Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Diari

setiap orang mempunyai kisah hidupnya tersendiri, seperti saya juga yang akan mencoret setiap peristiwa yang menarik dalam hidup ini di sini.

Demam pilihan raya ke-13 sudah bermula

14 Apr 2013 - 04:46 pm

Demam ke? Bergantunglah kepada individu masing-masing. Setiap individu ada hak dan kepentingan masing-masing kepada negara yang mereka diami. Di tempat sendiri ini, saya boleh katakan gerakan sudah dimulakan. Begitu banyak bendera dipasang memandangkan kawasan rumah saya ini agak "panas". Pihak sebelum ini dalam cubaan untuk menawan kembali kawasan yang mereka kuasai sebelum ini. Apa tidaknya, lihatlah hasil kutipan saya pada pagi ini di hadapan rumah.

Selepas itu berjalan-jalan sekitar kampung untuk melihat aktiviti yang lain. Sempat juga menangkap beberapa keping gambar tetapi harap maaf sebab gambar yang ditangkap dari jarak jauh. Saya ini bukanlah orang yang sangat sosial, bergaul dengan ahli-ahli gerakan. Risau dipanggil ke markas mereka untuk bergerak bersama-sama. Cukuplah sekadar undian itu rahsia.

Ini belum lagi sampai tarikh kepada penamaan calon, 20hb April 2013 nanti. Diharapkan apabila penamaan calon tiba, banyaklah lagi hasil tangkapan yang akan diberikan. Apa orang kata, rezeki jangan ditolak. Jadi kita ambil sahaja pemberian yang diberikan. Ikhlas atau ada agenda sebaliknya, bukan kita yang menentukan.

Semangat menulis diteruskan

01 Apr 2013 - 11:12 pm

Selepas kejayaan menerbitkan e-buku yang bertajuk "Drupal 7 Asas Pembinaan Templat", semangat yang sama diteruskan untuk penerbitan seterusnya. Buku yang bakal diterbitkan tidak lama lagi adalah kesinambungan kepada buku ini yang bertajuk "Drupal 7 Pembinaan Templat Maju". Ianya merupakan terbitan yang menyentuh aspek-aspek yang lebih maju dalam pembinaan templat untuk Drupal 7. Sehingga hari ini, buku tersebut sudah pun mempunyai kerangka untuk isi kandungan yang bakal ditulis.

Selain kejayaan menerbitkan dalam versi e-buku, saya menambah pilihan terbaru iaitu dalam versi cetakan dan diterjemahkan kepada bentuk buku. Hasil cetakan menggunakan pencetak yang berkualiti tinggi menghasilkan satu produk yang begitu cantik dan kemas sehinggakan saya sendiri menyimpan satu sebagai koleksi.

Mungkin ada yang bertanya, mengapa saya begitu bersemangat dalam menerbitkan e-buku ini? Pertama, sehingga saat ini masih belum ada lagi terbitan yang sama dipasaran luar. Sememangnya yang berminat boleh menghadiri kursus yang dianjurkan oleh pihak saya. Tetapi kesan daripada pembelajaran kadang kala terlalu pantas. Baru sahaja dua hari belajar, sudah lupa. Tambahan pula kebanyakan modul yang diajar lebih menyentuh kepada aspek-aspek asas dalam penggunaan Drupal.

Keduanya adalah kos efektif berbanding kebaikan yang diperolehi. Kebanyakan kursus-kursus yang dianjurkan untuk peringkat yang jauh lebih ke hadapan ini adalah agak tinggi memandangkan kos pengendalian juga tinggi termasuk sewaan tempat belajar, kemudahan dan fasiliti yang mungkin terhad. Maka sebagai alternatif kepada golongan yang kurang berkemampuan, buku adalah sumber kedua yang boleh dirujuk.

Ketiganya adalah saya ingin melihat perkembangan dan perkongsian ilmu-ilmu mengenai Drupal ini ke satu tahap yang jauh lebih tinggi. Sungguhpun terdapat banyak laman-laman komuniti yang dibangunkan seperti Drupal Note yang sepenuhnya menyediakan pembelajaran secara atas talian, ianya masih belum cukup. Saya lebih menumpukan kepada golongan amatur dan kurang berminat kepada golongan yang sudah mahir. Disebabkan itu, kebanyakan penulisan saya di internet dan buku menggunakan bahasa dan peringkat pemahaman yang ringkas dan mudah.

