Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Blog Saya

Bina borang kaji selidik dengan Google Doc secara percuma

28 Jul 2011 - 11:15 am

Idea ini tercetus apabila saya cuba mencari aplikasi dan perkhidmatan atas talian yang menyediakan servis untuk menggunakan borang kaji selidik secara percuma. Dengan bantuan kata kunci "free online survey form", terdapat banyak pilihan laman web yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Tapi, hampir ke semua menawarkan perkhidmatan yang saya mahukan secara langganan.

Saya meneruskan carian dan akhirnya menemui satu tutorial yang menerangkan kelebihan dan kehebatan Google Documents. Tetapi sebelum boleh menggunakan aplikasi ini, anda pastikan dahulu mendaftar untuk mendapatkan akaun Google secara percuma. Sebelum ini saya sudah mempunyai akaun emel Gmail, membolehkan interaksi dan pengaktifan dilakukan secara terus.

Image icon google-docs.jpg

Di bahagian, Google Docs saya boleh mencipta beberapa dokumen seperti teks, slaid persembahan, helaian lejar, lukisan dan borang. Untuk tujuan ini, pilih sahaja Form dan saya boleh menghasilkan seberapa banyak borang tersebut. Selain itu, Google Docs juga menawarkan fungsi untuk memuat borang tersebut di bahagian mana-mana laman web menerusi IFRAME. Boleh dikatakan, Google Docs bukan sahaja satu aplikasi atas talian tetapi sebagai simpanan dokumen secara virtual.

Bagaimana mengukur mesra pengguna satu-satu laman web

26 Jul 2011 - 04:19 pm

Jawapannya TIADA. Keadaan ini samalah seperti kita mahu mengukur kecantikkan atau kehebatan satu-satu templat laman web. Pengukuran satu-satu elemen hanya boleh dibuat kepada faktor yang boleh dihitung atau dikira. Bagi faktor yang melibatkan perkara subjektif, tiada satu skala atau unit yang menilai perkara tersebut. Dalam kes ini, mesra pengguna (usability/user friendly) bergantung kepada faktor manusia (human factor).

Saya sangat tidak bersetuju apabila terdapat segolongan kumpulan yang meluahkan sebarang komen terhadap laman web, aplikasi atau sistem dengan alasan tidak mesra pengguna. Ianya bergantung kepada proses penggunaan dan tempoh pendedahan kepada sesuatu aplikasi itu. Bagi pengguna yang baru, mereka mungkin merasa sedikit janggal dengan antaramuka yang baru. Statistik dan kajian menunjukkan otak manusia memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk menerima perkara baru.

Jadi adakah mesra pengguna tidak boleh diukur langsung? Tidak sama sekali. Namun penggunaan bahasa yang paling tepat perlu kita gunakan adalah membaiki atau meningkatkan faktor mesra pengguna. Bagi membolehkan hal ini dijalankan, kita perlu menjalankan satu kajian atau memungut suara pendapat orang ramai. Hasil daripada kajian tersebut, satu peningkatan dan pembaharuan boleh dilakukan terhadap elemen-elemen tertentu.

Sebagai contoh, jalankan satu kajian untuk pemilihan penggunaan warna latar belakang laman dengan memberikan pilihan seperti biru, merah, hijau atau hitam. Hasil keputusan menunjukkan daripada 1000 orang pengundi, 750 orang memilih merah sebagai latar belakang. Keputusan ini menunjukkan kita memilih untuk menggunakan keputusan majoriti. Namun begitu keputusan ini bukan menunjukkan merah mempunyai nilai 750.

Jadi, kita sebagai pengguna internet dan pembangun laman web perlu membetulkan pemikiran ini kembali kepada asas matematik. Anda sebenarnya tidak layak untuk meletakkan nilai satu-satu karya sebaliknya anda berhak untuk membantu pihak lain meningkatkan hasil mutu kerja dengan cadangan atau idea yang bernas. Jadi, apa komen anda mengenai templat terbaru blog saya?

Maklum balas Drupal 7

11 Jun 2011 - 10:37 am

Dalam entri sebelum ini yang menceritakan pengalaman pertama blog Parasolx ini ditingkat upaya kepada Drupal 7 pada 30 Januari 2011, sekarang sudah hampir 4 bulan lamanya saya menggunakannya. Sepanjang tempoh ini boleh dikatakan Drupal 7 sememangnya lebih menarik berbanding dengan Drupal 6 dari segi bentuk dan paparan.

Selain daripada itu, keupayaan Content Construction Kit (CCK) yang telah diserap masuk memudahkan proses untuk modifikasi dan kebolehan untuk menghasilkan ruang medan secara "custom" lebih mudah. Lebih mengagumkan adalah selepas saya memasang modul Views. Sememangnya Views untuk D7 ini telah dipertingkatkan dan tatacara penggunaannya juga secara keseluruhannya berbeza dari versi 2. Kaedah penyusunan dan cara kendaliannya di D7 telah dipertingkatkan. Begitu banyak fungsi terbaru dimuatkan.

