Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Diari

setiap orang mempunyai kisah hidupnya tersendiri, seperti saya juga yang akan mencoret setiap peristiwa yang menarik dalam hidup ini di sini.

Hidupkan komputer dengan "wallpaper" berlainan setiap hari

16 Sep 2012 - 11:46 am

Kebanyakan daripada kita semua sangat menghargai gambar atau "wallpaper" pada komputer masing-masing. Ada yang mempunyai tabiat menukarnya setiap hari dan pelbagai perisian percuma diluar sana yang boleh dimuat turun untuk mengendalikan tanggungjawab penukaran ini secara automatik.


Tetapi masih tersangkut dibahagian pemilihan gambar-gambar tersebut. Kita masih perlu melakukan kerja-kerja memuat turun, memilih dan meletakkan gambar-gambar harian ke dalam satu folder. Tapi bagaimana saya katakan jika perisian ini mampu untuk memuat turun dari internet dan menggunakannya sebagai "wallpaper" harian anda?


John Background Switcher (JBS) adalah jawapannya.



JBS adalah perisian percuma yang boleh dimuat turun pada pautan di atas. Kelebihannya adalah mampu untuk menggunakan Media RSS Feed untuk mendapatkan gambar-gambar daripada internet. Memuat turun secara automatik dan menjadikannya sebagai wallpaper. Feed ini boleh didapati daripada pelbagai laman web seperti DeviantArt dan Photobucket. Atau dengan memberikan kebenaran tertentu ianya mampu untuk mengakses gambar-gambar daripada akaun sosial seperti Facebook dan Flickr. Hebat!



Selain itu, ianya dimuatkan dengan fungsi untuk memilih bentuk paparan gambar dihasilkan. Sama ada sekeping gambar, 4 gambar dalam satu paparan, mozek atau scrap book. Di tambah pula dengan kesan khas kepada gambar seperti B&W, Sephia atau Light Colour.



Pada laptop peribadi, saya menetapkan agar JBS menarik gambar-gambar harian daripada Flickr untuk dijadikan sebagai wallpaper. Tempoh penukaran ditetapkan kepada setiap 15 saat. Menjadikan saya menatap gambar-gambar baru dikala mencari idea dan tiada apa hendak dilakukan.


Lebih menarik, ianya juga didatangkan dengan kalendar yang terbina. Saya amat tertarik dengan fungsi ini sebagai rujukan walaupun boleh sahaja klik pada jam di taskbar Windows.



Sungguhpun JBS memerlukan akses daripada internet, ianya dilengkapi dengan fungsi "caching". Setiap gambar yang dimuat turun boleh ditetapkan tempoh hayat ianya digunakan sebelum dibuang secara daripada simpanan. Jadi tidak perlu bebankan ruangan dengan gambar-gambar yang kita belum tentu akan guna nanti. Gambar-gambar yang disimpan akan digunakan sewaktu tiada capaian internet diperoleh.


Sehingga hari ini, saya telah menggunakan JBS hampir seminggu dan hasil yang sangat memuaskan memandangkan perisian adalah sangat ringan dan tidak membebankan sewaktu Windows 7 dimulakan.

Batterybar, aplikasi kecil untuk pengguna laptop

04 Sep 2012 - 12:46 am

Bagi pengguna laptop, kita memilih untuk menggunakannya atas dasar moboliti atau kemudahan untuk bergerak ke sana ke sini bersama komputer. Aset terpenting bagi sebuah laptop adalah bateri yang membekalkan sumber tenaga utama sewaktu mobil.

Perisian hari ini seperti Windows, Mac OS atau Linux sememangnya didatangkan dengan indikator untuk memaparkan status dan jangka hayat bateri kepada kita. Namun indikator tersebut mungkin terlalu ringkas.

Batterybar merupakan satu aplikasi ringan, kecil dan sangat berguna. Tambahan ianya boleh dimuat turun secara percuma yang cukup memenuhi keperluan dan informasi terpenting kepada kita.

