Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Blog Saya

Berfikirlah

06 Nov 2013 - 11:16 pm

Setiap hari pastinya ada sahaja perkara yang kita akan fikirkan akan berlaku seperti yang dirancang. Tetapi tidak semua perkara yang berlaku seperti yang dirancang. Itulah kelebihan bagi orang yang sentiasa berfikir dan mencari sesuatu kelainan dalam kehidupan seharian. Namun, tidak semua orang mempunyai citarasa dan kekuatan diri yang sama.

Mengapa berbeza? Kerana setiap manusia yang diciptakan mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Kelebihan bukanlah satu anugerah yang patut dibanggakan dan kekurangan bukanlah satu kelemahan yang patut kita lihat. Kedua-dua perkara ini hadir untuk menjadikan kita maju setapak ke hadapan melalui pemikiran.

Cuba fikirkan. Mengapa setiap orang dianugerahkan dengan kelebihan tersendiri seperti pandai melukis, pandai menjahit dan lain-lain lagi secara semua jadi. Malah tidak kurang bagi mereka yang langsung tidak tahu untuk melukis, menjahit, menulis dan lain-lain. Perkara ini wujud agar kehidupan seseorang itu saling lengkap melengkapi.

Fikirkan secara mudah. Seandainya satu mesin yang kita cipta mampu untuk membuat semua perkara (sinonim kepada kebaikan), maka adakah masih perlu kita mencipta mesin yang lain lagi? Sudah tentu tidak. Ini akan mengakibatkan kita untuk berhenti berusaha, berfikir dan mencipta sesuatu yang baru. Kehidupan adalah satu garis masa yang bergerak ke hadapan tanpa henti dan tidak pula berundur ke belakang. Seandainya semua perkara mencapai had keupayaan (maksudnya semua hal kebaikan sahaja yang wujud), maka akan terhentilah masa. Dalam konteks agama kita memanggilnya sebagai kiamat.

Satu kehidupan yang lengkap perlu ada kenaikan dan penurunan bagi mencapai tahap keseimbangan. Apabila tiada lagi keseimbangan yang perlu dicapai, kehidupan akan sampai ke peringkat hujung. Setiap manusia yang dicipta mempunyai garis perjalanan hidupnya tersendiri. Setiap persimpangan antara kebaikan dan keburukan dalam hidupnya mencipta satu keseimbangan kepada diri sendiri ataupun orang di sekeliling.

Jadi, tidak perlu kita pertikaikan mengapa wujudnya golongan yang kita sendiri memanggil dengan golongan baik dan golongan jahat. Tujuannya adalah satu, untuk mencapai keseimbangan. Golongan baik wujud agar ianya mampu mengajak golongan jahat bersama-sama membuat kebaikan. Manakala golongan jahat hadir untuk menguji kekuatan dan kebaikan golongan sebaliknya. Inilah yang dikatakan karma. Keseimbangan dalam kehidupan.

Keseimbangan ini hanya mampu dicapai melalui pemikiran. Kerana itu manusia mempunyai satu anugerah yang tidak ternilai iaitu otak untuk berfikir. Berfikirlah mengapa satu-satu kebaikan itu membawa manfaat dan berfikirlah mengapa kekurangan/keburukan yang berlaku boleh membawa keuntungan pada masa mendatang. Sebaliknya, jika kita malas untuk berfikir, setiap masa kita akan melihat kebaikan itu setiap masa mendatangkan manfaat dan keburukan itu akan menghancurkan kehidupan kita.

Migrasi Komen Sepenuhnya Kepada Disqus

28 Aug 2013 - 07:01 pm

Dalam entri sebelum ini, pernah saya menceritakan mengenai penggunaan Disqus sebagai enjin untuk menggantikan sistem komen Drupal yang sedia ada. Hakikatnya sistem komen yang ada pada Drupal tiada cacat celanya. Cuma saya memerlukan kawalan yang jauh banyak seperti yang ditawarkan oleh Disqus. Ini termasuklah sistem kawalan menerusi aplikasi mobil.

Sehingga hari ini, terdapat sekurang-kurangnya 100 komen yang telah dipendam setelah modul Disqus mengambil alih sistem sedia ada. Komen yang sedia ada ini mempunyai kualiti dan nilai estetikanya yang tersendiri. Oleh itu sangat sayang seandainya ia tidak dipaparkan kepada umum. Sehubungan itu, saya mengambil keputusan untuk membuat migrasi atau perpindahkan ke semua komen yang sedia ada ke dalam sistem Disqus.

Masalah yang timbul adalah bagaimana? Sehingga kini pengendali modul Disqus di drupal.org masih belum mencipta fungsi untuk membenarkan komen sedia ada pada Drupal dieksport ke bentuk mesra pengguna dan boleh dibaca oleh Disqus. Setelah membuat beberapa pencarian di drupal.org, akhirnya saya telah menemui jalan penyelesaian.