Namun begitu D7 sememangnya memerlukan konfigurasi dan spesifikasi pelayan yang lebih tinggi untuk mendapatkan tahap pemprosesan yang lebih baik. Oleh itu saya lebih mematikan fungsi modul "Overlay". Selain itu modul pengendalian Galeri (Media) juga masih ditahap yang belum sempurna. Tetapi saya sangat gembira dengan modul Toolbar yang lebih mengurangkan jumlah klik dan konfigurasi fungsi lebih tersusun mengikut keperluan.

Sehingga saat ini, saya sangat gembira untuk lebih mengenali Drupal 7 dan akan fokus kepada modifikasi templat.

Samsung Galaxy Tab 10.1: Pesaing terdekat iPad

11 Jun 2011 - 08:53 am

Perang antara Apple dan Samsung di Malaysia semakin hebat sama ada untuk telefon pintar ataupun tablet PC. Salah satu iklan yang dikeluarkan oleh Samsung untuk mempromosikan keupayaan tablet PC mereka yang dikuasakan dengan Android sempat saya tangkap di Youtube.

Saya sendiri menggunakan OS Android mendapati ianya lebih banyak menawarkan konfigurasi dan fungsi berbanding iOS daripada Apple. Pendapat ini dapat saya utarakan memandangkan saya memiliki kedua-duanya dan bukan salah satu.

Siapa "Web development", "Web designer" dan "Web programmer"

06 Jun 2011 - 10:01 pm

Mereka adalah orang yang terlibat secara langsung dalam pembinaan dan pembangunan sesuatu laman web. "Web developer" lebih cenderung ke arah pembinaan sistem, "web designer" berkemahiran dalam melukis dan memaparkan karya laman tersebut manakala "web programmer" adalah insan yang berkeupayaan untuk melakukan suntingan, penyelesaian dan binaan sistem menerusi pengaturcaraan. Walau siapa pun, apa gelaran sekali pun, ke semuanya fokus kepada penghasilan satu laman web yang sempurna untuk diri sendiri atau pelanggan.

Web developer dikategorikan sebagai pembangun dan pembina sistem laman dengan menggunakan sistem-sistem yang sedia ada sama ada "framework", "content management system" atau apa jua sistem yang sedia pakai. Mereka selalunya lebih fokus dalam menghasilkan satu tatacara dan perjalanan sistem laman web menguruskan sesuatu kandungan. Web developer kadang kala kurang berminat atau kurang berkemahiran dalam memberikan paparan dan bentuk visual kandungan. Mereka lebih berpegang kepada sampel atau contoh kandungan dari mana-mana karya sama ada menerusi pembelian atau mendapatkannya secara percuma.

Web designer mempunyai citarasa yang lebih tinggi bagi menampakkan satu-satu laman web seronok untuk dipandang, meningkatkan bilangan lawatan pengunjung dan menzahirkan tahap kreatif mereka berbanding designer yang lain. Mereka lebih cenderung untuk menaikkan imej sesuatu laman dengan menghasilkan satu mockup yang boleh dikatakan sempurna. Apabila hasil tersebut diberikan kepada web developer, selalunya hasil yang akan dibentangkan tidak menepati 100% karya yang asal. Proses modifikasi dan kesesuaian perlu dilakukan boleh web developer agar sistem dan diselarikan dengan bentuk visual.

Selalunya klien atau pelanggan akan rasa seolah-olah konsep yang asal sudah menepati keperluan yang mereka inginkan. Di sinilah selalunya web programmer akan hadir. Mereka bukan sahaja cuba untuk mengubah suai kod agar paparan visual agar lebih menyerupai mockup yang asal, malah tambahan bentuk dan animasi serta ciri-ciri yang lebih spesifik dilakukan. Jadi boleh dikatakan, web programmer adalah pengimbal kepada kedua-dua golongan pembangun laman web. Jadi tidak hairan sekiranya kita perlu mengeluarkan bayaran yang lebih tinggi kepada web programmer.

Hampir mustahil untuk mendapatkan seorang pembangun laman web yang mempunyai ketiga-tiga kemahiran di atas memandangkan agak sukar untuk mengimbangi keperluan dan ketiga-tiga profession di atas. Selalunya hasil akhir yang terbina akan kelihatan lebih kurang sama sahaja dengan hasil-hasil yang terdahulu. Sering kali kita melihat pembangun laman web ini bergerak dalam satu kumpulan berbanding bergerak bersendirian (freelancers). Walau bagaimanapun, setiap kemahiran yang diperlukan menuntut upah yang setimpal dan anda tidak perlu mempersoalkan bayaran seorang pembangun laman web sekiranya mereka dianggap sebagai professional.

Pages