Masih banyak lagi penerbitan yang bakal menyusul termasuklah buku yang akan menyentuh secara mendalam mengenai penggunaan Views dan Fields, e-commerce dan pembinaan sistem yang kompleks dengan Drupal.

Sungguhpun begitu, buku hanyalah satu medium untuk pembelajaran tetapi menuntut melalui "guru" dan fasilitator yang pakar dalam Drupal adalah lebih sesuai.

Mengapa saya memilih Google?

17 Mar 2013 - 06:58 pm

Semenjak pertama kali melibatkan diri dalam dunia internet sekitar tahun 1996, pada ketika itu masih lagi belum mengenali sepenuhnya perkhidmatan yang wujud. Namun, pertama kali menggunakan perkhidmatan emel secara percuma daripada syarikat Yahoo!, saya dapati internet ini sangat luas. Pada tahun 1999, saya membuka satu lagi e-mel daripada syarikat Google. Mengapa perlu begitu banyak e-mel sedangkan lebih baik tetapkan kepada satu sahaja?

Memang betul, daripada tiga akaun e-mel saya memilih untuk kekal kepada GMail. Google bukanlah satu syarikat yang biasa. Mereka mempunyai tujuan dan misi yang jauh terkehadapan. Setiap tahun akan wujud aplikasi dan perkhidmatan tambahan yang cuba untuk mencuri hati pengguna. Ini termasuklah aplikasi Calendar yang mengurus dan menyimpan semua peristiwa dan agenda secara atas talian. Kemudian wujud pula Google Doc yang menyimpan dokumen atas talian.

Banyak aplikasi lagi aplikasi yang dibina oleh mereka sehinggalah Google mula untuk mendominasi hampir setiap peranti dan peralatan perkomputeran. Mereka cuba memecah masuk ke dalam pasaran telefon pintar melalui penciptaan Android. Seterusnya diaplikasikan kepada semua bentuk peranti seangkatan dengannya seperti tablet. Kemudian mereka mencipta perisian operasi yang dinamakan Google Chrome OS. Sistem yang tercipta hasil daripada kejayaan perisian pelayarnya yang diberikan ulasan sebagai perisian yang ringan, mudah, stabil dan pantas.

Begitulah perjalanan kejayaan Google dalam mendominasi dunia perkomputer menjadikan saya sendiri memilih produk mereka dalam kegunaan seharian. Terutamanya Android yang dikuasakan oleh Samsung S3. Bukan ingin menceritakan kehebatan telefon pintar tetapi keseluruhan pakej yang ditawarkan oleh Google tidak terhad kepada Android sahaja. Setiap aplikasi yang dibina oleh mereka mempunyai proses dan keupayaan untuk disinkronasi dan berhubung antara satu sama lain.

Aplikasi GMail dan Calendar

Setiap perancangan dan peristiwa yang dimuatkan dalam Calendar akan dimuat turun terus ke dalam telefon. Setiap peristiwa yang dibina dikongsi kepada ahli-ahli yang terlibat melalui perkongsian emel. Emel yang dibaca secara automatik akan menyimpan dan dimuatkan ke dalam Calendar tanpa perlu langkah tambahan. Jumlah storan yang sememangnya sangat besar memberi kelebihan kepada saya untuk menyimpan emel yang diterima pada tahun 1999 tanpa perlu melakukan proses pembersihan.

Google+, Google Drive dan Instant Upload

Sungguhpun idea Google+ ini kebanyakan meniru konsep yang dikeluarkan oleh Facebook, ianya mempunyai tujuan dan visi tersendiri. Walaupun saya tidak mengoptimumkan penggunaan Google+ sebagai saluran sosial media utama, tetapi semalam saya dapati Google datang sebagai penyelamat.

Telefon pintar pada hari ini menyediakan kapasiti tertentu untuk menyimpan fail-fail, media, audio dan lain-lain data. Disebabkan had yang diperuntukkan pada peranti tersebut, ruangan storan tambahan dicipta melalui penggunaan kad SD. Setiap satu alatan mekanikal yang berfungsi menerusi arus elektrik atau gerakan gear pastinya mempunyai tempoh hayat tidak mengira sehebat mana jenama penciptanya. Dan itulah yang terjadi kepada saya.

