Parasolx

Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training

Beralih ke Cyanogenmod untuk pengguna Android

30 Dec 2013 - 03:40 pm

Kepada pengguna dan penggemar tegar Android di luar sana, entri kali ini saya hendak berkongsi mengenai Cyanogenmod atau singkatannya CM. Kebanyakan pengguna Android rata-rata bakal mengalami masalah prestasi setelah ianya digunakan untuk sekian tempoh masa. Masalah ini bukan disebabkan oleh pelantar Android. Sebaliknya jenama telefon pintar yang digunakan.

cyanogenmod

Seperti semua sedia maklum, Android merupakan perisian sumber terbuka yang dikeluarkan oleh pihak Google. Banyak artikel yang ditulis di internet melibatkan perbandingan antara Android dan iOS (keluaran Apple). Walaupun pelbagai faktor yang digunakan, rata-rata mengagumi kehebatan iOS yang mampu untuk berfungsi secara stabil, pantas dan tidak membebankan. Komen daripada pengguna Android pula, kebanyakan mereka mengalami masalah prestasi semakin lama semakin perlahan walaupun mempunyai spesifikasi telefon pintar yang jauh lebih tinggi. Masalah tambahan adalah seperti penggunaan tenaga bateri yang tinggi.

Sebenarnya, pelantar Android yang digunakan pada telefon pintar seperti Samsung bukanlah Android sebenarnya (pure Android). Setiap syarikat yang menggunakan Android telah melakukan proses ubah suai dengan memasukkan program dan aplikasi sebagai tanda penjenamaan mereka. Akibatnya sistem Android telah dibebani dengan aplikasi yang tidak sepatutnya. Ianya semakin teruk apabila Android menerima penambahbaikan menerusi fungsi "Update software" daripada syarikat pengeluar.

Cyanogenmod adalah satu kumpulan pembangun perisian telefon pintar yang meningkatkan fungsi asal Android untuk fokus hanya kepada prestasi. Terdapat beberapa penambahbaikkan yang dihasilkan oleh kumpulan ini diambil dan diterima pakai oleh tim Google. Seterusnya idea tersebut dimuatkan dalam versi-versi Android yang terbaru. Oleh itu, bagi mendapatkan perisian Cyanogenmod ini dipasang pada telefon anda, ianya perlu melalui proses pembersihan sepenuhnya (format)

** Nota: pemasangan Cyanogenmod akan memadamkan ke semua data dan maklumat dalam telefon anda seperti aplikasi, SMS, gambar dan video. Data yang disimpan di dalam SD Card atau external drive tidak terusik. Jika telefon anda masih mempunyai tempoh waranti, pemasangan CM akan mengakibatkan waranti tersebut TERBATAL.

Pemasangan CyanogenMod

Keperluan:

  • Telefon bimbit yang dicaj penuh baterinya
  • Komputer/laptop (sebolehnya OS Win 7 dan ke bawah. Windows 8 mempunyai masalah hubungan antara telefon dan komputer)
  • Kabel USB original
  • Capaian internet untuk komputer (sebaiknya 1Mbps)

Pertama sekali, anda pergi ke laman web: http://www.cyanogenmod.org/

Seterusnya klik butang "Get Started".

Kemudian, ikut arahan yang diberikan pada halaman tersebut. Bermula dengan melakukan tetapan pada telefon bimbit terlebih dahulu. Diikuti dengan memuat turun aplikasi CyanogenMod pada telefon bimbit. Gunakan pautan yang diberikan kerana perisian ini tidak terdapat pada Google Play. Kita harus memuat turunnya secara terus.

cyanogenmod installer android

Setelah itu, memuat turun perisian CyanogenMod pada komputer anda. Paparan sedia untuk pemasangan akan ditunjukkan. Ikuti sahaja arahan yang ditunjukkan pada perisian tersebut sehingga selesai. Pastikan proses ini tidak terganggu pada mana-mana peringkat. Kegagalan yang berlaku boleh mengakibatkan kerosakan secara total pada telefon pintar anda.

Skrin seterusnya memerlukan telefon bimbit dihubungkan kepada komputer. Di sini mungkin akan berlaku masalah. Ralat telefon tidak dapat dikesan kemungkinan akan dipaparkan. Sila semak semula kabel yang digunakan haruslah kabel original. Pastikan pelantar operasi komputer bukanlah Windows 8. Saya telah mencubanya tetapi hasilnya gagal. Setelah menggunakan komputer lain dengan Windows 7 baru sambungan dapat dibuat dengan sempurna.

connect your device

CyanogenMod Installer akan mula memuat turun perisian sistem aplikasi yang baru berdasarkan kepada model telefon pintar anda. Versi yang akan dimuat turun adalah yang paling stabil. Tempoh muat turun ini bergantung kepada kelajuan internet yang digunakan.

download application system

Setelah selesai memuat turun, skrin butang "Install" akan dipaparkan. Klik butang tersebut.

cyanogen ready to install

Pada peringkat ini proses "flashing" atau penyalinan aplikasi sistem yang baru pada telefon pintar berjalan.

Anda perlu tunggu sehingga semua proses ini selesai. Telefon akan dimulakan secara automatik (reboot) bagi meneruskan proses pemasangan CyanogenMod. Di akhir proses ini, telefon pintar anda telah dikemas kini dengan pelantar sistem Android sebenar. Secara kasarnya, berikut merupakan anggaran masa yang diperuntukkan:

Proses Masa
Updating the installer 15 minit
Downloading the requirement data 60 minit
Installing into device 5 minit

 

Kategori: 
Tags: 
cyanogenmod
android
samsung s3