Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Ghost, masih pra-matang

07 Jan 2014 - 01:47 pm

Dalam beberapa entri sebelum ini, saya pernah menulis berkenaan dengan satu aplikasi untuk menulis blog iaitu Ghost. Memiliki sebuah blog bukan lagi mustahil berbanding 10 tahun yang lepas. Anda boleh memilikinya secara percuma atau melanggan secara berkala. Setiap pilihan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing bergantung kepada keperluan. Melihat kepada keperluan ini, pembangun sistem di seluruh dunia masing-masing tampil dengan idea tersendiri.

Inovasi daripada projek sedia ada mempunyai potensi tersendiri. Seperti Mambo yang telah diperkenal semula sebagai Joomla!, begitulah kisahnya dengan Ghost. Pencipta Ghost menggunakan platform dan idea sistem Wordpress. Tetapi menekankan kepada "just blogging" atau hanya untuk berblog. Sistem hari ini bukan berdiri sendiri dan statik, sebaliknya ianya berkembang dari semasa ke semasa. Wordpress hari ini "dilihat" bukan lagi fokus kepada blog sebaliknya cuba untuk menyesuaikan diri dengan keperluan lain. Antaranya mula mengadaptasi forum, e-commerce dan media sosial dalam pembangunan modul tambahan.

Isu-isu ini dijadikan sebagai asas untuk Ghost dibangunkan dengan bantuan dan dana penyokong sumber terbuka. Baru-baru ini, saya telah dipelawa untuk menggunakan Ghost untuk tempoh percubaan selama sebulan. Ghost dijalankan pada kerangka node.js. Node.js dilihat mampu memberikan kadar prestasi yang lebih pantas berbanding PHP terutamanya pengendalian permintaan yang sangat besar dibuat terhadap sistem pelayan.

ghost admin interface

Inilah ruangan pentadbiran setelah saya log masuk ke dalam sistem Ghost. Ciri-ciri "live updates" atau kemas kini segera adalah kekuatan yang menjadi kunci kepada sistem ini. Skrin dibahagikan kepada dua, sebelah kiri untuk teks editor dan sebelah kanan adalah paparan sebenar.

ghost text editor

Selain itu, beberapa fungsi tetapan lain yang dibina seperti pemilihan templat, tetapan laman dan deskripsi laman. Bagi saya, ianya mudah untuk digunakan. Bagi yang tidak pernah menggunakan mana-mana sistem juga rasanya hanya mengambil masa lebih kurang 5 minit untuk mempelajari keseluruhan sistem ini.

Walau bagaimanapun, untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya USD5 setiap bulan masih belum berbaloi dengan apa yang ditawarkan oleh Ghost sekarang. Sistemnya terlalu ringkas. Hanya berbekalkan kepada teks semata-mata. Tiada fungsi untuk memuat naik gambar, media dan elemen-elemen fail yang lain.

ghost price tag

Jika anda benar-benar mahukan analogi yang sama seperti Ghost, iaitu "just for blogging", sistem Wordpress masih yang terbaik setakat ini. Atau bagi yang mengharapkan kekuatan laman itu sendiri sukar untuk dicerobohi anda boleh mencuba Drupal atau Joomla!. Walaupun ketiga-tiga sistem ini bukan dibina untuk tujuan blog, namun kekuatan dan prestasinya jauh lebih baik. Pemasangan biasa sistem ini sudah cukup untuk anda berblog.

Kos untuk melanggan jauh lebih murah berbanding langganan setiap bulan yang disediakan oleh pihak Ghost. Jadi bagi saya Ghost masih ditahap pra-matang dengan versi 0.3 yang dilepaskan buat masa sekarang. Mungkin pada masa akan datang, Ghost adalah antara yang menjadi tumpuan, saya tidak ragu-ragu untuk melihatnya semula. Melanggan sekadar untuk "berblog".

Kategori: 
Tags: 
ghost
pra-matang
belum sempurna