Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Diari

setiap orang mempunyai kisah hidupnya tersendiri, seperti saya juga yang akan mencoret setiap peristiwa yang menarik dalam hidup ini di sini.

[Ubah suai Rumah] Hari Kelapan

02 Oct 2012 - 07:08 pm

Sudah agak lama tidak mengemas kini entri untuk proses ubah suai rumah. Jadi saya rangkumkan perubahan yang telah berlaku sepanjang tempoh seminggu renovasi yang telah selesai dibuat.

Pertama sekali adalah bahagian hadapan rumah. Tiang untuk bumbung meletak kereta telah siap sepenuhnya. Proses mendirikan tiang seri dilakukan dengan mengorek lubang bagi penyediaan tapak konkrit. Ini bagi mengelak tiang tenggelam apabila beban bumbung yang berat selesai.

Kemudian setelah konkrit cukup keras, tiang mula dinaikkan pada tapak konkrit tersebut. Seterusnya simen diisi di dalam tiang untuk menguatkan struktur tiang.

Proses pembinaan struktur untuk bumbung diteruskan dengan binaan galang untuk menyokong atap yang baru. Binaan ini termasuk membentuk longkang dibahagian atas bagi menangkung dan mengalirkan air hujan daripada atap bumbung yang baru.

Cerita kepimpinan melalui teladan landak dan musang

28 Sep 2012 - 03:23 pm

Banyak kisah teladan boleh dilihat. Kadang kala dengan mengambil kehidupan dipersekitaran, boleh memajukan diri sendiri dalam sesetengah bahagian. Salah satunya adalah cerita antara landak dan musang.

Diceritakan landak dan musang ini merupakan dua ekor binatang yang berjalan seiringan menuju ke satu tempat yang penting. Musang sememangnya hebat dalam melarikan diri, menyelinap di balik batang-batang pokok sehingga terlepas daripada dijejaki oleh musuh. Tetapi kembali semula bersama dengan landak setelah berjaya menyelamatkan diri untuk ke berjalan kembali ke tempat tersebut.

Lain ceritanya dengan landak. Dengan sikap pendiamnya, si landak menggulungkan badan, menggali lubang dan bersembunyi di dalam tanah. Menjadikan musuh sama yang tadi tidak langsung perasan kehadirannya di situ. Sehinggalah musuh itu pergi maka kembalilah si landak ke bentuk yang asal dan meneruskan perjalanannya.

Teladan yang boleh dilihat di sini, musang seolah-olah menunjukkan kehebatannya melarikan diri, mewar-warkan dirinya kepada dunia bahawa dia mampu menyelamatkan diri. Dan akhirnya kembali semula ke jalan yang betul apabila semuanya selamat.

Berbanding dengan landak yang berdiamkan diri, sungguhpun dunia mengenalinya sebagai haiwan "perlahan" namun dari awal hingga ke akhir ia masih berada di landasan untuk ke tempat tersebut.

Dalam senario kehidupan kita sekarang boleh dilihat musang seolah-olah seperti Steve Job, matang dan agresif di hadapan dunia menceritakan kehebatan produk hasil kendaliannya. Manakala Bill Gates sebagai landak yang lebih pendiam dan senyum bersama Microsoft Windows setiap hari. Namun, bagaimanapun kedua-dua berjaya menjadi hartawan pada hari ini.

Jadi sebagai pemimpin kepada diri sendiri, tidak kira apa jua jalan, keputusan dan usaha yang dibuat; yang paling penting adalah kita perlu ada matlamat. Tidak perlu meniru apa yang orang buat. Tapi biarlah kita sendiri yang tahu apa yang kita hendak dalam hidup.

[Ubah suai Rumah] Hari Kedua

19 Sep 2012 - 08:18 pm

Boleh dikatakan kerja-kerja yang dijalankan oleh kontraktor ini sangat cepat, cekap dan saya berpuas hati. Sehingga hari kedua sahaja, struktur utama bahagian dapur yang baru telah disiapkan.

Struktur yang baru merangkumi pembinaan bahagian atap secara konkrit dan tiang utama telah didirikan. Mengikut perancangan pada hari ketiga mereka akan mula mengikat dinding dan yang tinggal hanya lapisan simen untuk menutup batu-bata.

