Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Diari

setiap orang mempunyai kisah hidupnya tersendiri, seperti saya juga yang akan mencoret setiap peristiwa yang menarik dalam hidup ini di sini.

Seminggu perlu "rawatan" khas

14 Jul 2013 - 01:46 am

Pada hari ini, dapat panggilan daripada mangsa yang melanggar kereta saya menyatakan bahawa kereta boleh dihantar terus ke bengkel pada hari ini. Lokasi bengkel yang berada di Jalan Kapar, Klang sememangnya tidak asing lagi bagi pemilik kereta untuk membaik pulih dan mengubah suai kereta. Antara faktornya adalah kos dan harga barang adalah jauh lebih murah jika dibandingkan di lain-lain tempat. Dan hasilnya adalah jauh lebih baik. Mungkin kerana kawasan berdekatan dengan pelabuhan yang menyebabkan harga barang-barang tambahan juga mungkin lebih murah.

Selain itu, kebanyakan pemilik bengkel ini tidak mempunyai fasiliti yang boleh dikatakan sangat maju. Kebanyakan menggunakan tempat-tempat longgokan besi-besi buruk dan bahan-bahan terpakai. Besar kemungkin kos tanggungan untuk memiliki premis juga mungkin jauh lebih murah berbanding kawasan yang "high-end" seperti Subang dan Kuala Lumpur. Tidak hairan mengapa kawasan ini menjadi tumpuan golongan pemilik kereta.

Setelah sampai dibengkel tersebut, "kecederaan" didiagnosis oleh pakar pembaik pulih. Setelah semuanya disemak, dia memberitahu kemungkinan besar kereta perlu "dirawat" untuk tempoh seminggu paling lama. Kerana perlu mendapat beberapa barang baru seperti lampu dan "bumper". Nasib baik ada kereta satu lagi. Walaupun bukan jalan penyelesaian terbaik untuk urusan seharian, tetapi lebih baik daripada tiada kereta langsung.

Diharapkan kereta dapat dikeluarkan jauh lebih cepat daripada seminggu.

Kemik

13 Jul 2013 - 12:35 am

Hari ini adalah hari Jumaat. Dan sememangnya kebiasaanya Lebuhraya Persekutuan akan sesak dengan bilangan kereta yang dua kali ganda daripada biasa. Tambahan lagi sekarang adalah bulan puasa. Jadi keluarga, anak-anak yang tinggal di Kuala Lumpur akan pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama dengan ibu bapa.

Dan hari ini juga hendak dijadikan cerita satu kejadian telah berlaku. Sekitar dalam jam 5.30 petang, sememangnya semua kereta bergerak perlahan memandangkan keadaan jalan yang teramat sesak. Ditambah pula dengan hujan renyai-renyai. Seperti biasa, Lebuhraya Persekutuan kadang kala sesak dengan tidak tentu fasal. Kelajuan kereta sekitar 20 - 30 km/sejam. Jadi boleh dikatakan hampir semua pemandu bergerak dengan perlahan.

Kereta dihadapan memperlahan kelajuan dan brek. Kereta saya juga turut sama berhenti dan jarak selamat sememangnya dipatuhi. Pada masa yang sama, entah macam mana sebiji kereta Proton Wira menghentam kereta saya dari belakang. Sudahlah dihentam, ditekan plak minyak sampai berbunyi macam lori yang langgar. Akibat nak mengelak daripada terlanggar kereta hadapan, terpaksa brek kaki dan tangan diaktifkan secara serentak.

Adoi, dan inilah hasilnya.

keretaku dilanggar

Boleh dikatakan agak teruk sebab "bumper" belakang kena tukar yang baru manakala bonet dah masuk ke dalam dan sedikit bengkok. Bila keluar dari kereta dan tanya makcik macam mana boleh langgar, dia mengatakan yang dia tertidur kerana sebentar tadi dia makan ubat demam dan pening.

Moral dalam kes ini, mohon kepada sesiapa tolonglah jangan makan ubat yang boleh menyebabkan mengantuk jika hendak memandu. Nasib baik mak cik tuh langgar kereta. Kalu langgar orang, lagi teruk dan susah. Esok terpaksa hantar ke bengkel dan mangsa yang melanggar sanggup untuk menyelesaikan semua kos baik pulih. Inilah kali pertama kereta ini masuk bengkel semenjak mula-mula dimiliki.