BatteryBar memaparkan maklumat lengkap mengenai peratus cas yang masih ada, kapasiti atau keupayaan bateri yang digunakan, perkadaran discaj dan yang paling penting tempoh anggaran masa cas sedia ada boleh digunakan.

Pada bahagian taskbar pula, ianya boleh diubah untuk memaparkan peratus hayat bateri atau masa hayat bateri yang boleh digunakan.

Bagi yang berminat boleh memuat turunya di laman web rasmi BatteryBar.

Perkara kurang manis pengguna internet

11 Apr 2012 - 08:32 am

Memang betul internet ini satu dunia tanpa sempadan, sesiapa pun berhak menggunakannya dan tidak dikawal oleh mana-mana peraturan. Tetapi perlu ingat bahawa dunia internet sama sahaja seperti dunia sebenar. Ada tatasusila yang mungkin kita sebagai pengguna baru (atau pun yang sudah veteran) kurang peka terhadap situasi tersebut.

#1 Kurang sopan dalam bertanya

Masalah yang sering berlaku di mana-mana sekalipun. Tidak susah untuk beradap dalam menanyakan sesuatu. Jika mahu jawapan segera sekalipun, lihat persekitaran. Memang kita berhak untuk bertanya, tetapi orang lain ada hak untuk jawab atau tidak. Jadi jangan sesekali menganggu privasi kehidupan orang lain.

#2 Kurang sopan dalam membalas

Ini satu lagi kes. Kurang-kurangkan membalas pertanyaan, jawapan atau perbualan secara virtual dengan sampukan yang kurang manis. Tidak kisah anda sudah berumur, berpengalaman atau anda sendiri seorang pelopor internet di Malaysia sekalipun, jika perkara asas tidak diamalkan, anda tidak ubah seperti kera yang disusukan.

Sila pandang dan lihat situasi. Jika ada seorang bertanya mengenai sesuatu, tidak perlu la membalas "Search di Google", "Ala buat sendiri pun senang". Sememangnya anda bukan pengguna internet yang bijak. Orang tidak akan bertanya sekiranya dia sudah tahu.

#3 Kurang sopan dalam bertanya lagi

Kita lihat dari sudut positif. Jika berdepan dengan pengguna yang seperti ini, kita sebagai pihak penanya ambil inisiatif sedikit. Cuba buat sedikit carian di Google. Sebenarnya Google ini tidak susah. Hanya gunakan kata kunci atau tulis sahaja soalan yang sama anda tanya pada medan carian.

Salin dan tampal mana-mana artikel yang tidak faham ke tempat yang sama atau tuju terus pembalas tadi.

#4 Kurang sopan dalam berbincang

Apabila ada banyak idea dan pendapat, tidak perlu untuk mempertahankan pendapat kita sendiri. Nanti dilihat sebagai syok sendiri. Gunakan istilah-istilah dan terma yang lebih lembut. Pendapat anda mungkin bernas, tetapi jika dilontarkan dengan cara yang kurang bijak, idea tersebut seperti anjing menyalak gunung sahaja.

Apa-apa pun, terpulang kepada diri sendiri. Ada yang berpendapat, "Owh, kamu belum kenal dia lagi.. perangai dia memang macam itu". Bagi saya, tidak salah untuk cuba menjadi seorang yang lebih berdisiplin. Bukan sampai menjadi seorang hipokrit. Tegas dan berpegang pada prinsip hidup memang bagus tetapi tidak perlulah sampai menampakkan kebodohan diri sendiri.

[DIY] Menyelenggara penghawa dingin di rumah

06 Apr 2012 - 11:38 am

Kepada sesiapa yang memiliki penghawa dingin di rumah selalunya akan memanggil pihak ketiga untuk menjalankan rutin penyelenggaraan. Caj atau kos yang ditanggung selalunya sekitar RM150 - RM200, bergantung.

