

Agak lama saya tidak mengemas kini blog ini dengan entri terbaru. Disebabkan kesibukan masa dengan beberapa projek yang telah selesai dan masih berjalan. Baru-baru ini, saya baru selesai mengadakan ceramah dan bengkel mengenai pembangunan sistem dan laman web dengan Drupal 6 di Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan pada 13 dan 14 Februari 2012. Jumlah kehadiran peserta adalah seramai 30 orang pada sesi pertama (Pengenalan kepada Laman web) dan 20 orang bagi sesi pembangunan sistem.

Pada hari pertama dan sesi pertama, ceramah saya berkisar kepada asas dan pengenalan kepada laman web. Ini disebabkan kebanyakan peserta dalam bengkel tersebut boleh dikatakan belum mengenali dan mengetahui secara mendalam berkenaan laman web. Saya telah diberi tugasan untuk memandu peserta dalam membangunkan sistem secara in-house. Oleh itu, adalah baik sekiranya peserta dapat mengambil maklum terlebih dahulu al-kisah laman web itu sendiri. Dan boleh dikatakan sepanjang ceramah ini berlangsung, banyak soalan-soalan yang dianggap "basic" oleh sesetengah pengguna namun ianya menjadi kekeliruan bagi pihak yang lain.

Setelah selesai sesi pertama, peserta bergerak ke bilik yang lebih besar bagi memberi ruang yang lebih besar untuk peserta menggunakan komputer. Sesi berikutnya bermula dengan pengenalan kepada Drupal 6. Seperti mana-mana bengkel dan ceramah sebelum ini, saya lebih gemar menggunakan Drupal 6 berbanding Drupal 7 dengan mengambil kira aspek bilangan modul, kompleksiti pembangunan sistem dan kestabilan kod.

Ceramah dimulakan dengan sesi berkenalan dengan asas dan istilah yang digunakan dalam Drupal. Seterusnya peserta didedahkan dengan teknik dan tatacara untuk memasang pelayan di komputer masing-masing. Pada hari kedua, sesi awal diteruskan dengan pemasangan Drupal. Peserta mendapat pendedahan baru dalam pengurusan pangkalan data dan asas sesuatu sistem dijalankan dibelakang tabir. Aktiviti bermain-main dengan ruang pentadbiran Drupal mula menampakkan keseriusan peserta. Boleh dilihat kerutan wajah dan cuba-paksa memahami sistem yang disediakan oleh Drupal. Ya, mungkin disebabkan perbezaan jurang bidang yang terlalu besar, proses untuk mengadaptasi dan menyerap semua input-input dalam tempoh dua hari agak memenatkan mereka. Tetapi di akhir bengkel, saya berjaya memandu beberapa kumpulan untuk membangunkan satu sistem yang ringkas.

Antara sistem yang berjaya dibangunkan dalam tempoh kurang dari satu hari adalah Perpustakaan Sampel. Sistem ini digunakan untuk mendaftarkan setiap sampel yang diterima semasa proses kerja dilakukan. Ianya didaftarkan dan dijadikan sebagai rujukan untuk staf yang lain dalam mendapatkan maklumat setiap sampel yang digunakan. Buat masa kini, borang penilaian masih lagi dalam proses penganalisaan dan akan saya maklumkan setelah ia dikembalikan kepada saya. Akhir kata, bengkel kali ini agak memenatkan sedikit kerana terpaksa mengendali 30 orang peserta yang mempunyai zero knowledge dalam pembangunan sistem dan laman web.

Kategori: 
Tags: 
bengkel
drupal
laman web
jkwp
pembangunan sistem