Windows 8 kod skema warna (color scheme code)

07 Jul 2013 - 11:20 am

Entri ini saya mautkan sebagai rujukan untuk masa hadapan mengenai kod skema warna yang digunakan pada platform Windows 8. Kod warna ini digunakan pada aplikasi Tiles Windows 8.

Skema Gelap

Nama Warna HEX RGB
Teal   #008299 rgb(0,130,153)
Blue   #2672EC rgb(38,114,236)
Purple   #8C0095 rgb(140,0,149)
Dark Purple   #5133AB rgb(81,51,171)
Red   #AC193D rgb(172,25,61)
Orange   #D24726 rgb(210,71,38)
Green   #008A00 rgb(0,138,0)
Sky Blue   #094AB2 rgb(9,74,178)

Skema terang

Nama Warna HEX RGB
Teal   #00A0B1 rgb(0,160,177)
Blue   #2E8DEF rgb(46,141,239)
Purple   #A700AE rgb(167,0,174)
Dark Purple   #643EBF rgb(100,62,191)
Red   #BF1E4B rgb(191,30,75)
Orange   #DC572E rgb(220,87,46)
Green   #00A600 rgb(0,166,0)
Sky Blue   #0A5BC4 rgb(10,91,196)

Prosedur and SOP proses pengundian Pilihanraya Umum Malaysia

07 May 2013 - 08:11 am

Agak terpanggil untuk menulis sedikit prosedur dan SOP mengenai perkara ini memandangkan terlalu banyak perkara-perkara dan tanggapan yang dibuat semasa pilihanraya ini dijalankan. Coretan ini saya ambil daripada saudara Aizat Rahim di Facebook beliau. Ini adalah kenyataan yang sangat jelas daripada beliau.

Assalamualaikum.Terima kasih kepada Saudara Hilmi Samad diatas komentar sebagai seorang Counting Agent(CA).Di sini adalah komen saya terhadap apa yang dikatakan sebagai isu SPR tidak telus/undi hilang/kotak undi baru/undi tidak rahsia.Ya,mmg pnjg tulisan sy.Tetapi kalau nak tahu,sila baca.

Saya ditugaskan sebagai Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan Ketua Pengiraan Undi (Presiding Officer) untuk PRU13 kali ini.Untuk pengetahuan semua,setiap Kertas Undi telah diseal/dimeteraikan dengan pelekat keselamatan didalam peti undi sehari sebelum pengundian (4.5.13) di bilik gerakan dihadapan pegawai2 polis.Seawal jam 5 pagi saya bersama KTM lain dah terpacak dihadapan Pusat Bilik Gerakan untuk mengambil peti2 undi.Selepas mengesahkan pengambilan peti undi kami diescort pula dengan anggota Polis di DALAM kereta dan diminta berKONVOI bersama-sama ke Tempat Mengundi(TM).Segala poster peringatan arahan pelekat pandu arah ditampal dibantu oleh Kerani Pengundian (KP).Setibanya Ejen Tempat Mengundi (ETM) jam 7.40 pagi.Saya telah membuka/unsealed peti undi dihadapan ejen dan semua nombor2 siri dicatatkan didalam Borang 13 dan diserahkan kepada ETM. Kemudian peti Undi dimeterai dengan Pelekat Keselamatan dan ditandatangani oleh ETM sendiri.

Isu undi bukan rahsia? Saya masih tidak faham kenapa ada yang menyatakan UNDI TIDAK RAHSIA kerana adanya NO. SIRI. Untuk makluman, No. Siri pada Kertas undi tersebut TIDAK SAMA dengan no siri yang tercatat di web SPR/no semakan SPR. No Siri itu hanyalah no yang tercatat di dalam Buku Daftar Pengundi sahaja berdasarkan saluran dan langsung tak sama pada kertas undi.Tiada kewajaran kami tahu apa yang anda PANGKAH apa selama ini dan undi anda masih rahsia :D

