Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Diari

setiap orang mempunyai kisah hidupnya tersendiri, seperti saya juga yang akan mencoret setiap peristiwa yang menarik dalam hidup ini di sini.

Tiada Perkara Penting Yang Perlu Dicatit

26 Sep 2013 - 01:59 pm

Sejak kali terakhir menulis di blog sehinggalah pada hari ini, tiada sebarang perkara menarik yang hendak dikongsikan. Saya hanya akan berkongsi perkara-perkara yang difikirkan penting sahaja. Sesetengah penulis mungkin mahu berkongsi semua tentang kisah hidup mereka setiap hari dan setiap masa. Namun bagi saya ada sesetengah perkara yang mungkin difikirkan tidak perlu dan menjadi rahsia kehidupan kami sekeluarga sahaja.

Sekarang adalah waktu rehat. Hujan lebat diluar sana. Jadi lebih baik melepak sahaja di dalam pejabat. Sekarang ini penghantaran artikel terbaru agak mengambil masa memandangkan saya lebih fokus kepada penulisan dalam bentuk ebook berbanding artikel di laman web. Ada sedikit perbezaan menulis di blog dengan buku.

Selain itu, saya sekarang lebih memberi tumpuan menyiapkan beberapa projek pelanggan yang sedang dalam proses pembangunan. Terdapat dalam tiga sistem yang masih dalam perancangan untuk dibangunkan dengan menggunakan perisian Drupal. Setakat ini hanya satu projek yang telah disiapkan sepenuhnya tetapi sedang menunggu maklum balas terakhir daripada pelanggan.

Berkenaan dengan kehidupan seharian, setakat ini tiada perkara menarik yang hendak dikongsikan. Tetapi dalam proses untuk mendapatkan sesuatu yang menjadi idaman selama ini. Mungkin menjadi idaman ramai pembaca diluar. Mohon dipermudahkan segala urusan ini dan mencapai apa yang dikehendaki.

Rasanya sampai di sini sahaja coretan pada hari ini.

Adilkah Hukum Hudud?

03 Sep 2013 - 07:19 pm

Saya bukanlah seorang ustaz hendak bercerita mengenai keadilan hukum Allah sebaliknya hanya seorang manusia yang dianugerahkan akal dan fikiran untuk memikir secara logik dan melihat dari sudut yang berlainan. Pemikiran logik sudah semestinya akan selaras dengan hukum Allah. Jadi saya termenung dan memikirkan bagaimanakah keadilan dalam hukum Hudud ini sebenarnya berlaku?

#1 Pertama, hukum Hudud ini hanya dikenakan kepada umat Islam dan bukan umat Islam. Jadi mana logiknya dan adilnya?

Pemikiran singkat akan melihat orang bukan Islam senang-senang buat kesalahan dan tidak dikenakan hukuman. Cuba lihat dari sudut yang berlainan. Kita bertandang ke rumah orang yang sedang minum arak kemudian dia menceritakan tentang perkara-perkara kebaikan yang harus dilakukan. Kemudian dihadangkan pula dengan makanan. Adakah kita akan memakan makanan tersebut? Adakah kita akan mendengar nasihat dia?

Samalah konsep yang diterapkan dalam hukum Hudud. Sebelum hukuman dijatuhkan kepada orang lain, agama Islam mahu memperbetulkan umatnya terlebih dahulu. Bagaimana kita mahu menghukum orang lain sedangkan kita sendiri banyak membuat kesalahan. Apabila umat Islam kembali mengamalkan perkara yang menjurus kepada kebaikan, secara tidak langsung ia akan memberi impak kepada orang lain. Di situlah keadilan yang pertama.

#2 Kedua, pelaksanaan hukum Hudud hanya boleh dilakukan apabila mendapat saksi yang tidak pernah menipu, meninggalkan solat, amanah dan tidak fasik.

Dalam zaman sekarang mana hendak cari manusia sebegini. Mungkin ada seorang atau dua orang, tapi kalu hukuman berzina perlukan 4 orang dan 4 orang itu menyaksikan perbuatan tersebut dibuat? Maka dengan mudah terlepaslah orang yang mungkin bersalah.