Fail-fail media seperti gambar dan video yang saya simpan bermula pada tahun 2010 hilang dan lenyap dalam sekelip mata apabila kad SD tiba-tiba mengalami kerosakan; tidak dapat dikesan oleh telefon mahupun komputer. Saya cuba akses menerusi kaedah RAW untuk cuba mengembalikan data yang ada tetapi gagal. Ia berlaku akibat kegagalan arus elektrik disalurkan kepada storan mungkin disebabkan litar terbakar. Jika sesiapa di tempat saya ini, mungkin berfikiran "Ala, gambar sahaja. Nanti boleh tangkap balik". Betul, ianya boleh ditangkap balik sekiranya ianya masih ada di depan mata. Bagaimana jika sememangnya sudah tiada di dunia ini? Kadang kala kita mudah untuk mengatakan biarlah memori dan kenangan itu terpahat di hati. Bagi yang tidak pernah melaluinya, berbeza kita melihat melalui kenangan di hati dengan gambar dan tatapan video.

Saya sudah putus asa. Pada waktu ini satu sahaja perkara muncul "Macam mana boleh rosak dengan tiba-tiba? Sudahlah backup pun tak buat." Ya, saya tidak pernah membuat sebarang salinan pendua terhadap data-data yang ada pada kad SD kerana yakin terhadap tahap keupayaannya berbanding cakera keras. Saya cuba mencari dalam komputer sekiranya saya pernah membuat salinan, tetapi semua hampa.

Instant Upload

Tetapi saya bersyukur kerana Tuhan telah menggerakkan hati saya melakukan sesuatu yang sebelum ini saya beranggapan sangat serabut, mengganggu dan membazirkan kuota internet iaitu Instant Upload. Instan Upload adalah satu fungsi yang tertanam dalam Android untuk memuat naik serta-merta gambar dan video yang dirakam terus ke akaun Google+. Sungguhpun proses tersebut dibuat secara automatik, kadang kala saya memaki proses ini kerana mengakibatkan kuota internet begitu banyak digunakan.

Namun hari ini saya sanga berterima kasih kepada fungsi ini memandangkan semua fail-fail media yang ditangkap dan dirakam dua tahun lepas masih selamat disimpan dalam akaun Google. Yang paling bertuah, semua fail tersebut adalah yang asal termasuklah resolusi, saiz dimensi dan kualitinya. Bayangkan Google memberi perkhidmatan percuma untuk storan simpanan ini secara percuma tanpa had tanpa saya sedari. Senang saya nyatakan saiz storan kad SD saya adalah sekitar 16GB dan hampir 80% telah digunakan selamat disimpan dalam akaun Google.

Oleh itu, saya nasihatkan kepada pengguna sistem Android, pastikan anda mengaktifkan fungsi Instant Upload ini kerana kejadian yang tidak diduga boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Dan yang paling penting, data yang kita simpan itu tidak boleh diambil semula sekiranya ianya rosak atau hilang.

Melihat dari sudut yang berlainan

03 Feb 2013 - 11:45 pm

Setiap orang mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing. Dan itu bukan menjadi satu kesalahan dalam kehidupan melainkan ianya tidak melanggar batas-batas normal dan pegangan agama yang dipraktiskan. Tetapi sering kali keputusan dan pendapat kita dikuasakan dengan pandangan secara stereotaip atau kelaziman. Dan banyak keputusan yang kita buat berdasarkan kepada hal dan perkara yang menjadi kelaziman orang ramai.

Sebagai contoh mudah, orang muda yang belum berkahwin suka membaca novel-novel percintaan. Diperkuatkan lagi fantasi suasana yang dicipta dan direka oleh penulis, menjadikan sesuatu perhubungan itu perlu dan mesti melalui perkara yang wujud dalam dunia novel tersebut. Akibatnya, kita mempunyai satu pandangan umum dan lazim bagaimana mengintepretasikan perkataan "romantik". Ianya digambarkan bersifat sangat indah dan setiap pasangan perlu berbuat begini dan begitu barulah boleh dikatakan romantik.

