Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Blog Saya

Slaid Panduan Penyediaan Sasaran Kerja Tahunan (SKT)

18 Mar 2013 - 10:54 am

Baru-baru ini saya telah menjalankan satu ceramah kesedaran mengenai tatacara dan panduan penyediaan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) kepada penjawat awam khususnya kepada kumpulan sokongan. Slaid ini mengandungi maklumat ringkas mengenai proses dan cara-cara penyediaan SKT dengan lebih berkesan. Selain itu, bagi yang ingin mendapatkan slaid penuh, boleh memuat turunnya dengan klik pada pautan di bawah:

Panduan Penyediaan SKT

** Makluman bahawa slaid ini dijana menerusi perisian Microsoft PowerPoint 2013.

Office 365 perkhidmatan berbayar

30 Jan 2013 - 12:32 pm

Dalam beberapa entri ke hadapan, saya mungkin lebih gemar menceritakan mengenai produk Microsoft iaitu Office. Tiada sebarang komisen yang diperoleh atau dibayar oleh pihak tertentu tetapi minat dan kemahuan saya untuk mengeksplotasi sepenuhnya perisian ini menyebabkan saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan pembaca sekalian.

Entri sebelum ini yang bertajuk Microsoft Office 2013: Perubahan melampau ada dinyatakan mengenai Office 365. Sebenarnya, Office 365 ini adalah satu perkhidmatan (bukan satu keluaran atau produk). Ianya mempunyai fungsi dan konsep yang sama diperkenalkan oleh pihak Google terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, seandainya anda pernah menggunakan Google Docs atau Google Drive, keupayaan fail untuk diterjemahkan dalam format gDoc sangat berbeza apabila ianya dipaparkan kembali pada perisian asal iaitu Word, PowerPoint atau Excel.

Ini disebabkan oleh hak milik paten dan kod binaan milik Microsoft tidak dijual sepenuhnya kepada Google. Memikirkan keadaan dan persaingan itu, Microsoft melancarkan perkhidmatan "cloud" sendiri yang dinamakan 365 iaitu sinkronasi perisian Office dengan cloud secara terus. Namun begitu, kedua-duanya adalah produk yang berlainan. Office 2013 boleh didapati dengan pembelian lesen hanya sekali manakala perkhidmatan 365 perlu dilanggan secara bulanan.

Berikut adalah antara beberapa pakej yang disediakan oleh pihak Microsoft untuk 365 mereka:

Office 365 ini lebih tertumpu kepada golongan yang menjalankan perniagaan, organisasi atau agensi yang melibatkan penggunaan produk mereka dalam kelompok yang ramai. Sebagai contoh, pakej langganan Small Business memberikan kelebihan untuk penyimpanan fail secara berpusat menerusi perisian Office SharePoint. Bermakna, satu syarikat boleh mengawal keselamatan, privasi dan ketulenan dokumen pada satu tempat sahaja. Setiap akses ke pelayan SharePoint akan dipantau di selain kelebihan untuk membina aliran kerja untuk pengesahan dokumen seperti tender, polisi atau terma dan syarat boleh dibuat.

Selain itu, ianya juga dibekalkan dengan storan dan emel peribadi beralamatkan sharepoint.com. Dan banyak lagi kelebihan yang boleh diperolehi pada pakej paling optimum iaitu Enterprise di mana setiap kolaborasi penghasilan dokumen boleh dibuat secara "live" menerusi Office Lync. Persembahan, suntingan dan simpanan dibuat sama seperti yang kita perolehi menerusi Google Docs. Di samping itu, pakej Enterprise membenarkan satu pengguna memasang Office 2013 pada lima (5) peranti berlainan hanya dengan satu lesen sahaja. Bermakna, saya boleh memasang satu di komputer di rumah, di pejabat, laptop, telefon pintar dan satu di kampung. Jadi walau di mana sahaja saya berada, operasi syarikat boleh dijalankan dengan segera.

Jadi, sekiranya ada perkhidmatan percuma Google Docs yang sama hebatnya, mengapa perlu membayar dan melanggan? Bukankah kurang praktikal dan merugikan?

Setiap produk yang dikeluarkan atau ditakrifkan di bawah lesen penggunaan secara percuma (sama ada Open Source atau free user based) akan mempunyai had atau kelebihan tersendiri. Perkara yang paling jelas adalah sokongan. Bagi pengguna Google Docs, saya ingin bertanya, secepat manakah bantuan daripada pihak jurutera Google datang untuk membantu anda sekiranya terdapat konflik atau keperluan tambahan semasa menggunakan mereka?

Maklum balas menerusi emel daripada pihak Google juga mengambil masa sekurang-kurangnya sehari dan bagi peniaga yang berpotensi besar, adakah anda sanggup menunggu 24jam untuk satu-satu masalah mendapat respon? Dan daripada respon pertama adakah masalah anda akan selesai? Itulah yang membezakan produk berbayar dan perkhidmatan percuma. Langganan yang dibuat bukan sahaja terhadap produk tetapi kepada tim sokongan (support team). Sememangnya setiap produk ada cacat celanya tetapi sejauh mana kecacatan itu dibaik pulih perlu dijadi ukuran.