Secara logiknya, hukum Hudud mengajar kita untuk mencari kebenaran yang sebenar. Berbeza dengan sistem kehakiman yang sedia ada. Jika anda berjaya mengupah peguam yang hebat berbicara dan memutar belit fakta dan kebenaran, mana keadilan berbanding Hudud? Secara tidak langsung kita telah merasuah "keadilan" agar terlepas dari hukuman.

#3 Ketiga, mengapa hukuman Hudud dilihat sangat kejam dan berat seperti "rejam sampai mati", "sebat 100 kali"?

Bukankah Islam itu agama yang tenang dan penuh dengan kelembutan? Hal ini mudah sahaja untuk dijawab. Hudud dilaksanakan kepada pembunuh, pencuri, penzina dan perogol. Jika kita lihat kepada prinsip Pareto 80/20 iaitu 80% kesan dan akibat datangnya daripada 20% tindakan. Bermakna hukum Hudud hanya dilaksanakan kepada 20% kesalahan berat yang akhirnya akan memberi kesan kepada 80% kebaikan yang bakal diperolehi.

Cuba kita lihat kepada sistem dan undang-undang sivil yang sedia ada dan terpakai. Setiap satu kesalahan dinyatakan dengan jelas dari sekecil-kecil kesalahan sehingga sebesar-besar kesalahan siap dengan hukumannya. Tetapi berapa banyak/peratus pengurangan indeks jenayah yang kita dapat. Hakikatnya prinsip Pareto terhadap undang-undang sivil menjadi terbalik iaitu 80% hukuman hanya memberi 20% kesan kebaikan.

Kesimpulan

Islam dan pemikiran logik akal sememangnya tidak akan bercanggah. Lihat prinsip yang dicipta pada zaman dahulu, bukanlah ianya sudah ditulis dan termaktub dalam hukum Allah. Terpulang kepada kita untuk mencari di mana keadilan sekiranya kita mahu ianya ADIL.

Ratio atau Perkadaran dalam Reka Bentuk Web

01 Sep 2013 - 10:26 am

Ratio atau perkadaran sememangnya paling banyak digunakan dalam mereka bentuk satu laman web terutama pemprosesan imej dan gambar secara automatik. Perkadaran walaupun dilihat sebagai satu skop yang kecil tapi sebenarnya ia akan memberi impak secara keseluruhan terhadap satu-satu halaman. Pemilihan atau penggunaan dimensi yang salah pada setiap elemen imej akan menyebabkan paparan gambar menjadi tidak natural atau semula jadi.

Mengapa? Setiap gambar mampu bercerita jauh lebih banyak berbanding teks. Oleh itu, sekiranya perkadaran dimensi yang silap akan menyebabkan kebanyakan elemen penting pada satu-satu gambar hilang daripada pandangan pengguna. Lebih-lebih lagi laman web dinamik yang menggunakan pemprosesan imej secara automatik. Selama hampir 10 tahun dalam bidang mereka bentuk laman web, saya telah mengumpul dan melakukan analisis untuk setiap perkadaran dimensi yang digunakan dan impaknya terhadap pengalaman penggunaan.

most ratio being use in designing website

Gambar di atas adalah ratio yang sering saya gunakan dalam setiap reka bentuk laman web pelanggan. Ratio ini tidak semestinya untuk imej sahaja tetapi boleh digunakan untuk dimensi video.

Drupal mempunyai keupayaan untuk melakukan pemprosesan imej secara automatik berdasarkan kepada perkadaran yang kita tetapkan. Sebagai contoh, ratio 4:3 akan menghasilkan imej yang mempunyai saiz asal 120px x 90px kepada 80px x 60px selepas diproses. Sememangnya kita boleh mengambil mana-mana perkadaran secara rambang tetapi untuk mencipta satu perkadaran yang "natural" atau seimbang sememangnya sukar.

Walau bagaimanapun, Golden ratio (1.6:1) merupakan perkadaran yang paling kerap digunakan oleh pereka laman web sehingga hari ini. Golden ratio apabila dicipta menerusi teori matematik yang akan memberi keseimbangan secara semula jadi pada pandangan mata. Ianya dicipta oleh Fibonacci yang seterusnya menerbitkan satu unjuran penomboran yang terkenal di panggil Fibonacci Sequence.

fibonacci spiral

Bagi yang tidak mengetahui apakah yang dimasukkan dengan Golden Ratio atau Fibonacci ini, boleh membuat sedikit bacaan tambahan di internet. Sehingga kini, saya masih belum mampu untuk menggunakan Golden Ratio sepenuhnya dalam mana-mana karya kerana ianya sangat kompleks. Bukanlah satu perkara yang mudah untuk mengaplikasikan Golden Ratio dengan sempurna dalam karya kerana ianya melibatkan pengiraan logik dan matematik yang sangat tepat dan jitu.