Dalam satu tiket yang dihantar, terdapat pembangunan sementara yang dibuat oleh ahli komuniti dan ditempatkan di GIT repository. Ianya haruslah dimuat turun secara lengkap melalui arahan -- clone. Bagi anda yang memerlukan jalan penyelesaian ini, boleh terus ke halaman tersebut: https://drupal.org/node/1271744#comment-7078522.

import drupal comment into disqus

Modul ini berupaya mengeksport ke semua komen sedia ada dalam Drupal ke dalam bentuk fail XML. Seterusnya layari http://import.disqus.com dan muat naik fail XML tersebut ke dalam akaun Disqus yang diperlukan. Selepas itu hanya tunggu sehingga proses ini selesai dan komen Drupal akan dipaparkan berdasarkan kepada URL halaman yang dihasilkan oleh Drupal.

Google PageSpeed Insight: Prestasi parasolx.net mengagumkan

21 Aug 2013 - 11:22 pm

Pernahkah anda terdengar suatu ketika dahulu yang ura-ura Google akan memasukkan elemen "Page Speed" dalam algoritma atau formula untuk menilai satu-satu halaman pada senarai keputusan carian di laman rasmi mereka. Kini bagi membantu pembangun laman melakukan analisis terhadap laman mereka, Google telah memperkenalkan Google PageSpeed Insight. Boleh layari pautan: http://developers.google.com/speed/pagespeed/insights.

Menariknya, analisis yang dibuat oleh PageSpeed Insight ternyata lebih mendalam dan menitik berat elemen penting seperti CSS, JavaScript dan pelbagai lagi kriteria bersama dengan penyelesaian terhadap masalah yang dinilai oleh sistem tersebut.

Berbanding dengan alatan penilaian yang lain, bagi saya PageSpeed Insight ini lebih relevan dengan kemajuan dan teknologi penghasilan laman web pada hari ini. Berikut adalah gambar sekilas analisis prestasi laman web blog ini.

analisis parasolx.net

Tambah menarik, Google mengasingkan penilaian berdasarkan kepada peranti iaitu "desktop" dan "mobile". Jelas sekali Google bukan sahaja mengambil kira prestasi dan kelajuan sesuatu halaman tetapi keupayaan laman untuk menyediakan paparan bagi mobil semakin penting.

Cubalah sendiri berapakah penilaian laman web kepunyaan anda.

Isu Lirik Lagu Raya "Bila Takbir Bergema"

13 Aug 2013 - 05:42 pm

rafeah buangLagu Hari Raya yang klasik masih lagi segar untuk didengar berbanding dengan lagu-lagu moden. Irama, lenggok dan lirik yang dicipta lagu-lagu klasik jauh lebih dekat, ringan untuk didengar dan ianya sesuai untuk semua peringkat umur. Lirik lagu kebanyakkannya tidak terlalu berat, menggunakan bahasa yang biasa sahaja dan selalunya mempunyai dua hingga tiga suku kata sahaja untuk satu perkataan. Oleh itu memang tidak hairan melihat kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun mudah untuk mengingat lagu-lagu ini.

Walaupun begitu, terdapat beberapa isu lama yang mungkin ingin saya ketengahkan semula. Salah satunya adalah lagu "Bila Takbir Bergema" nyanyian asal oleh arwah Rafeah Buang.

Dengar-dengar itu bedok telah berbunyi
Sebulan puasa tamatlah hari ini
Lekaslah adikku hiaskan rumahmu
Biar serba baru untuk para tamu

Jangan kau lupa ketupat di dapur
Rendang di kuali jangan biar hangus
Cuba lihat itu kanak-kanak berlari
Di halaman rumah bermain bunga api

Bangunlah anakku pakai baju baru
Kawanmu semua telah pun menunggu
Dapatkan ayahanda sujud di kakinya
Serta jangan lupa nindamu kedua

Kita bermaaf dengan keikhlasan
Moga bertambah rahmat dari Tuhan

Dengar-dengar itu takbir sedang bergema
Hening dan mulia di pagi hari raya

Salah satu baris dalam lirik lagu tersebut mengatakan bahawa "Dapatkan ayahanda sujud di kakinya", yang mana sebagai umat Islam lirik ini semestinya menimbulkan konflik. Tiada yang patut disembah atau sujud melainkan Allah S.W.T walaupun ibu bapa kita sendiri. Namun begitu, lirik lagu-lagu klasik sebenarnya penuh dengan puitis dan perbandingan.

