Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Drupal 8, sudah nampak bayang-bayangnya

17 Feb 2012 - 05:35 pm

Boleh dikatakan kita masih belum lagi selesai menggeladah Drupal 7, kini dikejutkan lagi dengan berita kedatangan Drupal 8. Betul, sememangnya saya sendiri merasakan komuniti Drupal sekarang sudah bergerak dengan lebih pantas berbanding dahulu. Drupal 6 dikatakan sangat matang kerana telah digunakan selama 3 tahun sebelum kedatangan Drupal 7. Walau bagaimanapun, berita ini cukup menggembirakan bagi saya. Kini jelas komuniti Drupal sudah yakin bahawa Drupal 7 sudah masuk ke tahap "matang" tanpa sebarang ralat yang major.

Menurut ketua projek Drupal, Dries, Drupal 8 kini di dalam proses pembangunan penambahan fungsi, kod dan struktur API. Dries mengumumkan bahawa pada tarikh 01 Disember 2012 adalah titik terakhir untuk peringkat ini. Bermakna pada ketika ini, tiada lagi penambahan fungsi, kod dan struktur API boleh dilakukan. Drupal 8 akan memasuki frasa pembersihan untuk kod API dan paparan grafik penggunaan (GUI).

Pada 01 Februari 2013, Drupal 8 akan memasuki frasa penguncian kod. Ini bermakna tiada lagi perubahan kod boleh dilakukan sebaliknya ia akan fokus kepada penambahbaikkan, pemulihan dan pembaikan ralat-ralat major. Proses diteruskan sehingga semua ralat kritikal menjunam kepada sifar (0). Pada ketika ini Drupal 8 akan dilepaskan secara rasmi. Dan dalam perancangannya, bulan Ogos 2013 merupakan saat kita akan menggunakan Drupal 8 sepenuhnya.

Apabila keluarnya Drupal 8, tiada lagi sokongan dilakukan oleh pihak komuniti untuk Drupal 6. Bermakna, laman web komuniti Kripkorn Studios perlu bersedia untuk dimigrasi kepada Drupal 7 secara rasmi. Jadi, saya merancang untuk berpindah sepenuhnya kepada Drupal 7 pada bulan Julai 2013. Sehingga kini, blog ini telah dikuasakan dengan Drupal 7 dan rasanya tidak sabar untuk berpindah kepada Drupal 8 setelah ianya dilepaskan.

Jadi, kita masih mempunyai 18 bulan untuk bersedia menikmati saat-saat yang dinantikan. Diharapkan penerbitan buku Drupal 7: Permulaan akan dapat menemui semua peminat Drupal diluar sana pada bulan April nanti. Buku ini boleh digunakan sebagai rujukan selama tiga tahun sehinggalah Drupal 9 dilepaskan secara rasmi nanti.

Kategori: 
Tags: 
drupal 8
drupal 7
drupal 6