Tidak hairan jika kita melihat satu-satu karya yang dihasilkan menerusi penggunaan Golden Ratio, setiap sudut, bucu, perkadaran dan susunannya sangat sensitif dan seimbang. Perbezaan 1px pada setiap reka bentuk akan memberi impak kepada keseluruhan susunan.

Budaya Membaca Kurang Dipraktikkan Masyarakat Kita

17 Aug 2013 - 06:15 pm

Semenjak berpuluh tahun yang lepas, sering kita dihiburkan dengan iklan pendek berkenaan dengan aktiviti budaya membaca. Masih teringat iklan kanak-kanak, orang dewasa membaca buku dan surat khabar di perpustakaan, sedang menunggu bus dan sedang berjalan-jalan. Tapi hakikatnya budaya ini sangat sukar untuk diterapkan dalam masyarakat kita.

Cuba kita lihat budaya ini pada masyarakat barat. Mereka menganggap budaya membaca itu satu keseronokan bagi mereka. Dan bukan setakat itu sahaja. Ianya dipraktiskan secara meluas. Perhatikan laman web dan blog-blog yang ditulis oleh golongan mereka, mereka gemar untuk menulis? Mengapa? Kerana budaya gemar untuk membaca hasil tulisan seseorang.

Berbeza dengan budaya kita yang lebih gemar untuk melihat gambar, cerita gosip artis dan politik. Kalau di media sosial pula, mereka lebih gemar menggunakan Twitter berbanding Facebook. Apakah yang membezakan Twitter dan Facebook?

Twitter dengan sengaja mencipta dan menghadkan 140 aksara sahaja dimuatkan dalam satu hantaran untuk memastikan pengguna hanya menulis perkara-perkara yang penting sahaja. Sekiranya penulisan mereka panjang, Twitter mencadangkan agar pautan kepada blog atau penulisan asal dikongsi. Apa yang kelihatan di sini adalah mereka mencari maklumat dan membaca hanya informasi yang tepat dengan ulasan tersendiri oleh penulis.

Facebook lebih kepada interaksi sosial tetapi kebanyakkannya digunakan oleh masyarakat kita sebagai tempat untuk berborak, berkongsi maklumat tanpa melihat kepada kerelevanan maklumat asal. Mana-mana blog yang hanya teks seperti blog ini, kurang mendapat sambutan sebaliknya jika dipenuhi dengan gambar artis atau gosip terkini, secebis maklumat pun boleh menjadi viral.

Walaupun begitu, setelah kebangkitan semangat berblog oleh golongan masyarakat kita yang mahu melihat kelebihan bahasa Melayu sama hebatnya dengan bahasa asing, dapat dilihat kualiti kandungan dan penulisan blog pada hari ni semakin matang. Sudah semakin jarang melihat blog-blog yang menggunakan bahasa pasar sebaliknya mereka lebih professional dari segi tatabahasa, ejaan dan keindahan bahasa Melayu dalam penulisan masing-masing.

Diharapkan budaya membaca ini dapat diterapkan sepenuhnya dalam diri kita semua dibantu dengan kemajuan teknologi dan pembangunan ketamadunan masyarakat kita ke satu peringkat yang lebih tinggi daripada sekarang.

Kesabaran Itu Ada Nikmatnya

23 Jul 2013 - 12:22 am

Dalam entri sebelum ini (Kemik), di mana kereta saya telah dilanggar dari belakang oleh seseorang di Lebuhraya Persekutuan. Kejadian berlaku semasa pulang daripada kerja pada hari Jumaat. Sememangnya pada hari Jumaat lebuhraya tersebut akan sesak dengan jumlah kenderaan yang berganda. Ditambah dengan bulan puasa, anak-anak yang tinggal di Kuala Lumpur mungkin pulang ke kampung halaman di Klang, Shah Alam dan Pelabuhan Klang.