Kemungkinan besar maksud ayat, iaitu "sujud" adalah perilaku atau perbuatan yang seakan-akan kita hendak sujud dalam solat iaitu melutut dengan menurunkan kedua-dua belah kaki dihadapan ayah/ibu yang sedang duduk di atas kerusi/alas. Walau apa pun, saya tidak dapat mengesahkan kesahihan maksud ayat tersebut.

Seandainya teori ini benar, terdapat sangkalan yang berlaku. Ini kerana pada lewat tahun 80-an, arwah Rafeah Buang dalam satu rancangan Hari Raya yang ditayangkan di RTM 1 (maaf saya tidak dapat mencari sumber video ini) mendendangkan lagu ini dengan terdapat ubah suai pada senikatanya. Perubahan yang dibuat adalah:

Dapatkan Ayahanda Ciumlah Tangannya

Namun, mungkin perubahan lirik yang dibuat tidak didokumentasikan sepenuhnya. Ini menyebabkan sehingga kepada hari ini hampir kebanyakkan lagu "Bila Takbir Bergema" ini dinyanyikan semula oleh para artis masih menggunakan lirik yang asal. Mungkin sebagai tanda penghormatan kepada lagu asal namun penghormatan kepada Allah S.W.T adalah jauh lebih tinggi daripada lirik lagu. Dan yang penting ianya hanyalah satu karya, seni dan lagu yang tidak ada cacat celanya seandainya mengubah DUA PATAH PERKATAAN sahaja. 

Jika benar tiada perubahan liri perlu dibuat, kita amati lagu yang dinyanyikan semula oleh Ezad Exist: http://www.youtube.com/watch?v=WXd6NKPfOc8

Ezad menyanyikan "Dapatkan ibunda, sujud dikakinya" pada minit ke 2.04. Jadi rasanya tidak salah untuk mengubah lirik sekiranya ianya membawa maksud yang menyimpang sedangkan Hari Raya adalah perayaan umat Islam.

Saya bukanlah artis, pengarah atau ketua eksekutif penerbitan syarikat lagu, namun perkara ini menjadi kewajiban untuk diterangkan dengan sebaiknya. Jika mana-mana yang membaca artikel ini, eloklah dikongsikan kerana kadang kala kita tidak sedar kesalahan kecil mampu membawa perubahan yang sangat ketara.

"Gajet" Untuk Kanak-kanak? Adakah Ianya Baik atau Sebaliknya?

16 Jul 2013 - 11:22 pm

"Gejet" adalah istilah yang digunakan pada kebanyakan penulis blog hari ini merujuk kepada alatan atau teknologi yang bersifat kecil, mudah dibawa dan diterapkan dengan fungsi-fungsi terkini untuk menjalankan satu-satu aturcara atau pemprosesan. Hasil output daripada alatan ini boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk seperti bunyi, paparan skrin, gambar dan maklum balas. Antara contoh termasuklah telefon pintar (smart phone) dan tablet (iPad, Samsung tab).

Walau bagaimanapun, penggunaan istilah "gajet" hakikatnya tidak pernah wujud sama sekali dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya pernah menanyakan soalan kepada DBP tentang penggunaan perkataan ini dan maklum balas yang diterima adalah seperti berikut: "Tidak ada istilah gajet atau gadjet, yang ada ialah alat atau alatan (sebagai padanan kata gadget dalam bahasa Melayu)".

Satu kajian mengenai pendedahan alatan seperti telefon pintar dan tablet kepada kanak-kanak (lingkungan umur 9 tahun ke bawah) agak menakutkan kebanyakan ibu bapa. Hasil daripada kajian tersebut mendapati bahawa kanak-kanak yang "ketagih" kepada telefon pintar atau tablet hidup dalam dunia tersendiri. Mereka kurang untuk bercakap, berinteraksi dengan persekitaran dan pacaindera yang lain lambat untuk menjadi matang kerana lebih tertumpu untuk menggunakan jari dan sentuhan sahaja.

Perkataan "ketagih" yang digunakn bagi saya agak kurang tepat di situ bagi menilai sifat kanak-kanak. Ianya lebih baik sekiranya digantikan dengan "ketaksuban" atau "tumpuan melampau". Mengapa? Kerana bagi saya kanak-kanak masih belum mempunyai tahap atau daya pemikiran yang boleh menilai antara baik atau buruk. Zaman kanak-kanak adalah zaman untuk melakukan penjelajahan atau eksplotasi kepada semua perkara baru yang masih belum dicubanya.

Saya bukanlah seorang pakar kanak-kanak atau pengkaji kertas saintifik untuk menyangkal kajian yang dilakukan oleh golongan yang lebih pakar dan berilmu. Tetapi tidak salah untuk kita melihat sesuatu perkara itu dari pelbagai aspek dan sudut agar mendapat gambaran sepenuhnya.