Setiap jam saya merekodkan bilangan pengundi dan diminta melaporkan bilangan supaya ia sama dengan jumlah kertas undi didalam Peti Undi.Sehingga jam 5 petang semasa Pusat Pengundian ditutup, Ejen yang sama telah melihat keadaan dimana mulut Tong Undi tersebut ditutup dan dimeterai.Bayangkan Peti Undi tersebut tidak SATU SAAT pun ditinggalkan oleh mana-mana Ejen Parti hingga saat SOLAT pun mereka sanggup korbankan (Wallahua’lam,jama’ mungkin?) kerana menjulang tinggi kelangit hal duniawi ini. Kemudian Borang 13 (Final) disediakan sebagai bukti bilangan jumlah kertas undi yang dikeluarkan dan bilangan yang sepatutnya berada didalam Peti Undi.Seterusnya diserahkan kepada Ejen. Baki kertas undi/tidak digunakan sekali lagi dimeterai oleh Ejen dan diletakkan didalam Sampul 1.so, dah meterai oleh ejen,kami nak buka balik?

Isu pengiraan undi/blackout? Kemudian, tepat jam 5pm Ejen Mengundi (Polling agent) bertukar tangan kepada Ejen Mengira (Counting Agent).Untuk makluman, pengiraan undi dilakukan di TEMPAT MENGUNDI tanpa dibenarkan Peti Undi dibawa ketempat lain melainkan kes-kes tertentu (luar Bandar/hutan) tetapi masih ejen akan ikut sama dan Borang 13 yg tercatat No Siri kekal ditangan Ejen.

Prosedur pertama ialah setiap kertas undi dituang dan dikira satu-persatu dihadapan ejen supaya bilangan sama dengan Borang 13. Jika ada Kertas undi terlebih, Jadual 3 boleh digunakan oleh Ejen Pengundian untuk bantahan.Undi dikira dan sudah pasti terdapat pertikaian antara Ejen-Ejen sehingga melewatkan pengiraan undi.Korang nak gaduh-gaduh la,bertumbuk caci mencaci biasala tuh.Tetapi disini kuasa KTM diperlukan dan ia muktamad untuk menentukan undi ragu.Ya.Saya kurang bersetuju dengan arahan oleh SPR bahawa calitan dilakukan sebelum pengundi menandakan kertas undi.Di saluran saya sendiri terdapatnya situasi calitan terkena kertas undi. Tetapi saya membuat keputusan,selagi kesan dakwat tidak mencacatkan Kertas Undi dengan kuasa yang diberikan, saya menerima kertas undi tersebut.Ini soal teknikal.

Selesai pengiraan undi BORANG 14 disediakan dengan jumlah bilangan undi/keputusan.Ejen akan mendapat sesalinan dan juga disahkan.Sesalinan dimasukkan kedalam Sampul 7 dan sekali lagi dimeterai oleh Ejen untuk diberikan kepada Pusat Penjumlahan Undi.Tidak mungkin keputusan dapat diubah sedangkan Ejen mempunyai salinan pendua. Kertas Undi dimasukkan kedalam Sampul 6 dan dimeterai Ejen lagi. Sampul 1(baki kertas undi) dan Sampul 6(kertas undi yg dikira) di masukkan kedalam Peti Undi dan dimeterai untuk kali terakhir untuk dibawa ke Pusat Penjumlahan.Bagaimana kesemua PEMETERAIAN DIBUAT? Tanya Ejen sendiri.kan korg kononnye nak tau sgt kan.bukan mudah,kena ikat itu ini,tampal pelekat security,ikat seal SPR lagi.Ingat senang?

Isu Peti Undi Tambahan? Untuk ke Pusat Penjumlahan undi,kami diescort sekali lagi oleh Polis dan tidak diberi peluang untuk mengisi minyak/dipintas oleh mana-mana kereta sehinggalah sampai ke Pusat Penjumlahan. Sepanjang jalan dikiri kanan para penyokong fanatik tegar menendang2 kereta,mengetuk cermin,melontar botol air,menjerit SPR barua,macai,penipu besar,pembohong dan lain-lain lagi.Ikutkan hati nak dilanggar je.nasib anggota polis menenangkan saya.

Selepas selesai penyerahan Peti Undi dan BORANG 14 jumlah akan dipaparkan di layar projector dan para Ejen boleh melihat jumlah sama atau tidak sepertimana keputusan pengiraan di Tempat Pengundian. So, di mana berlaku Peti undi yg tiba2 datang sedangkan jumlah pada Borang 14 telah dipaparkan?masa bila saya nak kira kertas undi baru sedangkan semua Kerani Pengundian dah balik?