Untuk hari kedua ini, mereka fokus untuk siapkan bahagian dapur terlebih dahulu dan diikuti dengan bahagian hadapan tempat meletak kereta.

[Ubah suai Rumah] Hari Pertama

18 Sep 2012 - 09:27 pm

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya proses ubah suai rumah berjalan pada hari ini. Ubah suai ini melibatkan hampir keseluruhan rumah daripada tempat meletak kereta, pagar rumah, penukaran atap rumah, membina kembali plaster siling, binaan semula dapur, laminasi lantai kayu dan beberapa tampalan kecil dalam rumah.

Dalam ubah suai ini, kebanyakan barang-barang saya cari sendiri terutama pagar rumah, mozek lantai dan dinding serta "wallpaper" dinding di bahagian ruang tamu. Manakala tingkap rumah juga ditukar kepada aluminium bagi memberi bentuk dan moden yang baru.

Ubah suai ini dianggarkan mengambil masa selama sebulan. Perkara yang mencabar adalah saya masih perlu tinggal di rumah ini memandangkan kos untuk berpindah lebih banyak berbanding tinggal di rumah yang sedang diubah suai. Kontraktor yang dipilih memahami situasi dan keadaan saya. Berdasarkan kepada plan dan cadangan yang buat, aktiviti yang akan dilakukan tidak mengganggu kehidupan seharian saya di rumah.

Pada hari pertama, ubah suai dimulakan secara serampang dua mata. Serampang pertama adalah membuat landasan di bahagian hadapan untuk laluan pintu pagar kedua. Dan pada masa yang sama rombakan dapur sedia ada dibuat dengan ikatan dinding sempat disiapkan pada hari yang sama. Rancangan untuk esok hari adalah mengikat pasak untuk struktur dapur memandangkan dapur akan diikat sepenuhnya dengan batu-bata.

Tulis blog dalam bahasa Melayu tidak ada "class"

18 Sep 2012 - 10:05 am

Betul atau tidak kenyataan di atas? Biar apa pun yang ingin diperkatakan tetapi saya tetap dengan pendirian sendiri yang bahasa Melayu mempunyai keunikannya tersendiri. Sama seperti mana-mana bahasa yang wujud di atas dunia ini.

Bahasa merupakan medium pertuturan dan komunikasi sesama manusia sama ada dalam internet atau pun kehidupan seharian. Dalam arus permodenan, teknologi seiring membangun dengan kehidupan. Kita mempunyai banyak kemudahan seperti Google Translate yang mampu untuk menterjemahkan frasa-frasa ayat ke bentuk medium yang berlainan dalam sekelip mata.

Bagaimana dengan kata kunci? Ramai berpendapatan penggunaan kata kunci atau "keywords" dalam bahasa Inggeris lebih pantas mendapat tempat berbanding bahasa Melayu. Benar dan saya tidak menafikannya. Memandangkan lebih ramai yang menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Jadi carian atau "hit potential" terhadap kata kunci Inggeris lebih tinggi.

Walau apa pun keadaan dan situasi, bahasa Melayu bukanlah satu bahasa yang lekeh. Kita sendiri sedar ianya juga bukan bahasa yang mudah. Dan senang saya katakan mempelajari bahasa Melayu adalah lebih sukar berbanding bahasa yang lain. Kita perlu belajar dari segi tatabahasa, corak pengolahan ayat dan bermacam-macam lagi terma dalam binaan dan struktur frasa ayat.

Belum dikira simpulan bahasa, bahasa kiasan dan perumpaan yang tidak dikuasai sepenuhnya hatta oleh orang Melayu sendiri. Kata pemeri, subjek, objek, prediket dan banyak lagi perkara perlu kita selami. Saya sendiri masih belajar menggunakan bahasa Melayu. Disebabkan faktor ini, saya mengambil kesempatan untuk menggunakan hampir keseluruhan laman web yang dibangunkan menggunakan bahasa tersebut.

Jadi hakikatnya kita tidak perlu takut atau rasa malu untuk menulis dalam bahasa Melayu. Kita tidak memerlukan "class" atau standard untuk menulis. Yang penting adalah idea, coretan dan pembaca. Itu sudah cukup untuk meletakkan laman web atau blog kita berada di sepeluh teratas dalam carian Google.

Pages