Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Blog Saya

Perbezaan pendapat...

15 Jan 2013 - 04:59 pm

Entri kali ini saya mahu berbicara tentang sesuatu yang ringan dan mudah. Lagipun hari sudah lewat malam yang sepatutnya merupakan masa untuk tidur bagi kebanyakan golongan. Tetapi untuk menjanjikan satu semangat baru esok hari, jadi ambillah kesempatan yang ada ini untuk menulis sedikit nukilan peribadi.

Siapa yang tidak pernah berbeza pendapat? Sememangnya anda bukanlah manusia atau golongan yang boleh bekerja dalam kumpulan jika tidak pernah berbeza pendapat. Kita mungkin pernah berbeza pendapat dengan ibu bapa sendiri terlebih dahulu. Tidak mengira dalam sebarang perkara seperti pakaian, mainan ataupun mungkin ada yang konflik dengan pilihan cita-cita. Ada yang sanggup merendahkan martabat ibu bapa mereka semata-mata kerana berbeza pendapat.

Kembali ke topik yang asal, berbeza pendapat itu bagus. Bukan bagus sahaja tetapi memang sangat bagus. Ini kerana perbezaan inilah yang mewujudkan situasi kepelbagaian. Sekiranya atas dunia ini hanya wujud satu pendapat, dunia boleh dikelaskan sebagai satu lukisan 2D yang sama sahaja dijual di merata tempat. Ketandusan perbezaan pendapat akan menjurus kepada "stereotype" dalam satu-satu kawasan. Kehadiran pendapat yang berbeza menjana dan mencambah buah fikiran yang satu.

Situasi perkhidmatan kesihatan pada masa sekarang

17 Jul 2012 - 04:45 pm

Dalam kehidupan kita, boleh dikatakan terdapat dua perkara yang sebenarnya penting untuk diri dan keluarga iaitu kesihatan dan pendidikan. Beberapa tahun dahulu, dapat dilihat kesihatan dan pendidikan masing-masing berlumba menyediakan perkhidmatan yang terbaik. Untuk diri, kesihatan terpenting bagi mencari rezeki. Manakala pendidikan penting untuk anak-anak meneruskan kehidupan pada masa hadapan.

Tetapi apa telah terjadi kepada sistem kesihatan sekarang? Boleh dikatakan hospital dan klinik sama sudah begitu banyak sekarang. Mana yang terbaik, itulah yang akan dikunjungi oleh pesakit. Jadi, apa masalah yang timbul di sini? Lagi banyak hospital berdekatan, dapat meningkatkan tahap kualiti kehidupan seharian bukan?

Memang betul. Tetapi pernahkan kita bandingkan kos rawatan dan perkhidmatan untuk sekali rawatan sekarang berbanding beberapa tahun terdahulu? Saya tiada angka tersebut tetapi saya boleh katakan ianya meningkat. Kesihatan kini dijadikan sebagai satu laluan untuk perniagaan.

Selagi ada permintaan, harga setinggi mana sekalipun, kita sanggup untuk membayarnya kerana kita perlu sihat. Namun peningkatan drastik dalam kos rawatan tidak boleh dinaikkan secara senang-lenang kerana akan membebankan sesetengah pihak walaupun golongan yang berada. Maka muncullah agen insurans dalam kes seperti ini.

Sama ada kedua-dua pihak ini mempunyai kaitan secara langsung, mungkin ya atau tidak. Tetapi inilah realiti pada hari ini. Pihak hospital pasti bimbang dengan kenaikan harga kos perawatan yang dibuat (sama ada dari segi kos ubat, perkhidmatan atau keuntungan berganda) akan menyebabkan pesakit beralih ke klinik-klinik biasa yang jauh lebih murah. Kebimbangan belanja yang terlalu besar, agen insurans menawarkan pelbagai pakej insurans dengan bayaran paling minimum tetapi perlindungan yang sangat tinggi.

Di sinilah permainannya. Kos rawatan akan terus meningkat manakala insurans tampil dengan pelbagai pakej bagi memberi keyakinan kepada pengguna kita berhak mendapat rawatan terbaik tetapi tidak perlu risau dengan kos perawatan. Kedua-dua faktor ini memberi tekanan kepada pengguna. Pengguna akan tertekan untuk membayar insurans secara bulanan. Tetapi lebih baik daripada kos rawatan yang mungkin berpuluh-puluh ribu nanti.