Bayangkan sehari sebelum pengundian kami diminta mengira peralatan,menyusun atur meja,memastikan aliran keluar masuk pengundi sehingga bekerja lewat malam dan kemudiaannya dihari pengundian bangun seawal 4.30 pagi sehingga proses pengundian selesai dan berada di Pusat Penjumlahan sekiranya ada bantahan dari Ejen sehingga jam 2-3 pagi esoknya.Itu belum dikira taklimat/kursus/seminar yang kami terPAKSA hadiri.Sudahlah penat dari awal pagi ke tengah malam, balik rumah buka fb kena provok pula kata kami kerja tak bersih..fahamilah perasaan kami…bayaran kami TIDAK LANGSUNG setimpal dengan apa yang kami lakukan.Saya sendiri kakitangan swasta dengan jawatan Profesional dengan gaji berkali2 ganda. Namun, saya ikhlas melakukan demi memastikan prinsip Demokrasi sentiasa menjadi tunjang Negara.

Ini kali kedua saya menjadi Petugas SPR dan memang banyak penambahbaikan telah dan boleh dilakukan(terutama masa calitan dakwat)Kalau ada isu Blackout, buat laporan polis,selidik betul2 kebenarannya.Jangan percaya bulat2.Jangan hanya berani bercakap dilaman sosial tanpa memahami SOP gerak kerja kami. Lihat dan rasai bagaimana tugasan kami.Kami petugas SPR bukanlah macai/barua/anjing/kuda/lembu mana2 parti. Kalau anda yang menyatakan SPR tidak telus, saya CABAR anda jadi petugas SPR untuk PRU akan datang! Wallahualam

Manakala ini pula adalah kenyataan daripada saudara Hilmi Samad di akaun Facebook beliau. Beliau menyatakan perkara yang hampir sama dengan saudara Aizat Rahim.

Assalamualaikum. Sedikit komen saya berkaitan isu peti undi hilang & isu blackout dll.
Saya menjadi counting agent (CA) utk proses pengiraan undi semalam. Utk pengetahuan anda semua, dari proses undi yg pertama seawal jam 8pagi, sudah ada Polling Agent (PA) dari setiap parti yg duduk betul2 depan peti undi sebagai saksi sepanjang proses pengundi menjalankan tanggungjawab. Selesai proses undi jam 5 ptg, CA pula akan menjalankan tanggungjawab sbg saksi utk pengiraan undi. Jadi tiada SATU SAAT pun peti undi itu terlepas dari pandangan agent setiap parti! Jika anda menyalahkan SPR yg menghilangkan peti undi itu, anda juga WAJIB menyalahkan agent parti anda kerana tidak menjalankan tugas ataupun bersubahat dengan SPR. Selesai proses pengiraan, keputusan akan ditulis di dalam borang 14. Manakala kertas undi akan dibungkus dalam sampul, disimpan dalam peti undi, disimpan bersama maklumat berkaitan dan dikunci peti itu. At this stage, peti sudah tidak penting, yg penting adalah keputusan BORANG 14. Borang ini akan di tandatangai oleh setiap agent parti yg ada. Keputusan borang 14 yg telah ditandatangani ini kemudian akan dihantar kepada tempat undi dikumpul. Lupa apa istilah tempat ini. Di sinilah semua keputusan dalam borang 14 dari setiap UDM akan ditambah.

Isu blackout pula, jika pun blackout berlaku, amatlah mustahil ada peluang peti undi ditukar. Bayangkan, jika ada 2 parti yg bertanding, ada 4 org CA di depan peti undi. Takkan lah semua tidak akan bertindak apa2. At least suluh lampu handphone. Jarak peti undi dan agent juga sangat dekat, jika ia ditukar pun PASTI agent akan perasan. Anda semua pernah mengalami keadaan blackout kan, at least kita masih nampak samar-samar objek dihadapan kita.

