Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

"Gajet" Untuk Kanak-kanak? Adakah Ianya Baik atau Sebaliknya?

16 Jul 2013 - 11:22 pm

"Gejet" adalah istilah yang digunakan pada kebanyakan penulis blog hari ini merujuk kepada alatan atau teknologi yang bersifat kecil, mudah dibawa dan diterapkan dengan fungsi-fungsi terkini untuk menjalankan satu-satu aturcara atau pemprosesan. Hasil output daripada alatan ini boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk seperti bunyi, paparan skrin, gambar dan maklum balas. Antara contoh termasuklah telefon pintar (smart phone) dan tablet (iPad, Samsung tab).

Walau bagaimanapun, penggunaan istilah "gajet" hakikatnya tidak pernah wujud sama sekali dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya pernah menanyakan soalan kepada DBP tentang penggunaan perkataan ini dan maklum balas yang diterima adalah seperti berikut: "Tidak ada istilah gajet atau gadjet, yang ada ialah alat atau alatan (sebagai padanan kata gadget dalam bahasa Melayu)".

Satu kajian mengenai pendedahan alatan seperti telefon pintar dan tablet kepada kanak-kanak (lingkungan umur 9 tahun ke bawah) agak menakutkan kebanyakan ibu bapa. Hasil daripada kajian tersebut mendapati bahawa kanak-kanak yang "ketagih" kepada telefon pintar atau tablet hidup dalam dunia tersendiri. Mereka kurang untuk bercakap, berinteraksi dengan persekitaran dan pacaindera yang lain lambat untuk menjadi matang kerana lebih tertumpu untuk menggunakan jari dan sentuhan sahaja.

Perkataan "ketagih" yang digunakn bagi saya agak kurang tepat di situ bagi menilai sifat kanak-kanak. Ianya lebih baik sekiranya digantikan dengan "ketaksuban" atau "tumpuan melampau". Mengapa? Kerana bagi saya kanak-kanak masih belum mempunyai tahap atau daya pemikiran yang boleh menilai antara baik atau buruk. Zaman kanak-kanak adalah zaman untuk melakukan penjelajahan atau eksplotasi kepada semua perkara baru yang masih belum dicubanya.

Saya bukanlah seorang pakar kanak-kanak atau pengkaji kertas saintifik untuk menyangkal kajian yang dilakukan oleh golongan yang lebih pakar dan berilmu. Tetapi tidak salah untuk kita melihat sesuatu perkara itu dari pelbagai aspek dan sudut agar mendapat gambaran sepenuhnya.

Ramai yang mula mengasingkan alatan ini daripada anak-anak dan tidak kurang juga yang bertindak agresif melarang mana-mana ibu bapa dari mendedahkan alatan ini kepada anak-anak mereka.

Teknologi adalah satu perkara yang kita tidak boleh halang atau hentikan perkembangannya, sama seperti perkembangan anak-anak pada zaman sekarang. Ada berpendapat "Saya lebih suka dan gemar hidup di zaman dahulu, yang mana tiada telefon pintar, tiada iPad, tiada komputer". Maaf saya katakan bahawa kenyataan ini adalah paling kurang BIJAK pernah saya dengar. Perbandingan zaman 15 tahun yang lepas dengan situasi sekarang adalah jauh berbeza. Kita tidak akan mengetahui baik buruk sesuatu perkara sekiranya tidak pernah merasa, mengguna dan memilikinya.

Jadi adakah ianya satu perkara yang tidak baik untuk mendedahkan anak-anak dengan teknologi canggih pada waktu ini? Terpulang. Kita sebagai ibu bapalah yang memandu dan mencorak kehidupan mereka. Teknologi ibarat menuang air separuh penuh ke dalam gelas. Ada yang melihat gelas itu separuh penuh dengan air dan ada yang memandang gelas itu separuh kosong. Bagi yang memandang separuh penuh, kita boleh mengosongkan gelas dengan meminum/menuang air sampai habis. Akhirnya dahaga hilang, gelas kosong. Maka teknologi juga begitu, ianya didatangkan dengan dua karma seiringan, karma yang baik dan karma yang buruk.

Teknologi terpulang kepada pengguna itu sendiri untuk mengguna dan menilai tahap kebaikan dan manfaat yang boleh diberikan. Dalam kes kanak-kanak, ianya adalah ibu bapa. Kita sebolehnya tidak perlu untuk mengasingkan teknologi daripada mereka kerana ianya ada di mana-mana pada waktu sekarang dan tidak boleh dielak. Bagi ibu bapa yang mungkin ekstrim kepada perkara sebegini, saya cadangkan anda juga perlu bersikap adil kepada anak-anak anda. Buang semua telefon, alatan dan teknologi yang anda miliki sekarang sekiranya anda menghalang anak-anak daripada cuba mengenali dan menterjemahkan teknologi dalam kehidupan mereka.

Sebagai ibu bapa kita mungkin boleh bertindak dengan cara yang lebih rasional. Iaitu KAWAL. Bagaimana untuk mengawal? Itu terpulang kepada individu dan pasangan masing-masing. Anda lebih mengenali anak anda sendiri. Berikan kebebasan kepada mereka meneroka kehebatan iPad, Samsung tablet, Youtube, aplikasi mainan, muzik, cerita animasi dan seangkatan dengannya tetapi kawal penggunaannya. Luangkan sedikit masa melihat aktiviti mereka menggunakan iPad. Jika anda sibuk, lengkapkan dengan aplikasi kawalan untuk kanak-kanak pada peranti tersebut. Bagi yang memiliki komputer atau laptop, aktifkan "Parental control" menerusi sistem perisian masing-masing.

Saya di sini bercakap berdasarkan kepada pengalaman sendiri. Ibu bapa saya membeli komputer ketika saya berumur 4 tahun. Walau pun ketika itu terdapat juga "kajian" yang sama dilakukan terhadap komputer yang mengatakan kanak-kanak akan lalai, tertumpu kepada permainan dan kurang bergaul. Tetapi apa yang kita lihat pada hari ini? Komputer merupakan satu keperluan dalam aktiviti seharian, bermula dari pendidikan sehinggalah kepada pekerjaan. Bayangkan ayah saya mengasingkan teknologi itu daripada kami adik-beradik, mungkin sekarang saya tergagap-gagap untuk menaip, menggunakan komputer apatag lagi memiliki blog seperti ini.

Persepsi sesetengah orang mungkin beranggapan teknologi ini menjadi satu virus dalam masyarakat sehinggalah pada hari ini kita melihat setiap pasangan paling tidak mesti akan memiliki sekurang-kurangnya satu peranti ini. Bagi saya ini terpulang kepada kehidupan mereka. Sekiranya mampu, apa salahnya. Komputer yang dibeli oleh ayah saya pada 20 tahun yang lepas berharga RM4000 adalah cukup mahal. Namun kebaikan yang diperoleh daripada nilai itu jauh lebih besar.

Akhir kata, janganlah kita sekat atau halang zaman kegembiraan anak-anak. Kegembiraan ini bagi kanak-kanak hanya sementera. Apabila mereka mula meningkat usia, mula memasuki alam persekolahan, perubahan akan berlaku secara semula jadi. Mereka boleh tinggalkan dan mula mencari kegembiraan yang lain selain teknologi ini.

Kategori: 
Tags: 
gajet
tablet
ipad
teknologi
anak
kanak-kanak