Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Melihat dari sudut yang berlainan

03 Feb 2013 - 11:45 pm

Setiap orang mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing. Dan itu bukan menjadi satu kesalahan dalam kehidupan melainkan ianya tidak melanggar batas-batas normal dan pegangan agama yang dipraktiskan. Tetapi sering kali keputusan dan pendapat kita dikuasakan dengan pandangan secara stereotaip atau kelaziman. Dan banyak keputusan yang kita buat berdasarkan kepada hal dan perkara yang menjadi kelaziman orang ramai.

Sebagai contoh mudah, orang muda yang belum berkahwin suka membaca novel-novel percintaan. Diperkuatkan lagi fantasi suasana yang dicipta dan direka oleh penulis, menjadikan sesuatu perhubungan itu perlu dan mesti melalui perkara yang wujud dalam dunia novel tersebut. Akibatnya, kita mempunyai satu pandangan umum dan lazim bagaimana mengintepretasikan perkataan "romantik". Ianya digambarkan bersifat sangat indah dan setiap pasangan perlu berbuat begini dan begitu barulah boleh dikatakan romantik.

Jika kita lihat dari sudut yang berlainan, apakah yang dimaksudkan dengan romantik? Seperti yang diterangkan dalam Kamus Dewan Edisi Ke-4, romatik ditakrifkan sebagai "1. memberikan suasana (gambaran dsb) spt yg terdapat dlm cerita roman (per­cintaan dll); 2. memperlihatkan suasana yg penuh kasih sayang, keindahan, kemesraan, dsb spt dlm alam percintaan: alangkah ~nya pemandangan di sini." Saya tidak menyatakan bahawa Kamus Dewan ini silap, tetapi romatik adalah satu perkara yang subjektif. Kasih sayang, keindahan dan kemesraan itu adalah subjektif apabila kita rujuk kepada perhubungan. Apakah kemesraan itu mesti senyum, ketawa dan gembira antara dua insan? Ada kemesraan lahir dalam suasana yang hening, sunyi dan sepi. Kita tidak boleh menjaga semua itu.

Maka, sekiranya kita hanya berpandangan dalam satu sudut akan menampakkan satu-satu perkara itu sangat lazim dan kita mengiktirafkan ia adalah sama seperti situasi-situasi yang lain. Tidakkah kita berasa bosan dengan situasi ini? Bagaimana jikalau diubah menjadi satu yang bukan kelaziman atau kebiasaan?

Sangat SUKAR dan bukan mudah. Mengapa? Kerana kepercayaan kita hanya tertakluk kepada sesuatu yang lazim dibuat oleh orang ramai. Contoh mudah, satu perkahwinan dikatakan meriah apabila wujudnya pelamin, adat berpantun dan bermacam-macam lagi persiapan yang menjadi kelaziman sehinggakan ada yang sanggup menghabiskan ribuan wang semata-mata untuk mencapai standard "yang biasa dibuat". Jika tidak dibuat nanti akan jadi buah mulut orang.

Inilah kelemahan yang ada pada diri kita sekarang. Apabila melihat pada satu sudut, kadang kala perkara yang salah boleh menjadi betul dan yang betul boleh menjadi salah. Sama ada kita boleh menerima satu-satu keadaan dan situasi dan melihatnya dalam sudut yang berbeza, bergantung kepada penerimaan kita sendiri. Ada orang yang hanya boleh menerima satu pendapat dalam satu masa. Dan ada yang akan menilai satu-satu keadaan setelah melihat daripada pelbagai sumber.

Inilah yang dikatakan kemanisan dalam kehidupan. Kehidupan bukanlah satu jalan yang lurus dilalui oleh semua orang sebaliknya ianya merupakan satu bentangan kain putih yang dicorakkan oleh ramai manusia sehinggalah kain itu siap sepenuhnya.

Sebagai penutup bicara, kita sering mendengar satu perhubungan itu dikatakan indah dan sempurna apabila kita tidak sedar akan masa berlalu. Masa panjang yang telah berlalu seolah-olah baru sahaja semalam berlaku. Tetapi bagi saya yang melihat dari sudut yang berbeza, satu-satu perhubungan itu lebih indah sekiranya kita merasakan ianya cukup panjang sedangkan baru tiga hari berlalu. Mengapa? Kita ambil satu contoh mudah. Saya diberikan 5 jam masa sehari untuk bekerja. Seandainya saya memaksimum masa ini sepenuhnya, semua kerja harian boleh disiapkan dalam tempoh tersebut. Sebaliknya jika hanya menumpukan kepada satu kerja dan berfantasi dengan kerja-kerja hebat saya sebelum ini, belum tentu satu kerja boleh disiapkan dalam tempoh tersebut. Diakhirnya 5 jam saya merasakan baru sahaja kerja hebat saya ini bermula.

Jadi, amalkanlah melihat sesuatu perkara itu dari sudut yang berlainan dan bukan mengikut kelaziman yang selalu ada.

Kategori: 
Tags: 
kelaziman
stereotaip
kebiasaan