Jika diletakkan di atas satu dacing, kos rawatan dan pakej insurans ini saling mengimbangi pengguna di tengah-tengah. Jika kos rawatan setiap hari terus meningkat, insurans juga perlu meningkat bagi memberi perlindungan sepenuhnya terhadap kos perawatan. Yang tersepit adalah pengguna di tengah-tengah. Kita tidak mempunyai pilihan lain kecuali membayar insurans atau pergi ke hospital kerajaan. Tidak hairan mengapa bilangan pesakit semakin bertambah di hospital kerajaan pada hari ini. Bukan itu sahaja. Ada juga yang mendapat rawatan di hospital swasta tetapi ubat susulan ambil di hospital kerajaan? Mengapa? Itu yang perlu kita kaji, teliti dan lihat.

Kesannya kepada pengguna yang tidak berkemampuan walaupun untuk membayar insurans minimum bulanan. Beberapa tahun akan datang, tidak mustahil kita akan membayar insurans bulanan yang kosnya kita bayar sama untuk mendapatkan sekali perawatan hari ini. Bagi golongan berpendapatan sederhana, tindakan ke hospital swasta memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan mendapat rawatan di hospital kerajaan. Namun, dengan situasi ini mereka juga tidak akan mampu dan beralih ke hospital kerajaan suatu masa nanti. Bagaimana dengan golongan yang sangat berkemampuan? Mereka juga tidak terlepas.

Tidak perlu untuk kita tunjuk kepada siapa yang bersalah dalam hal ini kerana kita sendiri yang mencipta keadaan dan realiti ini. Jalan paling mudah, jagalah kesihatan.

Perang "cloud storage" sudah bermula

26 Apr 2012 - 10:41 am

Jika dahulu konsep penyimpanan fail di internet mungkin dianggap masih jauh untuk sampai. Tetapi pada hari ini, perang "clous storage" sudah bermula. Syarikat-syarikat gergasi nampaknya sudah berani tampil dengan idea, perkhidmatan dan tawaran masing-masing.

Malah yang menjadi lebih realiti konsep ini adalah kerana perkhidmatannya adalah percuma. Siapa yang tidak mahu menggunakan barang percuma? Perkhidmatan seperti Dropbox, SkyDrive dan terbaru Google Drive masing-masing menunjukkan dunia teknologi sudah sampai ke satu tahap yang sangat-sangat maju.

Dahulu semua orang berbicara dunia tanpa kertas. Hari ini atau mungkin esok kita berbicara mengenai dunia tanpa pendrive, harddisk atau cakera keras. Simpanan fail kini boleh dilakukan terus ke dalam internet dan dicapai dimana-mana, bila-bila masa sahaja.

Adakah kita bersedia?

Di Malaysia, perkembangan internet boleh dikatakan agak memberangsangkan sungguhpun belum mencapai tahap kelajuan seperti negara-negara membangun.

Kita sudah mempunyai jalur lebar optik Unifi dan jalur lebar tanpa wayar 4G. Dari segi kemudahan, bukanlah 100% akses capaian internet boleh diperoleh di semua tempat di Malaysia tetapi peluang itu ada.

Semuanya bergantung kepada kita untuk menerima dan menggunakannya. Cloud storage sememangnya satu fenomena baru bagi golongan konservatif tetapi satu lonjakan dan anjakan bagi golongan yang terdedah kepada internet.

Sinkronasi fail adalah antara faktor penting cloud storage dilihat akan memberi pulangan yang menguntungkan. Bayangkan, saya boleh akses fail-fail yang ditulis di rumah di pejabat. Suntingan yang dibuat di pejabat kemudiannya akan diselaras, dikemas kini dan dimuat turun secara automatis terus ke komputer di rumah.

Secara tradisional, saya akan menyimpan fail tersebut di dalam pendrive atau external harddisk. Membawanya ke mana saya pergi, dan sebarang suntingan yang dibuat memerlukan penghasilan revisi secara manual. Dengan cloud storage, setiap perubahan yang dikesan akan dicipta satu poin revisi. Jadi, saya boleh kembali ke versi yang sebelum ini hanya dengan sekali klik sahaja.

Perlu atau tidak menggunakan peluang ini?

Bergantung. Bagi saya, ianya dilihat satu kemudahan memandangkang capaian internet bukan lagi sukar untuk dibuat. Di mana-mana sahaja ada perkhidmatan wifi secara percuma. Jika tiada langganan internet tanpa wayar sekalipun, sinkronasi fail tetap dilakukan terus ke dalam telefon pintar apabila pulang ke rumah.

