Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Diari

setiap orang mempunyai kisah hidupnya tersendiri, seperti saya juga yang akan mencoret setiap peristiwa yang menarik dalam hidup ini di sini.

Buku Drupal 7: Permulaan dalam proses penulisan

22 Jan 2012 - 08:30 am

Komuniti Kripkorn Studios adalah yang paling berjaya pernah dibina oleh saya bagi membantu pengguna-pengguna diluar sana mempelajari dan mendapatkan bantuan dalam menggunakan Drupal. Sehingga 3 tahun laman ini berdiri, banyak komen-komen dan cadangan daripada mereka agar ianya dibukukan dan diterbitkan dalam dalam bentuk cetakan.

Menyahut permintaan tersebut, kini saya dalam proses untuk menerbitkan sebua buku yang mampu untuk dimiliki oleh semua golongan pihak yag bertajuk "Drupal 7: Permulaan". Istimewanya buku ini sepenuhnya ditulis dalam bahasa Malaysia yang masih belum wujud dalam mana-mana pasaran. Tidak dinafikan pengguna di Malaysia ini lebih selesa untuk mendapatkan buku yang ditulis dalam bahasa ibunda sendiri berbanding bahasa lain.

Buku ini mengandungi 13 Bab (setakat ini) yang menyentuh secara asas penggunaan Drupal 7 dalam pembinaan laman web pelbagai jenis. Buku ini sangat sesuai kepada golongan yang baru, tengah dan sedang mengenali Drupal. Harga masih dalam peringkat pantauan oleh pihak cetakan. Buku ini hanya wujud dalam bentuk cetakan dan tiada sebarang versi "ebook" akan dikeluarkan. Ini bagi memastikan kualiti, hak cipta dan tahap kepuasan pelanggan menepati jangkaan saya.

Nantikan kemunculan buku ini yang dijangka akan dikeluarkan  pada bulan April 2011 nanti.

Artikel saya telah diterbitkan

10 Jan 2012 - 08:59 pm

Pada bulan Mac 2010, saya telah dilantik sebagai penulis artikel bagi satu laman web dibawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia yang memberi informasi berkaitan dengan kesihatan dan penjagaan kendiri iaitu MyHealth Web Portal. Portal ini dibangunkan bagi menyediakan maklumat berkaitan dengan kesihatan merangkumi semua aspek dan peringkat umur. Ianya diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai satu portal yang mengandungi artikel-artikel yang berguna, berkesan dan bermanfaat. Hasil penulisan dan penerbitan artikel melalui banyak peringkat pengesahan daripada semua disiplin termasuklah doktor, profesor dan ahli farmasi.

Pelantikan ini memberi satu ruang kepada saya bagi berkongsi dan menyampaikan maklumat berkaitan dengan ubat-ubatan kepada umum. Secara umumnya, ianya dilihat seperti sumbangan yang biasa namun proses bagi satu-satu artikel tersebut diterbit melalui banyak peringkat. Jadi secara amnya, artikel yang berkualiti, berinformasi dan sesuai untuk dibaca oleh semua peringkat golongan umur. Penghasilan artikel ini bukanlah satu perkara mudah memandangkan banyak rujukan perlu dilakukan dan pengolahan ayat yang sesuai untuk mudah difahami.

Saya telah diberi mandat untuk menghasilkan artikel berkaitan dengan antasid iaitu sejenis ubat yang diberikan kepada pelanggan atau pesakit yang mengalami gangguan sakit perut. Artikel secara keseluruhannya menyentuh semua aspek dari segi pemakaian, penggunaan dan perawatan kendiri.

Tahun 2012, Selamat datang and Welcome

01 Jan 2012 - 12:05 am

Pertama sekali ingin saya ucapkan selamat tahun baru kepada semua pengunjung blog peribadi ini. Walaupun entri ini ditulis tepat selepas 12 tgh malam 1 Januari 2012, namun bagi saya tiada perubahan atau sebarang perbezaan daripada kiraan hari. Bagi saya setiap masa dan hari boleh dilakukan diperubahan, azam, keinginan atau sasaran. Tetapi telah menjadi kelaziman setiap tahun bagi semua golongan melakukannya pada tarikh keramat ini.

Mungkin dari sudut pengiraan dan statistik, adalah lebih mudah mengambil satu titik tolak yang menjadi piawai kepada semua orang. Oleh itu ramai yang mengambil 1 Jan setiap tahun sebagai tindakan sasaran mereka. jadi rasanya, walaupun menafikannya pada bahagian awal, beberapa perancangan terbaru yang akan dilakukan termasuklah aktiviti untuk 365 hari yang akan datang.

Kripkorn Studios

Versi Drupal telah mencecah kepada 7 dan tutorial yang dimuatkan di KS masih belum mencecah 50% untuk Drupal 6. Memandangkan pada tahun lepas banyak perancangan dan perubahan yang dilakukan terhadap laman itu sendiri meninggalkan tujuan dan misi utama dibelakang. Untuk tahun 2012 saya akan cuba memuatkan seberapa banyak tutorial agar boleh mencapai sasaran sekurang-kurangnya 75% daripada target asal iaitu 750 tutorial daripada 1000.