Saya sempat berbual dengan petugas SPR & Polis di kawasan UDM saya. Bayangkan mereka datang bekerja seawall 4.30 pagi untuk memulakan kerja dan selesai lewat malam. Saya yg CA yang hanya duduk memerhatikan proses dari 5ptg sehingga 10pm pun rasa penat, bayangkanlah pula kepenatan mereka. Sudahlah penat, balik rumah buka fb kena provok pula kata mereka kerja tak bersih.. apakah perasaan mereka…

Berkaitan isu dakwat kekal, itu saya juga tidak bersetuju kerana dakwat itu kerana tak tepati dengan apa yg SPR kata. Kita nak bangkang, biarlah rasional. Mungkin ada tempat yg hebat penipuannya, saya tidak tahu. Jika semua tempat pengundian sama keadaan dgn UDM saya, saya pasti tiada penipuan boleh dilakukan semasa proses kiraan. Sekian dari budak mentah yg baru first time involve dgn PRU. (rimas tgk fb default picture color hitam)

Di mana titik permulaannya?

21 Apr 2013 - 08:22 pm

Kepada sesiapa yang pernah mengenali atau pernah bekerjasama dengan saya dalam sebarang hal melibatkan pembangunan laman web tertanya-tanya, di mana titik permulaan terjebak dalam dunia ini? Masih lagi saya ingat. Kali pertama saya mula melibatkan diri dalam pembangunan laman web sekitar umur 14 tahun. Sewaktu itu saya sedang menuntut di salah sebuah sekolah menengah di Kelantan. Ceritanya bermula apabila seorang rakan dengan bangganya menunjukkan kepada saya dan rakan-rakan laman web peribadinya. Walaupun pada masa itu saya menganggap yang dia ini memang suka berlagak apatah lagi sekarang kononnya dia seorang yang ada laman web.

Namun dalam diam kes itu telah mencetuskan satu semangat. Memang saya akui agak menyampah namun perkara itu telah mencabar diri saya untuk memiliki laman web juga. Jauh disudut hati saya berkata, "Jika dia boleh buat website, aku pun boleh!". Saya tinggal di asrama, jadi bukanlah mudah untuk mendapatkan akses internet sewaktu itu. Apatah lagi hendak guna komputer sebagai pembelajaran. Pada waktu itu masih ingat lagi terdapat dua jenis ISP yang menyediakan internet iaitu TMNet dan Jaring yang perlu membuat sambungan secara "Dial-Up".

Hanya pada waktu cuti persekolahan sahaja saya dapat memegang komputer di rumah. Saya agak beruntung kerana ibu bapa saya sanggup berhabis duit membeli sebuah komputer yang pada ketika itu berharga RM4000.00. Jadi dengan komputer yang ada itulah, saya gunakan sebagai modal untuk belajar cara-cara membuat laman web. Keluarga saya bukanlah yang begitu mengikut perkembangan teknologi. Jadi pada waktu malam, saya "curi-curi" mengambil talian telefon dan disambungkan kepada modem. Masih ingat lagi, saya dan adik mengumpul duit sebanyak RM30 semata-mata untuk membeli modem komputer yang terpakai.

Pada waktu malam, ketika semua orang tengah tidur, saya dan adik saya bergilir-gilir bangun untuk menggunakan internet. Perkara pertama yang saya cari (waktu tuh saya hanya kenal Cari.com.my, Google.com masih belum popular di Malaysia). Carian pertama adalah melibatkan "How to make a website". Beberapa halaman yang dilayari melibatkan tutorial secara atas talian. Semua tutorial dalam bahasa Inggeris. Memang tidak sempat untuk membacanya. Jadi apa yang dibuat adalah saya simpan setiap halaman yang dilawat dan membacanya pada keesokkan hari (waktu siang tidak boleh pasang internet, nanti kantoi). Bila cukup bulan, ibu bapa saya membebel kerana bil telefon meningkat sehingga RM120 kerana selalunya RM30 sahaja sebulan. Memang betul, ketika itu cas dan kadar internet yang dikenakan adalah cukup tinggi. Guna beberapa jam sahaja, bayar bukan main lagi mahal.