Tetapi bagi pengguna konservatif, mungkin beranggapan ianya kurang praktikal. Bayangkan komputer yang berzaman lamannya, tiada kemudahan capaian internet, bagaimana untuk mendapatkan fail yang disimpan di cloud storage? Mungkin ianya masih boleh diterima sebagai alasan, tetapi dalam 5 tahun akan datang ianya bukan lagi alasan tetapi malas untuk berubah.

Membina algoritma populariti

02 Apr 2012 - 01:21 am

Boleh dikatakan kebanyakan laman web hari ini menggunakan undian atau penilaian (votes) untuk mengetahui tahap populariti satu-satu artikel yang ditulis. Sistem seterusnya menyenaraikan artikel yang popular dengan mengambil kira purata nilai penilaian yang diberikan.

Dan apabila sistem tradisional ini digunakan apa yang terjadi:

  1. sistem mengalami kemerosotan dari segi menentukan kedudukan item
  2. pembangun sendiri menggunakan algoritma secara persendirian tanpa menggunakan pengiraan yang lebih praktikal dan logik
  3. terdapat beberapa golongan yang cuba menipu sistem penilaian
  4. berlaku kekurangan dalam pengiraan sistem apabila algoritma yang dibina terlalu kompleks.

#1 Undian menentukan populariti

Sistem sedia ada merekod jumlah undian yang dilakukan dan dikira dari segi purata. Secara matematiknya, perkadaran boleh dikatakan seperti berikut:

Populariti = jumlah undian

Sememangnya algoritma ini tersangatlah jauh untuk menggambarkan tahap populariti sebenar.

Katakan pada bulan lepas berlakunya aktiviti yang terlalu aktif daripada pengunjung dan menerima hampir 100 undian dan penilaian. Manakala bulan ini tidak terlalu aktif dan hanya mampu memperoleh 30 penilaian sahaja.

Disebabkan faktor ini, artikel yang begitu popular pada bulan lepas tidak akan terpapar di bahagian laman utama.

#2 Rekod terdahulu (usia artikel)

Sekarang kita masukkan faktor rekod terdahulu atau usia rekod. Bermakna untuk artikel yang terbaru, ianya lebih mendapat tempat untuk senarai halaman utama berbanding artikel terdahulu, betul ke?

Populariti = jumlah undian / usia rekod

Ini bermakna, artikel yang mempunyai usia yang lebih lama memerlukan penilaian yang lebih banyak untuk mencapai satu tahap populariti. Tetapi ini tidak adil.

Bayangkan untuk satu aritkel diterbitkan, seorang penulis mungkin bercekang mata dan berjaga sehingga lewat malam sedangkan pembaca yang lain lena tidur atau mempunyai aktiviti yang mereka suka. Dan keberkesan artikel ini akhirnya hialgn ditelam masa apabila ianya sudah tidak lagi diundi.

Sekarang kita ubah sedikit cara pengiraan undian terhadap usia undian itu sendiri:

Populariti = (P1/U1) + (P2/U2) + (P3/U3) + ... + (Pn/Un)

di mana, Pn = undian dan Un = usia untuk undian tersebut.

Dengan algoritma ini nampaknya telah hampir menyelesaikan masalah kita. Tetapi akan timbul satu isu yang baru. Katakan satu artikel ditulis pada 20 bulan yang lepas, undian yang diterima pada hari ianya diterbitkan semestinya lebih bernilai berbanding undian pada hari ini. Jika tidak, artikel yang lama-lama akan muncul kembali di ruang halaman utama.

#3 Masukkan kembali faktor usia artikel

Sekarang kita kembalikan faktor usia artikel itu sendiri ke dalam algoritma kita menjadikannya:

Populariti = [ (P1/U1) + (P2/U2) + (P3/U3) + ... + (Pn/Un) ] / Usia artikel

Dengan faktor yang terbaru dimasukkan, kita boleh mengarahkan agar artikel yang terdahulu kekal popular tetapi tidak muncul di laman utama sekiranya sudah dianggap sebagai arkib.

Namun begitu, teori dan praktikalnya agak sukar untuk mendapatkan algoritma yang begitu sempurna. Memandangkan algoritma yang dicipta ini hanya mengambil kira dua faktor sahaja iaitu penilaian dan masa.

Perkembangan statistik laman web Malaysia yang terkini

04 Mar 2012 - 12:12 am

Pembangun laman web kini perlu mengambil kira beberapa statistik sebenar supaya teknologi yang digunakan boleh diimplementasi dengan sepenuhnya. Beberapa fakta dan statistik terkini yang perlu diberi penekanan adalah seperti di bawah.

