Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Berfikirlah

06 Nov 2013 - 11:16 pm

Setiap hari pastinya ada sahaja perkara yang kita akan fikirkan akan berlaku seperti yang dirancang. Tetapi tidak semua perkara yang berlaku seperti yang dirancang. Itulah kelebihan bagi orang yang sentiasa berfikir dan mencari sesuatu kelainan dalam kehidupan seharian. Namun, tidak semua orang mempunyai citarasa dan kekuatan diri yang sama.

Mengapa berbeza? Kerana setiap manusia yang diciptakan mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Kelebihan bukanlah satu anugerah yang patut dibanggakan dan kekurangan bukanlah satu kelemahan yang patut kita lihat. Kedua-dua perkara ini hadir untuk menjadikan kita maju setapak ke hadapan melalui pemikiran.

Cuba fikirkan. Mengapa setiap orang dianugerahkan dengan kelebihan tersendiri seperti pandai melukis, pandai menjahit dan lain-lain lagi secara semua jadi. Malah tidak kurang bagi mereka yang langsung tidak tahu untuk melukis, menjahit, menulis dan lain-lain. Perkara ini wujud agar kehidupan seseorang itu saling lengkap melengkapi.

Fikirkan secara mudah. Seandainya satu mesin yang kita cipta mampu untuk membuat semua perkara (sinonim kepada kebaikan), maka adakah masih perlu kita mencipta mesin yang lain lagi? Sudah tentu tidak. Ini akan mengakibatkan kita untuk berhenti berusaha, berfikir dan mencipta sesuatu yang baru. Kehidupan adalah satu garis masa yang bergerak ke hadapan tanpa henti dan tidak pula berundur ke belakang. Seandainya semua perkara mencapai had keupayaan (maksudnya semua hal kebaikan sahaja yang wujud), maka akan terhentilah masa. Dalam konteks agama kita memanggilnya sebagai kiamat.

Satu kehidupan yang lengkap perlu ada kenaikan dan penurunan bagi mencapai tahap keseimbangan. Apabila tiada lagi keseimbangan yang perlu dicapai, kehidupan akan sampai ke peringkat hujung. Setiap manusia yang dicipta mempunyai garis perjalanan hidupnya tersendiri. Setiap persimpangan antara kebaikan dan keburukan dalam hidupnya mencipta satu keseimbangan kepada diri sendiri ataupun orang di sekeliling.

Jadi, tidak perlu kita pertikaikan mengapa wujudnya golongan yang kita sendiri memanggil dengan golongan baik dan golongan jahat. Tujuannya adalah satu, untuk mencapai keseimbangan. Golongan baik wujud agar ianya mampu mengajak golongan jahat bersama-sama membuat kebaikan. Manakala golongan jahat hadir untuk menguji kekuatan dan kebaikan golongan sebaliknya. Inilah yang dikatakan karma. Keseimbangan dalam kehidupan.

Keseimbangan ini hanya mampu dicapai melalui pemikiran. Kerana itu manusia mempunyai satu anugerah yang tidak ternilai iaitu otak untuk berfikir. Berfikirlah mengapa satu-satu kebaikan itu membawa manfaat dan berfikirlah mengapa kekurangan/keburukan yang berlaku boleh membawa keuntungan pada masa mendatang. Sebaliknya, jika kita malas untuk berfikir, setiap masa kita akan melihat kebaikan itu setiap masa mendatangkan manfaat dan keburukan itu akan menghancurkan kehidupan kita.

Kategori: 
Tags: 
berfikir
kebaikan
keburukan