Selain itu, satu ruangan terbaru akan diwujudkan iaitu Kuiz. Sepanjang pemerhatian saya mendapati ramai yang sekadar membaca namun tidak tahu sejauh mana tahap pemahaman mereka terhadap tutorial yang disediakan. Terutamanya Drupal dan pengaturcaraan asas. Ruangan terbaru ini akan menyediakan soalan-soalan bagi menguji tahap kefahaman pengguna.

Saya Parasolx

Seperti biasa, ia adalah blog dan akan dikemas kini entri terbaru berdasarkan kepada masa tersebut. Namun satu perubahan akan dilakukan terhadap paparan blog ini. Boleh dikatakan blog ini melalui banyak perubahan dari segi paparan. Namun rasanya paparan yang ini diharapkan menjadi yang terakhir atau tidak pun kekal untuk beberapa tahun akan datang.

Kelas pembangunan Drupal

Kalendar 2012 masih belum lagi penuh. Tetapi untuk tahun ini saya akan cuba wujudkan kelas pembangunan menggunakan Drupal 7 dan penekanan kepada kelas lanjut dalam menggunakan Drupal 6. Tidak perlu risau memandangkan Drupal 6 akan kekal digunakan dalam tempoh 2 tahun lagi sehingga Drupal 8 dilepaskan. Jadi kepada mana-mana pertubuhan yang memerlukan ruangan untuk bengkel ini dijalankan, sila hubungi saya.

Ramai yang berkira untuk bekerja... tapi...

29 Dec 2011 - 04:24 pm

Bukan tuju kepada sesiapa dan bukan memaksudkan kepada sesiapa. Mungkin kepada diri sendiri sebagai peringatan atau panduan dalam hidup. Memang betul, ramai yang berkira dalam hidup. Mengambil kira masa, tenaga, kerja yang bakal dibuat adalah setimpal dengan imbuhan yang diberikan. Tetapi ramai yang TIDAK berkira imbuhan yang diterima dengan kerja yang telah dilakukan.

Manusia sememangnya begitu. Susah untuk melakukan sesuatu yang melebihi daripada ganjaran "nyata" yang bakal diterima. Semua mahu hidup senang. Betul, siapa mahu hidup susah. Tapi kadang kala sifat yang penting diri sendiri menyusahkan beberapa golongan yang berada dalam landasan yang sama. Kita sememangnya mudah sangat berkira apabila giliran yang sepatutnya tiba tetapi tidak dapat. Kadang kala kita marah dan berkira sangat-sangat bila giliran kita sudah sampai tetapi kita merasakan belum sampai.

Dalam hidup ini, kita kena jadi fleksibel. Jangan jadi seperti jaring menangkap ikan... yang besar dipegang yang kecil dilepaskan. Kehidupan perlu berkira tapi pernahkah kita kira dengan sebetul-betulnya? Betulkah sepanjang tempoh kita bekerja kita memanfaatkan sepenuhnya waktu itu dengan kerja yang sepetutnya kita lakukan? Adakah kita ambil kira waktu kita termenung? Masa untuk berjalan tanpa arah tujuan? Jika kita sebegitu, sememangnya tidak hairan untuk kita berkira. Tetapi jika kita pun tidak pasti yang kita sebenarnya bekerja sepenuh hati, itu yang perlu tepuk dada dan tanya selera.

Jika tidak suka dan berkira sangat dengan kerja yang kita lakukan, lebih baik tukar kerja lain yang hanya kita sahaja yang bekerja.

Satu lagi pembaharuan dalam Facebook

16 Dec 2011 - 03:02 pm

Boleh dikatakan rata-rata pengguna yang mengenali dan menggunakan internet di era tahun 20an sudah biasa dengan jaringan sosial seperti MySpace, Friendster dan macam-macam lagi. Terbaru dan sehingga kini yang masih mengekalkan popularitinya adalah Facebook dan Twitter.

Pergh, persaingan antara kedua-keduanya boleh dikatakan sangat sengit kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan fokus tertentu pengguna memilih untuk bergiat aktif. Dan yang paling seronok dilihat, masing-masing mengubah citarasa dari segi penyampaian dan paparan untuk menarik minat pengguna.

Terbaru, Facebook telah memperkenalkan Timeline bagi menggantikan konsep dan reka bentuk penyampaian maklumat untuk profil pengguna sekiranya dilihat oleh pengguna yang lain. Saya telah mengaktifkannya di akaun Facebook dan ternyata ianya sangat menarik. Dengan bentuk dan susunan kandungan yang lebih mudah dilihat dan berdasarkan kepada waktu, Timeline senmestinya menjanjikan kelainan kepada pengguna Facebook.

Tidak kurang hebatnya Twitter. Mereka juga telah melakukan pembaharuan dengan memaparkan bentuk dan susunan Tweet berbeza berbanding sebelum ini. Ke semua Tweet telah dialihkan ke bahagian kiri dan beberapa informasi tambahan disusun di sebelah kanan. Selain itu perubahan dilakukan untuk setiap satu Tweet yang pada saya dilihat telah mudah, relevan dan senang untuk difahami berbanding sebelum ini.

Walau apa pun pembaharuan dilakukan, kedua-duanya memberi kesan yang lebih mudah kepada pengguna (seperti yang saya rasakan sekarang). Jadi nampaknya blog saya ini  pun perlu melalui satu perubahan juga.

Pages