Untuk agensi yang bersaiz sederhana yang banyak melibatkan proses dokumentasi dalam kerja seharian, sememangnya Office 365 sangat berbaloi untuk dilanggan.

Microsoft Office 2013, satu pembaharuan melampau

26 Jan 2013 - 08:36 pm

Sememangnya tajuk artikel ini perlu ditulis sebegitu. Saya boleh dikatakan agak tegar kepada keluaran Microsoft bukan kerana tidak mampu memiliki barangan Apple atau tidak pernah mencuba Pages, Calc atau Keynotes. Sebaliknya kerana fungsi yang terbina di dalam setiap perisian mereka disusuli dengan kajian dan peningkatan yang sangat berguna. Ini termasuklah Microsoft Office 2013 yang menggunakan konsep yang sama dihasilkan oleh Google.

Microsoft Office sudah mendominasi hampir berpuluh tahun dalam aktiviti produktiviti terutamanya dalam kerja-kerja pejabat. Office 2013 juga dikenali dengan nama lain Office 365. Tetapi perlu ingat bahawa kedua-dua produk ini berbeza. Office 365 menyediakan perkhidmatan untuk sinkronasi fail-fail antara komputer berlainan sehingga 5 komputer dengan satu pembelian lesen sahaja. Ia juga memberikan 20GB ruang storan menerusi Skydrive secara percuma selama setahun termasuk aplikasi lengkap Office 2013 (Word, Excel, Powerpoint, Outlook, Access, Publisher, InfoPath dan Lync). Saya mungkin akan terangkan dalam entri blog yang lain mengenai kelebihan Office 365.

Manakala pembelian lesen Office 2013 hanya didatangkan perisian sahaja tidak termasuk pakej-pakej di atas. Walau bagaimanapun, anda masih diberikan Microsoft Skydrive untuk sinkronasi fail dengan komputer peribadi dengan storan 5GB sahaja. Maknanya satu lesen hanya untuk satu komputer sahaja. Pilihan berdasarkan kepada keperluan agensi atau organisasi. Tetapi, jika untuk tujuan peribadi saya lebih sarankan untuk mendapatkan Office 2013 berbanding Office 365.

#1 Paparan menggunakan konsep Metro UI

Jika kita sudah mempunyai Windows 8, paparan Office 2013 akan lebih sepadan dan menggunakan konfigurasi tema Windows 8. Namun ianya sesuai dipasang pada Windows terdahulu seperti XP, Vista dan 7. Paparan kelihatan lebih bersih dan kosong, iaitu konsep utama dalam Metro UI. Tiga pilihan warna untuk latar belakang diberikan iaitu kelabu, kelabu gelap dan paparan asal.

#2 Kelajuan dan prestasi

Faktor ini adalah yang paling jelas dapat dilihat. Ternyata Office 2013 lebih pantas, ringan dan mempunyai kesan animasi yang lebih lembut. Masa untuk memulakan sebarang aplikasi jauh lebih pantas berbanding Office 2010 sebanyak 40% (cubaan pada komputer yang sama). Manakala setiap modifikasi seperti proses drag-and-drop sebagai elemen dalam dokumen dipaparkan secara live. Aktiviti seperti menulis, skrol dan gerakkan ternyata lebih lembut menjadikan saya lebih leka untuk menulis satu-satu dokumen.

#3 Integrasi dengan SkyDrive

Dalam Office 2010 sudah diterapkan kelebihan untuk menggunakan perkhidmatan Skydrive sebagai ruangan storan simpanan secara mobil. Namun dalam Office 2013, fungsi integrasi ini dipertingkat dan kita boleh membuka terus fail daripada SkyDrive menerusi fungsi Open di bawah menu File.

#4 Aplikasi tambahan (Apps) diperkenalkan

Bagi pengguna mobil, kita sudah dibiasakan dengan istilah "Apps" yang bermaksud "applications". Dalam Office 2013 juga perkara yang sama diperkenalkan. Sama konsepnya dalam Windows 8. Aplikasi tambahan boleh dimuat turun (sama ada berbayar atau percuma) daripada laman rasmi Office dan dipasang terus kepada Office 2013 di komputer kita. Bermakna anda boleh tingkat upaya fungsi Office sedia ada yang sudah cukup untuk kegunaan peribadi kepada satu tahap yang memudahkan kerja-kerja seharian.

Sebenarnya masih banyak kelebihan perisian-perisian yang didatangkan dalam pakej Office 2013. Cuma kita yang hanya serius dalam penggunaan Word, Excel dan PowerPoint dalam seharian kadang kala terlupa untuk melihat fungsi aplikasi yang lain seperti InfoPath, Outlook, Lync dan SharePoint. Setiap satunya mempunyai kelebihan masing-masing yang mungkin kita belum terokai lagi.