Ramai yang mula mengasingkan alatan ini daripada anak-anak dan tidak kurang juga yang bertindak agresif melarang mana-mana ibu bapa dari mendedahkan alatan ini kepada anak-anak mereka.

Teknologi adalah satu perkara yang kita tidak boleh halang atau hentikan perkembangannya, sama seperti perkembangan anak-anak pada zaman sekarang. Ada berpendapat "Saya lebih suka dan gemar hidup di zaman dahulu, yang mana tiada telefon pintar, tiada iPad, tiada komputer". Maaf saya katakan bahawa kenyataan ini adalah paling kurang BIJAK pernah saya dengar. Perbandingan zaman 15 tahun yang lepas dengan situasi sekarang adalah jauh berbeza. Kita tidak akan mengetahui baik buruk sesuatu perkara sekiranya tidak pernah merasa, mengguna dan memilikinya.

Jadi adakah ianya satu perkara yang tidak baik untuk mendedahkan anak-anak dengan teknologi canggih pada waktu ini? Terpulang. Kita sebagai ibu bapalah yang memandu dan mencorak kehidupan mereka. Teknologi ibarat menuang air separuh penuh ke dalam gelas. Ada yang melihat gelas itu separuh penuh dengan air dan ada yang memandang gelas itu separuh kosong. Bagi yang memandang separuh penuh, kita boleh mengosongkan gelas dengan meminum/menuang air sampai habis. Akhirnya dahaga hilang, gelas kosong. Maka teknologi juga begitu, ianya didatangkan dengan dua karma seiringan, karma yang baik dan karma yang buruk.

Teknologi terpulang kepada pengguna itu sendiri untuk mengguna dan menilai tahap kebaikan dan manfaat yang boleh diberikan. Dalam kes kanak-kanak, ianya adalah ibu bapa. Kita sebolehnya tidak perlu untuk mengasingkan teknologi daripada mereka kerana ianya ada di mana-mana pada waktu sekarang dan tidak boleh dielak. Bagi ibu bapa yang mungkin ekstrim kepada perkara sebegini, saya cadangkan anda juga perlu bersikap adil kepada anak-anak anda. Buang semua telefon, alatan dan teknologi yang anda miliki sekarang sekiranya anda menghalang anak-anak daripada cuba mengenali dan menterjemahkan teknologi dalam kehidupan mereka.

Sebagai ibu bapa kita mungkin boleh bertindak dengan cara yang lebih rasional. Iaitu KAWAL. Bagaimana untuk mengawal? Itu terpulang kepada individu dan pasangan masing-masing. Anda lebih mengenali anak anda sendiri. Berikan kebebasan kepada mereka meneroka kehebatan iPad, Samsung tablet, Youtube, aplikasi mainan, muzik, cerita animasi dan seangkatan dengannya tetapi kawal penggunaannya. Luangkan sedikit masa melihat aktiviti mereka menggunakan iPad. Jika anda sibuk, lengkapkan dengan aplikasi kawalan untuk kanak-kanak pada peranti tersebut. Bagi yang memiliki komputer atau laptop, aktifkan "Parental control" menerusi sistem perisian masing-masing.

Saya di sini bercakap berdasarkan kepada pengalaman sendiri. Ibu bapa saya membeli komputer ketika saya berumur 4 tahun. Walau pun ketika itu terdapat juga "kajian" yang sama dilakukan terhadap komputer yang mengatakan kanak-kanak akan lalai, tertumpu kepada permainan dan kurang bergaul. Tetapi apa yang kita lihat pada hari ini? Komputer merupakan satu keperluan dalam aktiviti seharian, bermula dari pendidikan sehinggalah kepada pekerjaan. Bayangkan ayah saya mengasingkan teknologi itu daripada kami adik-beradik, mungkin sekarang saya tergagap-gagap untuk menaip, menggunakan komputer apatag lagi memiliki blog seperti ini.

Persepsi sesetengah orang mungkin beranggapan teknologi ini menjadi satu virus dalam masyarakat sehinggalah pada hari ini kita melihat setiap pasangan paling tidak mesti akan memiliki sekurang-kurangnya satu peranti ini. Bagi saya ini terpulang kepada kehidupan mereka. Sekiranya mampu, apa salahnya. Komputer yang dibeli oleh ayah saya pada 20 tahun yang lepas berharga RM4000 adalah cukup mahal. Namun kebaikan yang diperoleh daripada nilai itu jauh lebih besar.

Akhir kata, janganlah kita sekat atau halang zaman kegembiraan anak-anak. Kegembiraan ini bagi kanak-kanak hanya sementera. Apabila mereka mula meningkat usia, mula memasuki alam persekolahan, perubahan akan berlaku secara semula jadi. Mereka boleh tinggalkan dan mula mencari kegembiraan yang lain selain teknologi ini.

Pages