Tetapi hakikatnya semua ini kita boleh lakukan secara sendiri (DIY). Salah satu cara untuk menjimatkan duit poket di samping belajar sesuatu yang baru. Bagi pemiliki penghawa dingin yang moden, selalunya gas penyejuk boleh bertahan hampir tiga tahun tanpa memerlukan pengisian semula. Jadi, apabila penghawa dingin sudah menunjukkan kekurangan dari segi efisien ianya bekerja, kemungkinan besar terdapat banyak kekotoran yang melekat atau "hinggap" pada bahagian tertentu.

Untuk bahagian yang paling penting perlu dicuci adalah pemampat udara atau kompresor penghawa dingin. Kita boleh gunakan pancutan air berkuasa tinggi atau gunakan berus sabut (yang macam berduri-duri) atau berus gigi. Jangan guna berus yang sangat keras dan kasar kerana pigmen aluminium kompresor mungkin boleh bengkok dan menutup terus ruang aliran udara.

Pertama sekali kita cuci dibahagian belakang kompresor dari atas kemudian turun ke bawah. Jangan berus atau tembak air secara melintang (kiri ke kanan) kerana sirip aliminium akan bengkok.

Teruskan mencuci pada bahagian lain-lain yang mempunyai sirip aluminium tersebut. Tahap kebersihan yang dianggap sesuai adalah kita boleh melihat kipas atau pandangan tersebut tembus. Sekiranya belum boleh nampak bermakna masih terdapat kekotoran yang melekat di situ. Tembak dengan pancutan air berkuasa tinggi.

Kebiasaanya kompresor yang moden membenar untuk kita membuka jaring dibahagian hadapan. Bukaan jaring memudahkan untuk pancutan air ditembak dari arah dalam ke luar kompresor. Cucian boleh dilakukan dengan lebih cepat. Tidak perlu risau kerana motor kompresor dilindungi dengan bekas kedap air termasuk ke seluruhan badan kompresor penghawa dingin, semuanya boleh ditembak dengan pancutan air.

TETAPI perlu elakkan satu kawasan pada badan kompresor iaitu di bahagian paip saluran.

Bahagian ini mengandungi alatan elektronik yang mengesan ketumpatan gas dan suhu untuk mengawal kelajuan pusingan kipas kompresor. Jadi pastikan kita tidak menembak air pada bahagian ini. Jika perlu untuk bersihkan juga, hanya gunakan aliran air yang biasa sahaja.

Selepas semuanya selesai, kompresor dengan wajah yang lebih bersih tampil untuk berkhidmat.

Tada! Dah siap. Lepas sahaja dicuci, saya cuba jalankan penghawa dingin dan ternyata, kesejukan yang dihembuskan lebih cepat, kurang tenaga digunakan dan sememangnya sejuk seperti pertama kali ianya dibeli.

Selamat mencuba.

Cadangan penambahbaikan paparan laman web Know Your Medicine

23 Mar 2012 - 02:44 am

Know Your Medicine merupakan laman web di bawah seliaan program Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyediakan maklumat dan informasi mengenai ubat-ubatan kepada pengguna. Laman web ini dibangunkan dengan inisiatif untuk memberi kesederan mengenai cara penggunaan ubat-ubatan yang betul.


Cadangan penambahbaikan terhadap paparan sedia ada telah dilakukan. Proses pembinaan templat telah dibuat dan diterima. Konsep dalam pembinaan paparan yang baru adalah elegan, moden dan bersih.


#1 Kelemahan paparan asal



Paling jelas paparan sedia ada tidak memenuhi konsep Web 2.0. Kedudukan dan susunan kandungan dilihat diletakan secara rambang dan sekadar memenuhi ruang rekaan. Tiada keutaman dan fokus dilakukan berdasarkan kepada kepentingan maklumat dan data. Saiz dan rekaan tidak mempunyai keseragaman. Navigasi menu juga sekadar wujud tanpa mengambil kira skor kepentingan pengguna.