Bagi yang berminat, anda boleh memuat turun aplikasi ini secara percuma untuk tempoh percubaan selama 60 hari terlebih dahulu. Bagi yang betul-betul serius, anda boleh dapatkan perisian ini dengan lesen penuh melalui pautan yang saya berikan ini. Dengan harga yang ditawarkan, ianya adalah tersangat berbaloi dan lesen tersebut juga adalah sah. Saya sendiri telah menggunakannya dan bukti adalah seperti di bawah. Cepat sebelum terlambat.

Perpindahan ke pengehosan yang baru

24 Jan 2013 - 02:42 am

Kepada pengunjung tetap, anda mungkin dapati blog saya tidak dapat diakses beberapa kali dalam tempoh beberapa untuk dua minggu kebelakangan. Ini disebabkan pengehosan yang digunakan sebelum ini banyak mengalami masalah dari segi pengurusan hos mereka. Pada asalnya sememangnya tiada masalah untuk menempatkan Drupal dalam perkhidmatan mereka. Namun sejak akhir-akhir ini banyak fungsi-fungsi yang diperlukan oleh Drupal dimatikan.

Kesilapan dari segi konfigurasi pengehosan yang tersebut menyebabkan sambungan ke pangkalan data terputus dan tidak dapat dikesan dengan sempurna. Banyak cubaan dilakukan oleh pihak saya sendiri untuk mencari punca masalah yang timbul. Dan hasilnya saya dapati bukan kesilapan Drupal itu sendiri kerana apabila blog ini dimuat turun sepenuhnya di localhost, ianya boleh berfungsi dengan baik.

Selain itu terdapat masalah dari segi integrasi kawalan penghosan CPanel dengan pangkalan data mereka sendiri. Ini mengakibatkan data-data yang disimpan tidak boleh merekod input yang baru tetapi hanya boleh dibaca sahaja. Apa yang menyebabkan keadaan itu berlaku tidak boleh saya pastikan memandangkan kurang kerja sama diberikan oleh pihak berwajib.

Melihat keadaan ini berlarutan sehingga hampir tiga hari dalam minggu ini blog saya berada dalam mood hibernasi, maka dengan segera mengambil keputusan untuk beralih ke syarikat penyedia yang baru iaitu ServerFreak. Saya telah menempatkan tiga laman Drupal yang berlainan pada hos jenis perkongsian daripada ServerFreak dan ternyata sehingga sekarang semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Oleh itu, keputusan segera ini sememangnya adalah tepat. Saya dapati blog ini dapat berfungsi dengan sempurna dan boleh dikatakan ServerFreak adalah antara penyedia hosting yang terbaik di Malaysia ini, hampir setanding dengan nama-nama besar yang lain seperti Exabytes tetapi menawarkan harga yang sangat berpatutan.

Bagi mana-mana pengguna diluar, saya menyarankan syarikat ini sebagai senarai pertama dalam pembelian hos web di Malaysia memandangkan mereka mempunyai reputasi yang tinggi dan dicadangkan oleh ramai pembangun laman web di luar sana. Anda juga boleh menjadi penyumbang secara tidak langsung dengan klik pada pautan afiliate sebagai membantu saya untuk terus berkarya dalam bidang ini. Terima kasih.

Saya Parasolx kini berbaju baru

21 Jan 2013 - 01:24 am

Serentak dengan kehadiran tahun baru ini, rasanya tibalah masa untuk blog saya kembali penampilan yang lebih sempoi, ringkas dan bersih. Boleh dikatakan projek dan perancangan ini sudah lama ingin dilaksanakan. Tetapi dengan kengkangan masa yang begitu terhad, baru kini berpeluang untuk mencuri lebih kurang 8 jam bagi penghasilan tema yang baru.

Jika dibandingkan dengan rangka sebelum ini, sememangnya jauh berbeza. Tema sebelum ini walaupun ringkas masih menerapkan elemen-elemen gambar dan warna sebagai latar belakang. Tetapi untuk konsep terbaru ini yang sedikit berbeza, ingin tampilkan kelainan dan sememangnya sangat "simple". Kali pertama pandang seperti laman yang tidak siap namun hakikatnya itulah dia. Untuk tema kali ini, ianya dipanggil "ParaSimplic" yang mengaktifkan sepenuhnya konsep "simplicity".

Dalam konsep terbaru, elemen "white-space" memainkan peranan yang penting bagi menentukan susunan dan bentuk kerangka rekaan ini. Saya berpendapat, tiada guna membazirkan masa membina sebuah templat yang penuh dengan corak dan warna-warni tetapi membebankan pihak pembaca dari segi tempoh dan beban muat turun.

Paling penting adalah isi dan kandungan. Secantik mana laman web sekalipun, jika tiada yang membaca apa yang ditulis adalah suatu pembaziran yang amat ketara. Maka untuk tahun ini, saya telah menghabiskan masa selama 8 jam menyesuaikan konsep asal untuk diterapkan kepada konfigurasi tema Drupal.

Ini adalah aspirasi yang tercetus setelah melihat beberapa laman web ternama yang hanya tampil dengan penulisannya sahaja namun mendapat perhatian daripada ramai pembaca diseluruh  dunia. Membuktikan paparan itu penting tetapi isi kandungan jauh lebih mengatasi segalanya.

Pages