Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Masuk Surat Khabar di Pagi Hari Raya

23 Aug 2013 - 12:02 am

Tahun ini terpaksa menyambut Hari Raya di rumah sendiri dan tidak pulang ke kampung halaman memandangkan isteri masih lagi dalam pantang selepas melahirkan anak yang ketiga. Asma dilahirkan seminggu sebelum hari raya dan tarikh kelahiran ini sememangnya telah dijangka sekitar seminggu sebelum Hari Raya.


Seperti kebiasaannya, pada pagi Hari Raya semua umat Islam akan berpusu-pusu menghadirkan diri ke masjid bagi menunaikan solat sunat Hari Raya sekitar jam 8.00 pagi. Anak lelaki yang sulong beria hendak ikut sehari sebelum tetapi penangan tidur di awal pagi itu lebih kuat berbanding kuasa kejutan ayahnya. Melihat keadaan itu, biarkan dia tidur dahulu. Setelah selesai solat sunat di masjid, saya terus pulang kerana perut sudah lapar.


Setibanya di rumah, isteri saya terus mengatakan bahawa gambar dia dan anak sulong masuk surat khabar. Eh, seingat saya tiada pula artikel atau apa-apa rencana yang dihantar ke mana-mana syarikat percetakan dan surat khabar sebelum ini. Isteri saya mendapat berita itu daripada teman sekerjanya yang menghantar gambar yang ditangkap menerusi telefon. Setelah mendapat maklumat surat khabar tersebut, saya terus keluar dan membelinya.


Ternyata memang betul, gambar tersebut adalah gambar yang saya tangkap dan jelas ianya adalah isteri dan anak sulong kami.


masuk surat khabar


Pada awalnya, terasa agak gembira dan sedikit "kembang". Tetapi apabila diteliti gambar dan artikel tersebut, saya baru perasan yang penulis rencana ini rupanya tidak meletakkan sebarang rujukan atau pautan asal gambar ini di ambil. Untuk makluman, boleh rujuk artikel asal gambar-gambar ini dipaparkan: /blogs/suasana-sekitar-hari-raya-aidilfitri-2012.


Saya hormat tugas seorang wartawan, penulis berita dan editor surat khabar menggunakan hasil karya ini pada terbitan mereka. Tetapi sekiranya hak cipta dan bahan-bahan ini diambil sesuka hati tanpa meminta kebenaran daripada saya adalah satu tindakan yang agak memalukan. Saya mungkin beranggapan gambar ini ditemui di enjin carian seperti Google. Tetapi apabila melihat kepada media atau gambar yang memaparkan seseorang, ianya harus memohon kebenaran terlebih dahulu sebelum digunakan.


Surat khabar ini adalah 1Klassified di bawah payung syarikat ternama iaitu News Strait Times (NST). Agak terkejut juag kerana NST merupakan syarikat percetakan akhbar yang ternama tetapi terlepas untuk menitik berat perkara-perkara seperti ini.

Kategori: 
Tags: 
surat khabar
1klassified
nst
hari raya