Jika kita lihat dari sudut yang berlainan, apakah yang dimaksudkan dengan romantik? Seperti yang diterangkan dalam Kamus Dewan Edisi Ke-4, romatik ditakrifkan sebagai "1. memberikan suasana (gambaran dsb) spt yg terdapat dlm cerita roman (per­cintaan dll); 2. memperlihatkan suasana yg penuh kasih sayang, keindahan, kemesraan, dsb spt dlm alam percintaan: alangkah ~nya pemandangan di sini." Saya tidak menyatakan bahawa Kamus Dewan ini silap, tetapi romatik adalah satu perkara yang subjektif. Kasih sayang, keindahan dan kemesraan itu adalah subjektif apabila kita rujuk kepada perhubungan. Apakah kemesraan itu mesti senyum, ketawa dan gembira antara dua insan? Ada kemesraan lahir dalam suasana yang hening, sunyi dan sepi. Kita tidak boleh menjaga semua itu.

Maka, sekiranya kita hanya berpandangan dalam satu sudut akan menampakkan satu-satu perkara itu sangat lazim dan kita mengiktirafkan ia adalah sama seperti situasi-situasi yang lain. Tidakkah kita berasa bosan dengan situasi ini? Bagaimana jikalau diubah menjadi satu yang bukan kelaziman atau kebiasaan?

Sangat SUKAR dan bukan mudah. Mengapa? Kerana kepercayaan kita hanya tertakluk kepada sesuatu yang lazim dibuat oleh orang ramai. Contoh mudah, satu perkahwinan dikatakan meriah apabila wujudnya pelamin, adat berpantun dan bermacam-macam lagi persiapan yang menjadi kelaziman sehinggakan ada yang sanggup menghabiskan ribuan wang semata-mata untuk mencapai standard "yang biasa dibuat". Jika tidak dibuat nanti akan jadi buah mulut orang.

Inilah kelemahan yang ada pada diri kita sekarang. Apabila melihat pada satu sudut, kadang kala perkara yang salah boleh menjadi betul dan yang betul boleh menjadi salah. Sama ada kita boleh menerima satu-satu keadaan dan situasi dan melihatnya dalam sudut yang berbeza, bergantung kepada penerimaan kita sendiri. Ada orang yang hanya boleh menerima satu pendapat dalam satu masa. Dan ada yang akan menilai satu-satu keadaan setelah melihat daripada pelbagai sumber.

Inilah yang dikatakan kemanisan dalam kehidupan. Kehidupan bukanlah satu jalan yang lurus dilalui oleh semua orang sebaliknya ianya merupakan satu bentangan kain putih yang dicorakkan oleh ramai manusia sehinggalah kain itu siap sepenuhnya.

Sebagai penutup bicara, kita sering mendengar satu perhubungan itu dikatakan indah dan sempurna apabila kita tidak sedar akan masa berlalu. Masa panjang yang telah berlalu seolah-olah baru sahaja semalam berlaku. Tetapi bagi saya yang melihat dari sudut yang berbeza, satu-satu perhubungan itu lebih indah sekiranya kita merasakan ianya cukup panjang sedangkan baru tiga hari berlalu. Mengapa? Kita ambil satu contoh mudah. Saya diberikan 5 jam masa sehari untuk bekerja. Seandainya saya memaksimum masa ini sepenuhnya, semua kerja harian boleh disiapkan dalam tempoh tersebut. Sebaliknya jika hanya menumpukan kepada satu kerja dan berfantasi dengan kerja-kerja hebat saya sebelum ini, belum tentu satu kerja boleh disiapkan dalam tempoh tersebut. Diakhirnya 5 jam saya merasakan baru sahaja kerja hebat saya ini bermula.

Jadi, amalkanlah melihat sesuatu perkara itu dari sudut yang berlainan dan bukan mengikut kelaziman yang selalu ada.

Praktikal dalam kehidupan

02 Jan 2013 - 02:34 am

Dalam kehidupan seharian, kita sememangnya mempunyai impian dan keperluan yang diingini berbeza setiap hari. Kadang kala sesuatu yang kita perlukan itu kadang kala menyenangkan dan tidak kurang menyusahkan untuk kehidupan seharian. Atau dalam perkataan yang lebih mudah, adakah sesuatu perkara itu praktikal untuk diperolehi?