Dari situ saya belajar HTML. Ya, hanya HTML. Seterusnya mula berjinak dengan konsep "image". Kemudian konsep "frame", "table" dan lain-lain. Sehinggalah pada umur 13 tahun, saya mewakili sekolah dalam satu pertandingan mereka cipta laman web peringkat negeri. Dalam pertandingan itu, peserta perlu membina laman web dengan komputer yang disediakan dan hanya dibenarkan membawa bahan-bahan dalam bentul asal seperti Microsoft Word. Dalam tempoh 9 jam diberikan, laman web akan dinilai selepas tempoh selesai. Alhamdulillah, saya telah dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan tersebut. Dan rata-rata peserta yang mewakili sekolah lain jauh lebih berumur. Dengan kejayaan itu, semangat saya lebih berkobar-kobar untuk terus belajar mengenai laman web.

Kemudian saya dikejutkan dengan satu teknologi terbaru iaitu CGI. CGI berupaya untuk menerima input daripada pengguna dan menyimpannya dalam bentuk pangkalan data kemudian memaparkannya kembali ke laman web. Contoh ini diguna pakai pada laman web sekolah. Bermulanya cuti sekolah, saya cuba belajar menggunakan CGI. Ternyata satu kod yang sangat asing. Dengan bantuan daripada adik saya, dia mengatakan, "Mengapa tidak guna PHP, lebih mudah." Dari situ saya mula melihat kod PHP. Aduh, sama susah dengan CGI. Tak ada beza.

Kemudian, sambil-sambil mencari saya tertarik dengan satu sistem pengurusan kandungan iaitu PHP Nuke (jika yang masih ingat). Agak lama saya menggunakannya sehingga mampulah untuk mencipta sebuah laman web yang lengkap. Namun, disebabkan tiada sumber kewangan, laman web itu hanya wujud pada komputer sendiri sahaja (localhost). Sewaktu di universiti, saya lebih giat dengan pembangunan laman web. Agak kerap mengunjungi perpustakaan mencari buku-buku rujukan mengenai PHP. Di asrama, tiada sumber internet. Jadi setiap malam saya akan keluar pergi ke kedai siber internet, memuat turun laman-laman tutorial ke dalam "pendrive" untuk dijadikan sebagai rujukan sewaktu di kolej.

Pada tahun ketiga di universiti, saya cabar diri untuk mencari sistem lain selain PHP Nuke kerana sudah lama meninggalkan sistem tersebut. Jadi saya bermula daripada kosong untuk sistem phpBB. Sungguhpun phpBB lebih fokus kepada sistem forum, namun banyak yang saya belajar daripada phpBB. Bagaimana untuk menyahkod, mencipta modul sendiri dan mengubahsuai tema. Tahun ketiga di universiti saya banyak menghabiskan masa mempelajari sistem ini secara persendirian. Pada ketika ini juga saya mula mencebur diri dengan "webhosting", domain dan pengurusan pelayan.

Sehinggalah pada tahun 2007, saya mula menggunakan Drupal. Masih ingat lagi ketika itu Drupal masih di versi 5. Tidak lama saya menggunakan Drupal 5, dilepaskan pula Drupal 6. Saya akui, belajar menggunakan Drupal adalah satu perkara yanga sangat menyakitkan hati. Banyak konsep, kod dan sistem yang digunakan adalah kompleks. Tetapi saya anggap itu satu cabaran.

Kini, saya masih lagi belajar. Belajar menggunakan secara profesional Drupal 7 dan akan dilepaskan akhir tahun ini, Drupal 8. Pembelajaran itu tidak pernah tamat dan ilmu itu tidak pernah cukup. Walaupun bukan kita yang membina sistem itu, tidak salah jika kita menjadi salah seorang penyumbang atau pengguna yang pakar. Sebagai bahan moral di sini, pembelajaran itu bukanlah satu perkara yang mudah. Itulah antara sebab mengapa saya membina sebuah laman komuniti (tanpa sebarang bayaran atau surcaj) ditambah lagi dalam bahasa Melayu khas untuk anak-anak muda mendapat ilmu perkongsian yang saya cari selama ini dengan lebih mudah. Saya tidak mahu sejarah pencarian ilmu saya selama ini diulang oleh mana-mana anak muda zaman sekarang. Maka, janganlah kerek, jangan sombong, bongkak dan terutamanya berlagak seandainya anda TIDAK TAHU. Bertanya itu lebih baik dan berkongsi ilmu adalah yang terbaik.

Pages