Dari segi struktur mikro dokumen, sememangnya tidak memenuhi web semantik. Tiada tulang belakang terhadap kandungan. Dari aspek SEO, kandungan seolah-olah terapung-apung dan sukar untuk dikesan oleh enjin carian. Secara keseluruhan, paparan asal tidak mengikuti konsep, idea dan perkembangan.


#2 Konsep penambahbaikan


Perkara yang penting dalam penambahbaikan paparan adalah:


  • memenuhi konsep Web 2.0
  • rekaan adalah elegan, profesional dan bersih
  • kandungan dan menu navigasi disusun mengikut hierraki
  • keseragaman
  • mematuhi spesifikasi MAMPU (agensi kerajaan)


#3 Rekaan terbaru


Proses rekaan melalui beberapa siri draf dan rekaan kasar. Maklumat dikumpul, disenarai dan berikan skor kepada tahap kepentingan ianya akan disusun. Rekaan menggunakan sistem penggridan 960 piksel. 960.gs membenarkan rekaan dan kandungan disusun dengan lebih seragam di samping menyampaikan maklumat dengan lebih mudah.



Penggunaan "slideshow" pada bahagian kritikal diwujudkan (atas, kiri). Ini membenarkan informasi yang terkini menjadi topik utama pada halaman utama. Seterusnya dibahagian kurang kritikal (atas, kanan) menempatkan multimedia tentang penggunaan ubat-ubatan. Di bahagian penting (bawah, kiri kanan) menempatkan navigasi maklumat yang disampaikan dalam bentuk tab. Tujuan utama pengwujudan tab adalah untuk mengecilkan saiz ketinggian dokumen. Kajian jelas menunjukkan pengguna hanya akan skrol satu halaman sebanyak 20% ke bawah yang besar kemungkinan maklumat tidak berjaya ditunjukan. Manakala dibahagian terakhir adalah senarai pautan kepada laman-laman agensi kerajaan yang lain.


#4 Variasi penggunaan warna bagi pengguna buta warna


Walaupun faktor ini dilihat kurang penting, tetapi salah satu spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak MAMPU adalah menyediakan kemudahan kepada pengguna yang buta warna dan orang yang lebih berumur. Templat ini didatangkan dengan tiga variasi warna utama iaitu hijau (warna utama), biru dan merah. Pengguna buta warna kebanyakkan mengalami kesukaran untuk membezakan warna hijau dan merah. Ini mengakibatkan sesetengah grafik dan rekaan tidak dapat dilihat oleh mereka.




Variasi warna biru




Variasi warna merah


#5 Rekaan navigasi menu


Hierraki menu sedia ada ditambah baik dengan rekaan yang lebih jelas, bersih dan menggunakan kesan khas bayang untuk memberi nafas baru. Menu ini akan berada dalam keadaan statik dibahagian atas dokumen bagi membenarkan pengguna mengakses setiap senarai menu tanpa perlu untuk skrol kembali kebahagian atas dokumen.



#6 Rekaan dan susunan kandungan halaman


Ini adalah bahagian yang terpenting. Susunan kandungan didatangkan dengan dua variasi paparan iaitu:


  • Kandungan + blok kandungan kiri (rekaan utama)
  • Kandungan + blok kandungan kiri + blok kandungan kanan


Bahagian kandungan direka dengan pembahagian dua atau tiga kolum berdasarkan kepada kewujudan kandungan sampingan dalam bentuk blok. Kandungan sampingan diletakan di bahagian kiri dan kanan kandungan utama. Berdasarkan kepada kajian model mental, pengguna lebih tertumpu kepada skrin dibahagian sebelah kiri dan tengah. Kajian menunjukkan meletakkan kandungan utama sama ada di sebelah kiri atau tengah masing-masing memberi peratusan fokus yang tinggi.




Kandungan utama + blok sampingan kanan




Kandungan utama + blok sampingan kiri dan kanan


Penggunaan format "typography" diimplemenkan dalam rekaan ini berdasarkan kepada variasi pemilihan warna daripada pengguna.

Pages