Pada hari kejadian, wanita lewat 30an sebenarnya tertidur semasa terperangkap dalam kesesakan mengakibatkan kereta yang dipandu telah melanggar belakang kereta. Pelanggaran tersebut sebenarnya cukup kuat seolah-olah minyak ditekan walaupun keretanya telah mencium kereta saya. Hentakan yang terlalu kuat mengakibatkan leher saya sakit. Pada masa yang sama, demi untuk mengelak pelanggaran tambahan pada kereta hadapan, saya terpaksa menekan brek dan menarik brek tangan secara serentak. Mungkin tindakan ini mengakibatkan remuk yang teruk pada belakang kereta. Nasib baik kereta hadapan saya selamat daripada dilanggar.

Setelah kedua-dua kereta berjaya dihentikan dengan selamat, saya keluar daripada kereta menuju ke kereta wanita tersebut. Melihat keadaan perempuan tersebut yang panik, takut dan tergamam, saya bertanya "Kenapa boleh langgar kereta saya?". Dia menjawab dengan terketar-ketar "Sorry encik.. sorry encik..." Melihat keadaan wanita terlalu panik, saya beritahu dia "You taukan stesen minyak sebelum tol Batu Tiga, you berhenti di sanalah. Saya tunggu kat sana, di sini jalan tengah jemm teruk". Saya membetulkan bumper belakang kerana telah terpelusuk masuk sehingga terkena tayar kereta dan memandu perlahan menuju ke stesen minyak tersebut.

Wanita tersebut mengikut saya daripada belakang. Dari pandangan cermin pantulan, saya melihat dia menelefon seseorang di sepanjang jalan tersebut. Setelah sampai di stesen minyak, saya keluar dan bertanya dengan baik (walaupun dalam hati ini dah sakit sebab kena langgar satu hal, kereta kena masuk bengkel nanti susah hendak pergi kerja satu hal). "Aunty, macam mana you boleh langgar kereta saya?" Dia menjawab, "Sorry encik, tadi saya makan ubat demam, selsema dengan pening. Hari panas, kereta pun panas kemudian saya pun tertidur. Sorry encik.." Akibat mulutnya tidak lepas meminta maaf, hati saya sedikit lembut daripada hendak marahnya.

Setelah ditanya mengenai pekerjaan, sudah memaklumkan suami, rasanya tidak perlu untuk kes ini dipanjangkan. Perkara sudah terjadi, jadi tidak perlu untuk jadi seperti orang gila. Wanita tersebut dengan rela hati menawarkan kereta saya untuk dibaiki dibengkel pilihannya, saya membuat keputusan agar kes ini diselesaikan di situ sahaja. Wanita itu kemudiannya memandu pergi kerana perlu menjemput anak di nurseri.

Dipendekkan cerita, kereta saya dihantar ke bengkel tersebut keesokannya dan selesai dibaiki dalam masa 5 hari. Kos ditanggung oleh wanita tersebut. Sungguhpun begitu, proses baik pulih hanya melibatkan luaran sahaja. Saya masih perlu menghantar ke bengkel elektrik untuk menggantikan reverse sensor yang baru dan membentulkan kedudukan ekzos. Saya sekadar memaklumkan kepada wanita tersebut bahawa terdapat bahagian yang masih perlu dibaiki.

Pada hari Ahad yang lepas, tiba-tiba saya mendapat panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali menanyakan lokasi rumah saya. Dia mengatakan bahawa terdapat hamper yang perlu dihantar oleh wanita yang telah melanggar kereta tempoh hari. Pada ketika ini, terdetik dihati sungguh baik wanita tersebut. Inilah yang dikatakan hidup bermasyarakat. Walau pun bagi saya sudah cukup kereta itu dibaiki, tetapi bagi pihaknya mungkin masih berasa bersalah terhadap kejadian tersebut.

Bersama hamper tersebut dilampirkan kad hari raya dengan coretan: "Selamat Hari Raya dan Maaf". Agak terharu dan terkedu menerima hamper tersebut. Saya pasti akan menjemputnya datang ke rumah pada hari raya nanti sebagai tanda membalas budi wanita tersebut berbahasa dengan kita. Untuk makluman, wanita tersebut berbangsa Cina.

hamper hari raya dan maaf

Pages