#1 Versi Internet Explorer

Pertama kita bicara mengenai versi Internet Explorer. Mengapa ianya penting? Kerana permasalahan yang timbul bagi pereka laman web adalah untuk menjadikan laman web kelihatan sama terutamanya dalam Internet Explorer (IE). IE menggunakan teknik dan arahan "rendering" yang berlainan berbanding perisian yang lebih moden seperti Firefox dan Chrome.

Namun, dengan munculnya IE10, Microsoft mengambil langkah untuk menggunakan teknologi yang sama digunakan pada perisian moden. Jadi daripada statistik di atas menunjukkan penggunaan IE6; perisian pelayar yang paling bermasalah semakin menurun sehingga kepada 1% dan diikuti dengan IE7 sebanyak 2%.

Begitu juga dengan IE8 yang masih menggunakan enjin pemaparan yang tidak mengikut standard W3C semakin menurun di Malaysia. Dengan statistik ini, kita tidak perlu risau lagi untuk menggunakan kod moden dalam pembinaan laman web.

#2 Jenis perisian pelayar yang digunakan

Selari dengan penurunan penggunaan versi IE yang sudah lapuk dan mundur, rakyat Malaysia kini lebih peka menggunakan perisian sumber terbuka. Chrome, keluaran daripada Google nampaknya begitu cepat menular berbanding Firefox, yang jauh lebih awal dibina.

Mengapa rakyat Malaysia memilih Chrome? Mudah sahaja. Kerana Chrome lebih ringan dan tiada konfigurasi perlu dilakukan. Malaysia masih boleh dikategorikan sebagai negara peringkat awal menerima pendedahan kepada teknologi maklumat. Google mengkaji sifat dan perilaku manusia dan jelas menunjukkan hasil kajian ini membuahkan hasil.

Chrome mengimplementasi proses kemas kini secara automatik dan dijalankan secara tersembunyi dibelakang perisian setiap kali ia digunakan. Secara tidak langsung setiap teknologi baru digunakan oleh pengguna tanpa mereka sedari (1 poin di sini). Dan manusia tidak menyukai sesuatu yang lambat. Mereka gemar memilih sesuatu yang lebih pantas, ringan dan tidak membebankan (1 poin lagi di sini).

Jelas menunjukkan perilaku manusia menyukai sesuatu kemudahan disediakan tanpa mereka sedari da memohon. Dalam kes laman web, binalah satu sistem yang memberikan kemudahan kepada pengguna untuk mengguna, melayari dan mencari maklumat. Abaikan elemen-elemen yang tidak berkaitan agar laman kita boleh dibuka dengan lebih pantas.

#3 Enjin carian paling popular

Aspek #2 di atas jelas menunjukkan pengguna di Malaysia menggemari Google sebagai pilihan utama mencari maklumat. Meninggalkan jauh perkhidmatan lain seperti Yahoo! dan Bing malahan semakin menyusut setiap hari.

Mengapa membuang masa menekankan kepada carian enjin selain daripada Google? Tumpukan sepenuh perhatian kepadanya. Gunakan ke semua perisian dan perkhidmatan yang disediakan oleh Google. Abaikan konspirasi monopoli yang cuba dimainkan oleh Google. Ambil kesempatan ke atas kehebatannya. Jika kita membenci Google, bermakna kita sudah disingkirkan daripada dunia internet.

#4 Jenis sistem operasi

Statistik ini mungkin tidak kelihatan penting dari satu sudut. Tetapi sebagai pereka laman web, ianya menunjukkan penggunaan jenis tulisan, bentuk paparan dan elemen-elemen yang digunakan dalam laman web.

Apa yang pentingnya? Tulisan. Setiap perisian operasi didatangkan dengan pakej standard tulisan tertentu. Sebagai contoh tulisan Calibri datang bersama Windows Vista dan 7 tetapi tidak dengan Windows XP. Seandainya kita menggunakan Calibri sebagai tulisan utama untuk kandungan, pastinya ianya dipaparkan sebagai Arial.

Perlu diingatkan bahawa perubahan jenis tulisan akan mengganggu susunan dan struktur kandungan. Ia juga memberi kesan kepada ekspresi dan gambaran secara keseluruhan laman. Jadi, adakah ianya dilihat tidak penting sekarang?

Fikirkan.

Pages