Ini termasuklah semua aspek sama ada membeli rumah, memiliki kereta atau memilih gajet-gajet moden yang begitu laris di pasaran. Selain menentukan sama ada ianya adalah keperluan atau kemahuan, sudut praktikal perlu diambil berat. Itulah yang saya amalkan dalam kehidupan selama ini. Hidup sekarang ini orang kata kalu tiada wang, tidak perlulah berangan besar. Mungkin ada benarnya tetapi saya lebih menekankan kepada aspek praktikal sesuatu elemen.

Pertama, dalam memiliki sebuah rumah. Saya lebih gemar untuk memilih sebuah rumah yang berada di kawasan kampung. Siapa yang mahu hidup di kawasan kampung? Bagi saya itu satu kelebihan kerana di sini kebanyakannya sudah memiliki kemudahan asas yang lengkap. Seperti sekolah, kedai makan dan barangan runcit. Tambahan taraf hidup adalah jauh lebih rendah berbanding di bandar. Selain itu, rumah tersebut haruslah satu tingkat sahaja. Mengapa tidak dua tingkat? Dapat ruang yang lebih besar. Memang betul. Kadang kala kita terlalu memikirkan sesuatu yang lebih berbanding apa yang perlu. Saya mahu pastikan keluarga dapat dilihat di depan mata dengan lebih mudah tanpa perlu memanjat tangga. Tambahan apabila sudah tua nanti, saya tidak terfikir untuk naik ke tingkat atas lagi. Biarkan sahaja di tingkat bawah. Jadi tidaklah praktikal memiliki ruang atas tapi tidak digunakan.

Kedua, membeli sebuah kereta perlu mengambil kira tempoh penggunaan selama beberapa tahun. Bukan kerana nama, lagak dan mengikut kawan-kawan. Saya membeli kereta jenis hybrid adalah bagi menampung keperluan untuk pergi bekerja yang jaraknya lebih 40km untuk satu hala perjalanan. Ada pendapat mengesyorkan kenapa tidak menggunakan kemudahan awam seperti komuter dan LRT. Saya sudah menggunakan kemudahan ini hampir 2 bulan pertama. Di dapati jumlah masa perjalanan adalah jauh lebih lama berbanding memandu dan agak sukar bagi saya yang bekerja mengikut syif dan sekali sekala bekerja lebih masa. Mengapa tidak menggunakan kereta dari segmen A, boleh jimat wang lagi? Saya berasal dari Kelantan dan perjalanan pulang ke kampung memakan masa 8 jam paling sekejap. Biarlah keluarga saya selesa selama perjalanan tersebut. Tambahan dengan barang-barang yang banyak perlu di bawa bersama adalah tidak praktikal untuk memiliki kereta kecil. Membeli sebuah kereta juga membeli ruang bersamanya. Bukan boleh diubah setelah dibeli. Lainlah cerita jika duit dalam poket sentiasa penuh, bolehlah memiliki dua kereta.

Ketiga, telefon pintar. Antara jenama, spesifikasi dan harga semua elemen ini diambil kira semasa membeli. pembelian di buat berdasarkan kepada praktikal penggunaannya setiap hari. Saya mahu berkongsi, menghantar dan menghubungkan telefon tersebut kepada mana-mana rangkaian dengan mudah. Tidak perlu membawa kelengkapan tambahan, perisian tambahan atau apa jua sambungan lain kerana saya seorang yang malas membawa semua menda itu. Jadi antara sebab mengapa saya memiliki Samsung Galaxy S3 yang dilihat memberi pulangan dan lebih praktikal kepada sosial hidup. Bukan tidak mampu untuk memiliki barangan yang orang kata lebih menyerlah seperti Apple. Jika turutan kata orang, kita dapatlah lagak itu tetapi yang membayar dan menggunakannya adalah kita sendiri.

Sebenarnya masih banyak perkara yang saya timbal berat sebagai praktikal dalam menentukan satu-satu keputusan. Kerana praktikaliti mengambil kira keperluan, keinginan dan kemampuan untuk mendapatkan sesuatu perkara.

Pages